PELUANG SULTAN AZLAN MUNCUL TERHORMAT
Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my |
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa mengharapkan Sultan Azlan Shah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, bagi membolehkan rakyat negeri itu membuat pilihan secara demokratik selepas Mahkamah Tinggi semalam memberikan kemenangan dari segi undang-undang kepada Pakatan Rakyat. Katanya, inilah masa yang terbaik bagi institusi Di Raja Perak yang amat dihormati sebelum ini, untuk membuktikan bahawa mereka adil dan saksama. "Institusi ini tidak harus dilihat bertindak memihak kepada satu golongan tetapi bertindak berteraskan peraturan dan undang-undang. Prinsip-prinsip demokrasi harus dihormati. "Peluang institusi Diraja Perak keluar dari kemelut ini dengan tahap imej yang lebih tinggi adalah terbuka luas. Bubarkan saja DUN Perak dan biarkan rakyat memutuskan penghakiman mereka," katanya dalam satu kenyataan. Menurut Husam, bagi PAS dan Pakatan Rakyat, pembubaran Dun tidak semestinya memberikan keuntungan kepada Pakatan Rakyat kerana, rakyat Perak bebas membuat pilihan mereka sendiri. Katanya, pembubaran Dun merupakan tetap langkah terpuji yang membuktikan PAS dan Pakatan Rakyat adalah pemain demokrasi yang jujur dan pruden serta berani meletakkan rakyat di tempat teratas. "Kuasa bukan segala-galanya tetapi prinsip-prinsip utama lebih didahulukan," tegas beliau yang juga Excaan Negeri Kelantan. Naib Presiden PAS itu juga menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengembalikan jawatan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah adalah mengejutkan. Katanya, keberanian Hakim Abdul Aziz Rahim membawa Mahkamah Malaysia keluar sebagai institusi yang bebas dan berintegriti adalah amat mengejutkan. "Beliau adalah seorang hero baru," kata Husam. Husam juga menempelak Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, kerana beliau sepatutnya tidak lagi menggunakan saluran undang-undang untuk menyelesaikan krisis Perak yang beliau sendiri mulakan. Tegasnya, walaupun keputusan Mahkamah Tinggi boleh dirayu, tetapi, rakyat tetap beranggapan bahawa pemecatan Nizar adalah tidak sah, dan ianya telah pun diputuskan oleh Mahkamah Tinggi, Menurutnya, Najib harus berani menerima realiti dan berani menyelesaikan kemelut ini mengikut saluran politik adalah langkah yang paling baik. "Jika rayuan itu nanti masih memihak kepada Nizar, Najib dan Umno akan menanggung malu yang lebih besar. Jika keputusan itu atas apa sebab pun memihak kepada BN, rasa euphoria rakyat atas bebasnya kehakiman negara ini kembali menjadi negatif. "Jika Najib berani bertindak bersama Pakatan Rakyat untuk memujuk Sultan Perak memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak, BN mendapat dua markah iaitu bebasnya kehakiman di bawah pentadbiran Najib dan yang kedua, kerana berani mencari jalan penyelesaian kepada krisis atas prinsip kembalikan kuasa penentuan kepada rakyat," ujar Husam. Katanya, Umno dan BN mungkin tewas dalam pilihanraya itu nanti, tetapi maruah politik dan integriti BN akan dapat dihindarkan dari terus koyak. "Ia telah pun koyak dengan parah sebelum ini. Umno-BN mendapat kuasa di Perak, tetapi ia meranapkan imej BN di seluruh negara, bahkan dunia. Harganya terlalu mahal. "Samada Najib ingin terus bermandi dalam lumpur politik yang tidak mungkin dibersihkan selagi ia menggonggong kuasa di Perak melalui jalan di luar batas undang-undang dan amalan demokrasi yang terpuji atau kembali ke pangkal jalan," tegasnya. (Berita ini diambil dari Harakah Daily 12 Mei 2009)
|
Tuesday, May 12, 2009
BUBAR DUN:
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment