Monday, June 8, 2009

MENGENANG MASA SILAM




mokhtar petah

Jikalau aku bukan seorang penulis, tentulah aku tidak berpeluang bergaul dengan orang-orang istana Sultan Perak. Maka kerana aku seorang penulis, maka aku telah bersahabat dengan Sultan Perak, Sultan Idris Shah, adiknya Raja Ahmad Sarifuddin, Raja Ismail dan ADC (adikong) kepada Sultan, Raja Amir bin Raja Razman dan adiknya, Raja Dam (Panglima Perang Istana) serta beberapa orang anak raja lagi.

Memang telah menjadi tradisi dalam isntitusi Raja-Raja Melayu, tidak ada seorang pun rakyat biasa, lebih-lebih lagi yang tidak memiliki sebarang kedudukan, boleh bebas masuk ke dalam istana Raja dengan tidak ada sebab-sebab yang tertentu, dan mendapat perkenan oleh Sultan.

Pada suatu hari, dalam bulan Februari tahun 1962, Sultan Idris Shah telah mengajak aku mengikutinya ke Kuala Lumpur. Itulah pertama kali aku mengikuti rombongan Sultan Perak. Kami tinggal selama dua hari dan dua malam di Istana Perak, dekat Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Pada malam pertama tinggal di Istana Perak, aku telah keluar ke sebuah warung makanan, di Jalan Raja Muda. Di situ aku telah bertemu dengan Ahmad Boestamam, Ketua Parti Rakyat Brunei, A.M.Azahari dan Mansor Tobeng, orang kuat Parti Rakyat Kedah. Kami telah minum teh dan makan roti canai, di warung tersebut.

REVOLUSI

Pada waktu makan di warung itu, kami telah bercakap mengenai perjuangan rakyat Brunei menuntut kemerdekaan dari British. Dalam percakapan itu, aku telah memberi pendapatku kepada A.M Azahari, iaitu supaya dia dan ahli-ahli Parti Rakyat Brunei (PRB) mengadakan revolusi menuntut kemerdekaan Brunei. S.M. Azahari telah setuju dengan pendapatku itu. Manakala Ahmad Boestamam telah menyokong dan mennyifatkan pendapatku itu ’praktikal’.

...kalau bong, ...rakan-rakan kita di Brunei tu tunggu orang putih beri kemerdekaan, sampai kucing bertanduk pun tak akan ada, ...yang baiknya seperti pendapat Mokhtar ini ...,” kata Ahmad Boestamam.

Aku dan Ahmad Boestamam telah mencadangkan kepada A.M.Azahari1, apabila tertubuhnya Negara Kesatuan Kalimantan Utara(NKKU) – Brunei, Sarawak dan Sabah -, seperti yang diperjuangkan oleh Parti Rakyat Brunei, maka Sultan Brunei, Sultan Omar Ali Saifuddin diangkat menjadi menjadi Presiden Negara Republik Kalimantan Utara.

Brunei akan jadi sebuah republik, no more monarchy..., no more monarchism...”kata Ahmad Bostamam.

A.M. Azahari telah bersetuju dengan pendapat aku. Dia telah bersungut kepada kami, iaitu revolusi itu boleh dilakukan, tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) tidak ada wang untuk mengadakan alat kelengkapan termasuk pakaian-pakaian seragam (uniform) untuk tentera revolusi- Tentera Nasional Kalimantan Utara (TNKU).

SULTAN

Aku telah berjanji kepada A.M.Azahari, bahawa aku akan memaklumkan kepada Sultan Brunei, apabila Sultan Brunei datang menemui Sultan Idris, di Istana Perak pada malam esok.

A.M.Azahari telah menegaskan kepada kami, iaitu sekiranya Sultan Brunei telah berkenan menganugerahkan dermanya kepada Parti Rakyat Brunei (PRB), revolusi menuntut kemerdekaan Brunei dari British akan diadakan segera.

Pada waktu kami akan meninggalkan Warong itu, Ahmad Boestamam telah menyedapkan hati A.M.Azahari, bahawa aku akan kemukakan perkara revolusi Brunei itu kepada Sultan negeri itu.

Pada malam esoknya, iaitu pada ketika aku makan bersama Sultan Idris Shah, Sultan Omar Ali Saifuddin dan dua Orang Besar-Besar Negeri Perak, Dato’ Othman Talib dan Dato’ Syed Ahma Jamalullail, di Regent’s Hotel, Kuala Lumpur, aku telah memaklumkan kepada Sultan Brunei akan hasrat A.M. Azahari untuk mengadakan revolusi Brunei dan mengangkat Baginda menjadi presiden Republik Kalimantan Utara.

MENGAKU

Aku juga telah memaklumkan kepada Baginda yang A.M Azahari memerlukan wang untuk belanja mengadakan revolusi itu. Sultan Idris Shah telah tertarik hati dengan hasrat A.M.Azahari itu. Baginda telah mengesyorkan kepada Sultan Omar Ali Saifuddin supaya mendermakan wang Baginda kepada Parti Rakyat Brunei. Sultan Brunei telah mengaku akan menyumbangkan wang Baginda kepada Parti Rakyat Brunei kira-kira RB1.4 juta (mata wang Brunei).

Kira-kira tiga bulan kemudian, Aku telah dimaklumkan, bahawa Sultan Brunei telah mengadakan pertemuan dengan S.M.Azahari dan beberapa orang anggota Partik Rakayat Brunei (PRB).Baginda telah menyerahkan wang $1.4 juta kepada mereka.

