Zambry kekal MB
Oleh Khirul Bahri Basaruddin dan Saufi Hamzah
bhnews@bharian.com.my
AHLI Umno Cawangan Tanjung Malim menjulang Zambry sebaik saja mengetahui keputusan Mahkamah Rayuan memihak kepadanya ketika merasmikan persidangan serentak mesyuarat Umno Cawangan Tanjung Malim di Slim River, semalam. |
Tiga hakim Mahkamah Rayuan ketepi keputusan Mahkamah Tinggi
Dalam keputusan sebulat suara, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang mendapati Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Rahim salah dalam membuat tafsiran peruntukan relevan terhadap Undang-undang Tubuh Negeri Perak (UTNP).
Mohd Raus dalam keputusan lisannya juga memutuskan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah membuat keputusan betul melantik Zambry sebagai Menteri Besar selepas mendapati Mohammad Nizar kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak pada Februari lalu.
"Kami juga berpendapat bahawa keputusan sama ada membenarkan atau tidak permohonan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah dalam bidang kuasa Sultan," katanya. Mohd Raus memberitahu peguam Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah pihaknya akan menulis alasan penghakiman dalam tempoh seminggu.
Mohd Raus berkata, mereka sependapat bahawa mengikut hak istimewa Sultan Perak, apabila permohonan Mohammad Nizar yang dibuat mengikut Perkara 16 (6) UTNP untuk pembubaran DUN ditolak, beliau mesti meletak jawatan.
"Tiada peruntukan khusus atau mandatori dalam UTNP untuk diadakan undi sokongan majoriti di DUN Perak. Malah, kehilangan sokongan majoriti Mohammad Nizar boleh ditentukan dengan cara lain (tidak hanya melalui undi).
Peguam Zambry, Datuk Cecil Abraham, berkata anak guamnya akan meneruskan tugas seperti biasa selepas rayuannya dibenarkan.
Pada 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah selepas membenarkan permohonan semakan kehakimannya.
Bagaimanapun sehari kemudian, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sehingga rayuannya diputuskan. Mohammad Nizar kemudian mengemukakan permohonan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu. Mohammad Nizar memfailkan semakan kehakiman itu pada 13 Februari lalu, memohon perintah injunksi bagi menghalang Zambry, yang dilantik Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 23 Mei 2009).
No comments:
Post a Comment