MARANG, 26 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sekadar dengan cogan kata atau lambang-lambang kemegahan. Apa yang penting, katanya, mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi s.a.w. dengan menghayati ajarannya yang sebenar. “Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan kerasulannya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini. Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang rasul yang paling hebat di kalangan rasul-rasul yang diutuskan. Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, cahaya Allah Taala (Islam) itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia. Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang surut tetapi agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.
---------------------
Rusli Yasmin | KUALA LUMPUR, 27 Feb: "Taufik dan hidayah datangnya dari Allah, kita ni berusaha untuk menyentuh hati-hati mereka," kata Dr Lo'Lo' Ghazali dengan penuh harapan dapat memberi kebaikan dan bantuan kepada penghuni di sekitar lorong Haji Taib, di sini. Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat melancarkan kaunter perkhidmatan kebajikan PAS di hadapan pejabat agungnya, petang semalam. Antara kaunter yang dibuka ialah kaunter khidmat guaman, khidmat kesihatan, khidmat kaunseling dan khidmat perubatan Islam selain memberi makanan dan minuman percuma kepada masyarakat di sekitar situ. Lebih kurang 100 masyarakat sekitar yang hadir bagi mengambil peluang mendapatkan khidmat-khidmat yang disediakan turut menarik perhatian kenderaan yang lalu di Jalan Raja Laut, berhadapan dengan Pejabat Agung PAS. "Kita mengharapkan warga Lorong Haji Taib kini yang agak terbiar, dan ada yang telah tersasar, dapat kita dekati, dapat kita santuni dan insyaAllah kalau boleh kita merubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik," kata Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut yang juga Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatn PAS Pusat ketika ditemui. "Mungkin kita kata mereka ni setengahnya sudah agak tegar, pekerja seks tegar, tetapi kita masih lagi meletakkan harapan, Allah Maha Pengampun, dan kita juga hendaklah bersikap begitu. "Saya harap masyarakat juga memberi peluang kepada mereka sebab kita tahu antara mereka ada yang telah bertaubat (dan) meninggalkan perangai buruk mereka ni," tambahnya. Dr Lo' Lo' juga mengharapkan program itu digerakkan di peringkat negeri-negeri dan kawasan-kawasan. | (Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 27 Februari 2010)
|
No comments:
Post a Comment