Malangnya, pertemuan rahsia mereka itu telah dibocorkan kepada pihak British oleh seorang pegawai kanan Kerajaan Brunei yang telah hadir dalam pertemuan itu. Revolusi anjuran Parti Rakyat Brunei pada 8 Disember 1962 telah mengalami kegagalan.2 Kecuali A.M.Azahari, semua anggota-anggota parti itu dan ahli-ahlinya telah ditangkap oleh polis dan tentera Brunei-British. Undang-undang darurat telah diisytiharkan ke seluruh Negeri Brunei dan perintah berkurung telah dikuatkuasakan di seluruh negeri itu.

Sebaik sahaja Proklamasi 8 Disember 1962 diumumkan, Pesuruhjaya Polis, A.N.Autram dengan segera mengistiharkan perintah berkurung (curfew) di seluruh negeri mulai jam enam petang sampai enam pagi.’3 Langkah ini membolehkan pihak Polis Diraja Brunei mengambil tindakan keselamatan di sekitar tempat dan kawasan terancam, seperti Ibu Pejabat Polis Diraja Brunei, Istana Darul Hana, Rumah Terambak, Balai Polis Kuala Belait dan Panaga.Setelah keadaan darurat diisytiharkan dan kerajaan mempunyai bukti bahawa ’pendurhakaan di Brunei telah dianjurkan dan hasut oleh suatu kumpulan fanatik di dalam parti (Parti Rakyat) tersebut dengan tujuan besarnya hendak menggulingkan kerajaan dengan kekerasan senjata dan selepas itu menubuhkan sebuah Kerajaan Republik di negeri itu, dan kuatkuasa Undang-Undang Pertubuhan, Menteri Besar telah mengharam PRB sebagai sebuah organisasi politik mulai tanggal 10 Disember 1962.4

Parti Rakyat Brunei(PRB) dianggotai oleh:

1 - Presiden...............................A.M.Azahari

2 - Timbalan Presiden.............. Haji Zaini Haji Ahmad

3 - Setiausaha Agung.............. Jasin Afanddy

4 - Bendahari.......................... Sheikh Saleh Sheikh Mahmud

5 - Ahli Jawatankuasa............ Ghani bin Metussin

6 - ” ........... Ak.Hamzah Pg.Seleh

7 - ” ............ Ahmab bin Yakob.

8 - Ketua Biro Politik............ A.M.Azahari

9 - Ketua Biro Ekonomi........ Haji Zaini Haji Ahmad

10- Ketua Biro Sosial................. Umar Tamin

11- Ketua Biro Penerangan........... Osman Latif5

12 - Ketua Biro Organisasi........ Samad Jamaluddin

13 - Ketua Biro Pertanaian

dan Perikanan.....................Yusof Ibrahim

14 - Ketua Pemuda....................... Murshidi Othman

15 - Ketua Wanita....................... Rogayah Abdul Rahman.

PENULISAN

Lembaga Pembangun Sastera Perak (LEPAS) telah ditubuh setelah tertubuhnya Angkatan Sasterawaan 50 (ASAS 50).Aku telah bergiat dalam lembaga itu semenjak aku berkhidmat dengan Harian Parian. Aku telah melibatkan diriku dalam beberapa majlis ceramah dan seminar yang telah dianjurkan oleh lembaga tersebut di Negeri Perak. Di antaranya membentang kertas kerja bersama sasterawan Shanom Ahmad dalam majlis diskusi novel Desa Pingitan oleh Ibrahim Omar, di Dewan Sekolah Menengah Clifford Kuala Kangsar, dan majlis-majlis ceramah penulisan dan sastera kepada para penulis dan peminat sastera, di beberapa daerah di Negeri Perak

Sekitar tahun 1963 aku sering berdampingan dengan Allahyarham Dato’ Profesor Zulkifli Muhammad6, ahli Dewan Rakyat (Bachok). Dia sering pulang ke rumah bapanya dan ibu mertuanya di Kampung Kota Lama Kiri, dekat Bandar Kuala Kangsar. Aku dengan dia mempunyai jalur minat dan jalur perjuangan yang sama, iaitu kesasteraan dan politik yang berdasarkan Islam.

Walaupun aku tidak menyertai mana-mana parti politik, tetapi mungkin kerana rakan rapat, maka beberapa bulan sebelum Prof. Zulkifli Muhammad meninggal dunia pada 6 Mei 1964, dia telah meminta aku memberi ucapan atau ceramah dalam majlis-majlis yang dianjurkan olah Parti Islam Se Malaysia (PAS) di kampung-kampung sekitar daerah Kuala Kangsar.

Dalam ceramah-ceramahku itu, aku menyatakan harapanku kepada orang-orang yang hadir, iatu, “...pergeseran antara PAS dengan UMNO mungkin memakan masa yang lama, tetapi pada satu masa nanti, apabila pemimpin UMNO telah ada kesedaran akan betapa pentingnya negara Islam, dua parti politik orang Islam itu akan bersatu...”kataku.

Kita tidak boleh mengenepikan falsafah bangsa kita, ‘carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga’ dan’ biduk lalu kiambang bertaut’ dan falsafah ini menumntut bangsa Melayu terus waspada dari sekarang dan masa dan mereka.” (Sedutan dari buku, Memoir -Patah Sayap Bertongkatkan Paruh – belum terbit).


1 Haji Zaini Haji Ahmad, 1990, Partai Rakyat Brunei, Petling Jaya, Insan, theInstitute of Social

Analysis.

2 Mokhtar Petah, 1965, Bangsa Melayu Menggugat Dunia, Kota Bharu, Penerbit Pustaka

Aman Press.

3 Manila Chronicle, 9 Disember 1962.

4 Utusan Melayu, 11 Disember 1962.

5 Selepas lari dari khemah tahanan Barakas, tinggal di Malaysia, kini rakyat Malaysia tinggal di

Selangor.

6 Mokhtar Petah, 1965, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan, Kota Bharu, Penerbit Pustaka

Aman Press.







No comments: