Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, kes liwat yang dihadapi Anwar masih dijalankan dan biar mahkamah menentukan sama ada Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR) itu bersalah atau tidak.
“Anwar Ibrahim orang berilmu, cerdik tetapi dituduh dengan benda yang tidak diketahui lagi kebenarannya, dituduh secara besar-besaran. Dalam Islam, kalau benda boleh mengaibkan tak boleh didedahkan," katanya kepada media selepas merasmikan Pondok Ahmadiah Islamiah dan Sambutan Maulidur Rasul di Kampung Aman Luar, Kandis dekat sini, semalam.
Beliau mengulas pengiktirafan dunia barat terhadap Anwar yang diberi penghormatan menyampaikan ucaptama pada forum US-Islamic World di Doha baru-baru ini.
Pada 3 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memulakan perbicaraan kes Anwar yang dituduh meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan ditangguhkan sehingga 18 Februari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai isu pembuangan bayi, Nik Abdul Aziz menyifatkan peningkatan kes itu sejak akhir-akhir ini berpunca daripada kejahilan individu yang tidak dapat membezakan antara dosa dan pahala.
“Buang bayi berpunca daripada manusia yang tidak tahu dosa pahala, bukan kerana ada atau tidak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), atau bukan juga kerana tidak ada rumah kebajikan. Ia berlaku akibat daripada perbuatan zina," katanya.
Menurutnya, mereka yang melakukan perbuatan membuang bayi seperti orang tua yang berfikiran seperti 'budak-budak yang tidak tahu apa-apa'.
“Orang yang macam ini macam binatang. Malah lebih teruk lagi daripada binatang,” katanya ketika mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang mengarahkan semua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia 24 jam untuk memberikan bantuan dalam usaha menangani kes pembuangan bayi.
(Berita ini daimbil dari Sinar Harian, 16 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment