Tuesday, May 12, 2009

ZABRY AKUR KEPUTUSAN MAHKAMAH


IPOH: Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan hati dan fikiran terbuka serta meminta semua penyokong Barisan Nasional (BN) dan rakyat Perak bertenang menghadapi situasi berkenaan.

Zambry berkata, beliau dan enam Exconya akan mengambil tindakan mengikut sistem perundangan berhubung keputusan mahkamah itu yang mengisytiharkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan ringkas melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui Setiausaha Akhbarnya, Nizamuddin Mat Isa.

SMS berkenaan berbunyi, Dr Zambry menerima keputusan mahkamah dengan hati dan fikiran terbuka.

“Saya serta rakan akan mengambil tindakan seterusnya menurut lunas undang-undang dan saya menyeru semua penyokong BN serta rakyat Perak supaya bertenang," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan negeri, Datuk Hamdi Abu Bakar pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, berkata sehingga kini, pihaknya belum menerima sebarang arahan dan maklumat lanjut daripada Zambry.

"Sehingga jam 3.30 petang tadi, saya hanya dimaklumkan melalui panggilan telefon. Zambry memberitahu beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis sambutan Ulang Tahun Umno Ke-63," katanya.

Ketika ditanya berhubung keputusan mahkamah berkenaan, beliau berkata, pihaknya bersedia untuk mengikut perintah mahkamah untuk keluar daripada Bangunan SUK bila-bila masa.

"Kita ikut perintah mahkamah, kalau mahkamah suruh keluar, kita akan keluar. Kita taat dengan perintah mahkamah dan kita tidak ada sebarang masalah," katanya.
(Berita ini dari Berita Harian online , 12 Mei 2009).


No comments: