Wednesday, June 3, 2009

TEKNOLOGI HIJAU

Najib Tun Razak

Najib Tun Razak

"Antara bidang menarik minat saya, ialah teknologi hijau yang bebas dari pencemaran karbon dioksida yang digunakan secara meluas yang digunakan secara meluas di Korea ketika ini.

Antaranya teknologi hijau dan lestari bagi membersih sungai dsan pesisir sungai, selain teknologi membran bagi memproses air bersih.

Malah, kos pembangunan membersihkan empat sungai besar hanya AS$50 juta (RM170 juta). Ia bukan nilai yang tinggi, selain dari mewujudkan ribuan peluang pekerjaan baru."

____________________________________________________________________


MASA DEPAN BERSAMA MALAYSIAM - CINA

Oleh: NAJIB TUN RAZAK

tiga puluh lima tahun lalu, arwah bapa saya, Tun Abdul Razak yang ketika itu Perdana Menteri Malaysia, menjejakkan kaki di China. Ia menandakan bermulanya era baru dalam hubungan dua hala yang membuka lembaran bersejarah dalam perhubungan China dan Malaysia.

Keputusan berani dan bersejarah itu mendorong negara-negara lain di Asia Tenggara untuk mengikut jejak Malaysia dalam mengadakan hubungan diplomatik dengan China.

Diwujudkan secara rasmi dengan pemeteraian Kenyataan Bersama pada 31 Mei 1974, hubungan dua hala yang berasaskan sikap saling menghormati telah terjalin. Ia kemudiannya menjadi semakin erat dan mencapai kemajuan yang sangat pesat.

Mereka yang bertanggungjawab mengadakan hubungan itu telah berpandangan jauh ke depan dan barangkali tidak membayangkan perhubungan itu akan berkembang maju seperti yang disaksikan selama ini.

Saya menaruh keyakinan tinggi terhadap nilai dan kepentingan hubungan dua hala antara negara kita ini. Dan saya pernah melakukan beberapa lawatan ke negara ini dalam kedudukan berlainan. Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan Menteri Pendidikan.

Sejak menyandang jawatan Perdana Menteri pada April lalu, inilah lawatan rasmi pertama saya ke sebuah negara di luar ASEAN.

Saya akan terus mencari jalan untuk mengukuh dan mengeratkan lagi hubungan antara kita (China dan Malaysia).

China hari ini tentunya jauh berbeza daripada China yang dilihat oleh bapa saya pada 1974. Jutaan basikal dan pakaian ala Mao kini digantikan dengan kereta yang bergerak laju di lebuh-lebuh raya.

Negara maju di Barat semakin tertarik untuk mendekati China dan China tidak lagi disisihkan seperti dahulu. Hari ini China merupakan ekonomi kedua terbesar di dunia daripada segi pariti kuasa membeli (PPP). Dan China menjadi yang ketiga terbesar selepas Amerika Syarikat (AS) dan Jepun daripada segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.

China kini memiliki rizab asing terbesar di dunia dan memainkan peranan semakin penting dan berpengaruh di pentas antarabangsa.

China dan Malaysia mempunyai banyak persamaan. Kedua-dua negara berkongsi aspirasi dan objektif yang sama untuk memastikan keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau ini. China telah membuktikan statusnya sebagai sebuah kuasa ekonomi yang bertanggungjawab.

Ia mendapat penghargaan dan kepercayaan negara-negara Asia semasa krisis kewangan pada 1997-1998 kerana tidak menurunkan nilai mata wangnya. Seandainya China berbuat demikian, situasi sudah tentulah bertambah sukar bagi negara-negara yang dilanda krisis itu, termasuk Malaysia sendiri.

Hari ini kedua-dua negara boleh bekerjasama untuk menangani kemelesetan ekonomi dunia. Kerjasama ini boleh dilakukan dengan beberapa cara.

Antaranya ialah memastikan permintaan domestik di kedua-dua negara kita terus berada pada paras yang tinggi. Peningkatan permintaan domestik di China akan membantu sektor eksport negara-negara di rantau ini dan membantu proses pemulihan mereka.

Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dengan China mencapai AS$39.06 bilion (RM140.6 bilion) pada 2008, kenaikan 10.3 peratus berbanding 2007.

Sewaktu Tun Razak melakukan kunjungan bersejarah pada 1974, perdagangan dua hala kurang daripada AS$100 juta (RM360 juta).

China kini rakan dagangan Malaysia yang keempat terbesar dan pasaran eksportnya yang juga keempat terbesar. Kebanyakan import Malaysia datang dari negara ini.

China juga merupakan destinasi sangat penting bagi pelaburan Malaysia. Tahun lepas Malaysia menjadi pelabur asing ke-19 terbesar di China.

Banyak peluang juga terbuka bagi pelabur China di Malaysia. Kami mengalu-alukan kedatangan mereka dan menggalakkan penyertaan mereka dalam kejayaan kami.

Saya baru-baru ini mengumumkan dua pakej pembaharuan ekonomi berkaitan dengan sektor perkhidmatan dan kewangan.

