Tuesday, February 16, 2010


SPRM jumpa RM2j, Setiausaha Politik Nor Mohamed letak jawatan

Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my


Hasbie Satar


KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Hasbie Satar, meletakkan jawatannya berkuat kuasa, Ahad lalu.

Kenyataan satu perenggan yang dikeluarkan pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, semalam bagaimanapun tidak menyatakan sebab Hasbie meletak jawatan.

Difahamkan, peletakan jawatan Hasbie mempunyai kaitan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadapnya kerana didakwa memiliki sejumlah besar aset yang tidak dapat diisytiharkan perolehannya, termasuk kereta mewah serta beberapa rumah.

SPRM juga dilaporkan membekukan beberapa aset dan akaun bank miliknya bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Hasbie dikatakan ditahan Khamis lalu selepas serbuan SPRM pada jam 3.30 petang di sebuah unit kediaman di Pangsapuri Sri Molek, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang, menemui wang tunai yang diikat mengikut nilai RM5, RM10, RM50 dan RM100 berjumlah kira-kira RM2 juta.

Selain itu, sebuah kenderaan pacuan empat roda didaftar di bawah sebuah syarikat yang beroperasi di Pulau Tikus, Pulau Pinang dan sebuah kereta mewah turut disita.
(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 16 Februari 2010)

No comments: