' PERPADUAN MENJANA KECEMERLANGAN UMMAH '
(29 Mei 2009 / 4 Jamadil Akhir 1430H)
Saya berpesan kepada diri saya dan menyeru kepada sidang Jumaat yang dikasihi sekalian, marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa iaitu melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: "PERPADUAN MENJANA KECEMERLANGAN UMAT".
Islam adalah agama perpaduan dan persaudaraan. Oleh itu ciri utama dalam semua ibadat adalah berpaksikan ukhuwah dan persaudaraan. Kewajipan ibadah khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji diantara lain adalah untuk membina ukhuwah dan perpaduan di antara satu sama lain. Justeru, maka Allah mengisyaratkan bahawa setiap orang mukmin adalah bersaudara. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10:
Maksudnya: " Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.".
Ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang beriman di ikat oleh tali kekeluargaan seagama, satu ikatan yang mengatasi hubungan darah dan kekeluargaan. Mereka berkewajipan untuk memelihara persaudaraan dengan saling menghormati, bekerjasama dan saling membantu dalam kehidupan seharian. Bak kata pepatah “HATI GAJAH SAMA DI LAPAH, HATI KUMAN SAMA DI CICAH”. Inilah ciri persaudaraan Islam unggul yang di bina oleh Nabi S.A.W. ketika berhijrah ke Madinah.
Persaudaraan yang berasaskan akidah ini berjaya menyatukan masyarakat Madinah yang terdiri daripada berbagai pegangan agama dan kabilah. Sejarah mencatatkan kehebatan tahap persaudaraan ketika itu di antara golongan Ansar dan Muhajirin yang dinyatakan bahawa keluarga Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai kepada saudaranya dari golongan Muhajirin. Mereka yang memiliki dua buah rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin dan mereka yang mempunyai dua bidang tanah, sebidang diwakafkan kepada Muhajirin. Demikianlah tingginya tahap persaudaraan dan kasih sayang yang dihayati oleh masyarakat Islam di zaman nabi S.A.W.
Sesungguhnya persaudaraan Islam yang bercirikan roh kekeluargaan dan semangat kekitaan semakin berkurangan, malah terdapat sesetengah ahli keluarga tidak mengenali ahli keluarga sendiri, dan jarang sekali berjumpa. Sesetengah jiran tetangga pula tidak mengenali dan bertegur sapa dengan jiran tetangga yang lain. Sesetengah golongan peniaga pula memeras golongan pengguna. Sesetengah majikan mengabaikan kebajikan para pekerja. Sesetengah golongan fakir dan miskin yang lemah tidak di pedulikan oleh golongan berada. Fenomena hasad dengki, khianat, dendam dan buruk sangka berleluasa dalam masyarakat. Dalam perkembangan semasa, apa yang membimbangkan lagi ialah berlakunya permusuhan dan perbalahan di kalangan para pemimpin dan pengikut parti politik yang pastinya akan mengancam kekuatan dan kedaulatan umat. Persoalan besar timbul dan terus menjadi tanda tanya ialah mengapa umat Islam terus berpecah walaupun kekuasaan kita terus semakin mengecil?.
Mimbar ini berpendapat antaranya ialah kerana pegangan akidah dan taqwa umat Islam sedang di landa krisis. Kehidupan harian sebahagian umat Islam tidak di kuasai oleh iman dan akhlak tetapi di pengaruhi oleh nafsu yang mengutamakan kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan agama, masyarakat dan negara. Kehidupan mukmin yang diibaratkan oleh Nabi S.A.W. sebagai satu anggota badan yang jika salah satu daripada anggota badan itu sakit maka seluruh anggota badan lain juga akan merasai sakit, sudah tidak wujud lagi.
Dalam menangani permasalahan yang membimbangkan ini, minbar menyeru segenap lapisan masyarakat Islam agar sama-sama menghayati budaya ukhuwah dan perpaduan dengan kaedah yang di gariskan oleh Allah S.W.T. diantaranya:
Pertama, mengikis perbuatan saling mencaci, mengeji, mengadu domba dan berperasangka buruk antara satu sama lain yang menjadi punca perselisihan dan perbalahan. Ini selaras dengan perintah Allah S.W.T., firman-Nya:
Maksudnya:
Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri; dan jangan kamu panggil-memanggil antara satu sama lain dengan gelaran yang buruk. Amatlah buruknya sebutan nama fasik sesudah ia beriman. Dan sesiapa yang tidak bertaubat maka merekalah orang yang zalim.
(Surah al-Hujurat: 11)
Kedua, memastikan hak-hak sosio-ekonomi dan politik dalam masyarakat dipenuhi dengan adil dan saksama. Hindarilah amalan diskriminasi dan double standard dalam apa jua aspek yang menyentuh kepentingan setiap individu. Dengan terlaksananya keadilan akan timbullah kepuasan yang mewujudkan persefahaman, penghormatan dan kerjasama yang sekaligus mengukuhkan perpaduan. Ini selaras dengan firman Allah:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum itu mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Midah:8)
Dan ketiga, setiap individu perlu menjadi anggota masyarakat yang berpikiran positif iaitu bersedia bekerjasama dan saling membantu dalam apa jua kebajikan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja selagi kegiatan-kegiatan tersebut berlandaskan tuntutan syarak, berkebajikan dan mendatangkan maslahah umat. Hindarilah sikap ego dan fanatik kepada fahaman sendiri serta serba tidak kena dengan pendapat dan usaha orang lain. Ini selaras dengan firman Allah yang memerintahkan kita supaya saling membantu dalam perkara kebajikan seperti tersebut dalam surah al-Maidah ayat 2:
Maksudnya:
Mengakhiri khutbah mimbar menyeru, marilah kita mengambil iktibar dan cermin diri bahawa pada masa ini terdapat tanda-tanda kekuatan politik umat Islam semakin lemah, penguasaan ekonomi umat juga tertinggal di belakang kaum lain dan kualiti sosial umat juga merosot. Dengan demikian kita tiada pilihan lain kecuali kembali bersatu menguatkan persaudaraan berdasarkan ketaatan kepada ajaran al-Qur’an dan as-Sunnah. Firman Allah dalam Surah Ali-Imran, ayat 103 :
Maksudnya
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.
(Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)
No comments:
Post a Comment