Langkah-langkah itu akan menjadikan pelaburan asing lebih mudah dan lebih menarik, dan kami ingin melihat peningkatan dari bilangan dan profil pelaburan China.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan China dieratkan lagi menerusi hubungan peribadi yang baik antara para pemimpin dan komuniti perniagaan kedua-dua negara, di samping pertukaran lawatan yang kerap dilakukan pada semua peringkat.

Hubungan antara rakyat juga bertambah erat. Malaysia kini merupakan destinasi utama bagi pelancong China. Tahun lepas, lebih 949,800 pelancong China datang ke Malaysia. Jumlah itu kelima terbesar selepas pelancong dari Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei dan jumlah terbesar dari luar ASEAN.

Dengan adanya penerbangan terus dan lebih kerap, bilangan pelancong China ke Malaysia tahun ini boleh mengatasi angka sejuta. China juga menjadi destinasi penting bagi pelancong Malaysia.

China dan Malaysia juga sama-sama berdepan dengan cabaran yang belum pernah dihadapi sebelum ini. Ekonomi dunia dijangka menyusut tahun ini buat kali pertama sejak pertengahan abad lalu. Bank Dunia meramalkan pada 2009, perdagangan dunia dijangka mencatatkan kejatuhan terbesar dalam tempoh 80 tahun. Kita perlu menghadapi cabaran ini dengan gigih.

Kuasa perdagangan dan nilai pasaran tidak dapat dinafikan, tetapi krisis ekonomi dunia membuktikan kerajaan juga boleh memainkan peranan penting.

Saya mengalu-alukan tindakan China untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonominya bernilai AS$587 bilion (RM2.11 trilion) dengan cepat dan tegas. Pakej itu sudah pun membuahkan hasil dengan membawa perubahan positif dalam ekonomi.

Beberapa bulan lalu, kerajaan saya juga telah mengumumkan dua pakej rangsangan yang bersejarah. Pakej kedua sahaja, bernilai RM60 bilion, adalah yang terbesar dalam sejarah Malaysia dan menyamai 9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar kami.

Menurut Bank Negara, pakej-pakej tersebut akan meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi sebanyak 1 hingga 1.5 peratus.

Jika kita ingin menggalakkan pembangunan ekonomi yang stabil, pakej-pakej berkenaan hanyalah satu langkah. Dalam jangka panjang, kita perlu mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan. Berbuat demikian, terutamanya dalam tempoh yang tidak menentu ini, menjadi kunci untuk mencapai keupayaan bersaing di peringkat global, untuk merealisasikan potensi rakyat kita, dan untuk memastikan faedah pertumbuhan ekonomi dinikmati bersama.

Kemakmuran mana-mana negara pada masa depan bergantung kepada prestasi rakyatnya. Pendidikan ialah alat yang paling penting untuk kita memecahkan kitaran kemiskinan dan jalan yang paling pasti membawa kepada pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Kerana itulah kerajaan saya sedang mencipta model ekonomi baru yang mengutamakan ilmu pengetahuan.

Mengutamakan pengetahuan juga bermakna memanfaatkan kepelbagaian di negara kita. Di Malaysia, kepelbagaian telah menjadi sumber kekuatan ekonomi kami selama ini.

Menggembleng potensi daripada segenap kelompok masyarakat menjadi asas bukan sahaja untuk mencapai pertumbuhan ekonomi tetapi juga untuk kestabilan politik. Rakyat dari seluruh Malaysia telah menyertai saya dalam menyokong konsep "Satu Malaysia". Ia sebagai usaha untuk memupuk sikap saling toleransi dan saling menghormati antara gender, budaya, kaum, agama dan bangsa.

China dan Malaysia kedua-duanya merupakan kisah kejayaan ekonomi dalam erti kata sebenar. Kita menghadapi masa depan dengan penuh harapan dan peluang terbuka.

Namun demikian, cabaran yang kita hadapi adalah nyata dan banyak usaha yang perlu dilakukan. Memang benar perjalanan seribu batu masih bermula dengan satu langkah. Tambahan pula, dalam mengejar pembangunan ekonomi dan sosial, sesetengah negara perlu melangkah lebih jauh daripada yang lain, dan sesetengahnya pula tentunya mahu mencari jalan sendiri.

Negara-negara yang bercita-cita untuk keluar daripada krisis ekonomi ini dalam kedudukan lebih kukuh perlu mengambil langkah-langkah segera. Saya yakin China dan Malaysia sedang mengambil langkah-langkah perlu.

Selang 35 tahun selepas Zhou Enlai dan bapa saya melancarkan hubungan diplomatik di Beijing, persahabatan antara kita telah bertambah kukuh. Seperti kata pepatah China, "apabila orang menjadi kawan sejati, air yang dikongsi bersama pun terasa manis". Saya menaruh harapan masa depan kita dengan satu sama lain akan bertambah cerah.

Saya yakin perhubungan kita yang sememangnya sudah pun kukuh, akan menjadi bertambah mantap dan erat, menandakan bermulanya era baru dalam hubungan dua hala dengan hasrat untuk mencapai objektif bersama dengan semangat pertalian masa silam, persahabatan masa kini dan perkongsian masa depan.

(Dari Utusan Malaysia Online, 3 Jun 2009)



No comments: