Tuesday, February 23, 2010

ARTIKEL KHAS (Ulangan)

ACEH PEMERINTAH AUTONOMI DI ASIA

Oleh: Mokhtar Petah

mokhtarpetah@hotmail.com

Aceh Darus Salam, di Sumatera, – pangkal jalan Republik Indonesia, dari Sabang ke Maroke, akan muncul sebagai pemerintah autonomi pertama dan mengamalkan Islam sebagai dasar di Asia, pada tahun 2009.

Pejuang Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Dr. Irwandi Yusof yang telah memenangi kerusi Gabenor Aceh, pada Pilihan Raya Umum pada tahun lalu telah mengetuai pemerintah Aceh yang sedang dalam proses ke arah pemerintah autonomi.

Aceh yang luasnya 57,365,57km, mempunyai lebih 3.9 juta rakyat yang terdiri dari tujuh kelompok, iaitu Aceh: 70%, Gayo Lut:7%, Gayo Luwes 5%, Alas 4%, Singkil:3%, Jawa 3% dan Simiulu:2%.

Rakyat Aceh yang beragama Islam 98%, Kristian: 0.7%, Hindu: 0.8% dan Buddha:0. 55%.

Pejuang-pejuang yang telah berjuang menuntut ‘Aceh Negara Merdeka’ yang berasingan dari Republik Indonesia, telah bermula semenjak republik itu di bawah Presiden Soekarno lagi.

Pada zaman Presiden Soekarno telah berlaku satu perdamaian antara Pemerintah Pusat dengan Aceh. Soekarno telah menghadiahkan sebuah Quran kepada setiap warga Aceh yang telah baligh ke atas dan semua kitab suci itu dibawa dari Pulau Pinang, di bawah kelolaan Daud Brueh, Hassan Ditero dan Hj. Yusof Rawa.

Dalam satu perjanjian di luar negara tidak lama dulu, Republik Indonesia dan Aceh telah mencapai persetujuan yang Aceh akan menjadi pemerintah autonomi Republik Indonesia pada tahun 2009.

Selain dari berpuluh ribu rakyat Aceh yang dibunuh dalam perjuangan menuntut kemerdekaan, Tsunami melandanya pada tahun lalu, kira-kira 170,000 rakyatnya yang mati atau hilang dan 500,000 hilang rumah tangga.

Saya telah melawat Aceh baru-baru ini dan berkesempatan mengunjungi Pulau Sabang – sebuah pulau yang banyak riwayat kekeramatan dan perairan yang bersih dan indah di antara pulau-pulau di dunia.

Sekurang-kurang tiga golongan yang melawat Aceh, iaitu golongan pertama terdiri politikus dan ahli sosioekonomi mahu melihat Aceh menjadi sebuah pemerintah autonomi yang makmur, adil dan diredai Allah.

Golongan yang kedua para pelancong yang datang mengkaji sejarah Aceh, rakyatnya dan menikmati keindahan sekitar pulau-pulau di Aceh terutama Pulau Sabang.

Di Pulau Sabang yang chalet-chalet kayu yang telah tua dan ada yang roboh telah dikunjungi oleh para pelancong dari seluruh dunia. Mereka datang untuk berenang dan menikmati keindahan kejadian dalam laut.

Manakala golongan yang ketiga penganut agama Islam. Mereka datang ke Acheh bertujuan melihat sebuah negeri yang sedang mengamalkan pemerintahan mengikut Islam, kaum wanita Islam yang tidak membuka aurat – tutup kepala dan tidak mendedahkan bahagian tubuh yang dilarang Tuhan.

Semua wanita yang bekerja dalam jabatan pemerintah diwajibkan memakai pakaian yang tidak berlawanan dengan yang ditentukan dalam Islam.

Saya telah bertemu dengan sekumpulan pelajar wanita dari kolej perbidanan.

Di padang masjid, mereka semua memakai pakaian menutup aurat.

“Kami mengikut arus kemodenan, tetapi kami tidak mengingkari perintah Allah seperti juga pemerintah kami yang taat kepada Allah,” kata Siti Salama binti Hussein.

“Kami orang Aceh memang telah lama mentaati perintah Allah, sekarang kami amat gembira kerana pemerintah sedang menuju hala kepada pemerintahan cara Islam,” tambahnya.

Beberapa kawasan pusara besar yang di dalamnya bersemadi berpuluh ribu mayat mangsa tsunami, dihiaskan dengan papan-papan tanda bertulis nama Allah dalam bilangan 99 nama, telah menginsafkan hati setiap pengunjung yang beriman..

Saya berdiri di pinggir laut di Banda Aceh, terlintas dalam kepala saya akan kisah–kisah dalam Quran, seperti banjir pada zaman Nabi Nuh a.s., bumi terbongkar dan terbakar di Sadom – negeri Nabi Noh a.s. dan Ampangan di negeri Saba (Saman) dilanda banjir dan negeri itu menjadi padang jarak padang terkukur akhirnya.

Akibat tsunami mengubah wajah sebahagian Banda Aceh dan kawasan-kawasan lain, Allah telah membukti kuasa-Nya; ada masjid dan pusara ulama, iaitu Siah Kuala tidak dibinasakan oleh banjir, sedangkan bangunan dan sesuatu di sekitar masjid dan bangunan itu musnah sama sekali.

Sebuah kapal milik pemerintah, iaitu kapal yang menjalankan urusan penjanaan kuasa elektrik telah tersadai dalam sebuah kampung yang jauh dari laut. Manakala sebuah kapal lagi tercampak ke dalam kampung dan tersangkut atas sebuah rumah penduduk.

Semenjak termeterai perjanjian Aceh akan menjadi pemerintah autonomi, undang Islam telah dijalankan, di antaranya menghukum sebat ke atas pasangan yang melakukan zina.

Di mana-mana saya melawat, terdapat sungutan tidak puas hati di kalangan mangsa-mangsa banjir, kerana rumah-rumah yang dirikan untuk mereka – dengan bantuan kewangan badan-badan Islam dan bukan Islam seluruh dunia - selain dari kecil dan berdinding dan beratapkan asbestos yang mungkin membahayakan diri mereka dalam masa yang tidak lama lagi.

Kini selain dari telah mendapat bantuan kewangan dari negara-negara seluruh dunia, ia juga bersedia menerima pelaburan dari rakyat Malaysia untuk menjalan perusahaan di sana.

Di antara peluang-perusahaan perusahaan itu, pertanian, termasuk kelapa sawit, galian; minyak dan gas dan galian-galian lain.

Pada masa ini ramai pelajar dari Aceh sedang menuntut di beberapa kolej dan universiti di negara ini.

No comments: