Wednesday, February 17, 2010

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada zaman darurat, Tanah Melayu semenjak tahun 1948, Psuruhjaya Tinggi British, Sir Adward Jame dan sampai kepada Sir Gerald Templer, semua orang-orang Cina, Melayu, India dan mereka dari keturunan-keturunan lain yang tinggal dalam kawasan-kawasan tepi rimba terpencil dan sebagainya telah dipindahkan ke kampung-kampung baru, di seluruh Tanah Melayu.

Mereka itu diasingkan ke dalam kampung-kampung baru kerana pihak Kerajaan Inggeris tidaka mahu mereka membantu pergerakan Parti Komunis Malaya (PKM). Mereka itu dalam keadaan dikurung dalam kampung-kampung baru yang dipagar dengan kawat berduri dan dikawal oleh anggota-anggota Polis Khas yang diketuai oleh ’pegawai-pegawai Pelestin’, iaitu pegawai polis Inggeris yang telah berkhidmat di Palestin, sebelum tahun 1947.

Setelah Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney mati ditembak oleh pejuang-pejuang kemerdekaan tanahair, dari Rejimen ke 10 yang dipimpin oleh Abdullah C.D., di Bukit Fraser, pada 6 Oktober 1951, tempatnya diganti oleh Jeneral Sir Gerald Templer pada Mac 1952.

Pasukan Rejimen ke 10 adalah dianggotai oleh pejuang-pejuang Melayu bersama Parti Komunis Malaya (PKM) dan berpangkalan di Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang.

’PKM juga yakin bahawa sokongan orang-orang Melayu amat diperlukan demi memastikan tercapainya matlamat perjuangan komunis untuk mendirikan negara komunis di Tanah Melayu. PKM cuba memperbetulkan kesilapan pada masa lalunya yang mengabaikan orang Melayu.

Dalam usaha untuk menarik sokongan orang Melayu, PKM membentuk rejimen kesepuluh yang berpangkalan di Lubuk Kawah, Temerloh, Pahang. Rejimen yang dikhaskan kepada anggota Melayu PKM itu mengambil angka sepuluh, bersempena dengan tarikh kelendar Islam 10 Zulhijah (Hari raya korban), dengan harapan akan menyemarakkan lagi semangat perjuangan dan pengorbanan di kalangan anggotanya. Rejimen kesepuluh itu diketuai oleh Abdullah C.D. dan Rashid Maidin.

Elok aku rakamkan di sini, apabila Sir Gerald Templer melihat kehebatan pemuda UMNO di bawah pimpinan Saadon Haji Zubir dan Haji Ahmad Badawi, maka untuk melemahkan semangat juang mereka, dia telah bertindak untuk mengharamkan Pemuda UMNO.

’Oleh kerana Pemuda-Pemuda UMNO telah bergerak terlalu cergas dan penuh semangat, kerajaan telah menggertak hendak mengharamkan dan membubarkannya. Tetapi gertak itu telah dicabar oleh Tunku dengan beraninya. Akhirnya gertak itu tinggal gertak sahaja.

Bagaimanapun seperti kata pepetah Melayu, ”Tidak dapat tanduk telinga dipulas” kerajaan telah menggunakan kuasanya untuk menyekat dan melemahkan pergerakan Pemuda UMNO dan dengan demikian melemahkan UMNO dengan mengharamkan pakaian seragam (uniform) Pemuda UMNO.

Kebetulan pada permulaan tahun 1953 tatkala Pemuda-Pemuda UMNO mengadakan Persidangan Agungnya di Melaka, Pemuda-Pemuda UMNO Melaka telah menghadiahkan kepada Tunku Abdul Rahman sepasang uniform Pemuda UMNO. Tunku telah memakai uniform itu tatkala memeriksa barisan kehormat Pemuda-Pemuda UMNO sebelum membuka Persidangan Agung Pemuda-Pemuda UMNO itu. Tunku kelihatan bergaya dan hebat dengan uniform itu. Pemandangan seluruh istiadat pemeriksaan barisan kehormatan itu sungguh menaikkan semangat.

Tetapi hal inilah yang menjolok mata kerajaan. Dengan serta merta Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan, pada masa itu, telah bertindak, satu perintah mengharamkan uniform Pemuda UMNO telah dikeluarkan.

Di sekitar Kuala Kangsar termasuk Sungai Siput dan Hulu Perak, terdapat kampung-kampung baru, yang dipagar dengan kawat berduri dan dikawal oleh anggota-anggota polis khas. Penduduk-pendudukan semua kampung baru itu, sebilangan besar dari orang-orang orang-orang China, diikuti orang India dan Melayu.

Kampung-kampung baru dalam daerah Kuala Kangsar dan Sungai Siput, di antaranya, Kampung –kampung baru Sauk, Liman, Padang Rengas, Jerlun, Manong, Karay, Salah, Lasah, Jalong dan Rimba Panjang.

Dalam daerah Grik, Hulu Perak, di antaranya, Kelian Intan, Padang Gros, Grik, Air Kala, Lenggong dan Kota Tempan.

Kampung Baru Sauk juga telah dipagar dengan kawat berduri yang meliputi rumah-rumah kedai dari tepi jalan raya hingga meliputi dusun buah-buahan dan ladang getah orang Melayu yang bertaraf ’Malay reserve’ (simpanan Melayu).

Aku memaklumkan lebih awal di sini, bahawa dalam pertemuan aku dengan Menteri Besar Perak, Ghazali Jawi, di pejabatnya, di Ipoh pada tahun 1976, aku telah bertanya kepadanya mengenai tanah Malay reserve (simpanan Melayu) di seluruh daerah Hulu Perak dan dalam daerah-daerah lain, termasuk kampung-kampung baru telah diduduki oleh orang-orang bukan Melayu dan Negeri Perak telah memberi hak milik kepada mereka.

Ghazali Jawi telah menjawab, ’...you wartawan, bukan ahli exco, kami ada kuasa hendak beri hak milik tanah kepada siapa saja, ini hak kerajaan ..., kerajaan demokrasi.”

”Tapi Sultan Perak telah bersungut perkara Malay Reserve itu, bagaimana?” Aku telah bertanya kepadanya.

”...Encik Mokhtar, ...walaupun Tuanku ada kuasa, tapi kalau semua anak dapat setuju Tuanku, susahlah, ...satu apa pun rancangan kerajaan tak jadi,” jawab Mohd.Ghazali Jawi.

Aku mempunyai seorang sahabat yang baik dalam kampung Baru Sauk. Dia seorang gadis, Elin Lee (bukan nama sebenar) anak kepada seorang kontraktor dan hartawan Cina. Elin yang lepasan Junior Middle three sekolah Cina itu, membantu ibunya berniaga kain dan pakaian di kedai mereka dalam kampung baru itu.

Ibu bapa Elin Lee baik denganku. Aku sering mengunjungi rumah mereka. Menurut ibu Elin Lee, bahawa datuk neneknya telah tinggal berjiran dengan keluaga-keluarga China Islam di Negara Cina. Walaupun mereka tidak memeluk agama Islam, tetapi makan minum mereka seperti orang-orang Islam juga. Mereka tidak makan daging khninzir. Tradisi datuk nenek itulah terbawa-bawa ke dalam keluarga Elin Lee di kampung baru Sauk.

Elin Lea sering datang ke rumah ibuku. Setiap kali dia datang, dia telah membawa buah tangan, seperti buah-buahan dan kain ela sekadar sepasang baju untuk ibuku.

Pada masa aku bergerak dalam UMNO dalam bahagian Kuala Kangsar dan cawangan Sauk, Elin Lee telah banyak membantuku dengan wangnya. Dia juga telah memberi galakan kepadaku supaya aku terus menulis, kerana katanya, penulis dan wartawan dianggap oleh orang tua-tua Cina pada masa silam sebagai penggerak fikiran orang ramai.

Aku tidak dapat meyakinkan diriku yang Elin Lee menaruh prasaan cinta kepadaku. Kami hanya bersahabat biasa. Kadang-kadang dia telah mengikut aku pergi ke Bandar Kuala Kangsar dan Taiping.

Ada beberapa kali Elin Lee telah bertanya kepadaku mengenai bagaimana dia hendak memeluk agama Islam. Kalau dia memeluk agama Islam, adakah dia dimestikan berkhatan, mesti sembahyang dan berpuasa. Aku telah meminta dia berfikir masak-masak sebelum memeluk agama Islam.

Walaupun aku dengan Alin Lee bersahabat biasa sahaja dan aku tidak ada perasaan cinta terhadapnya, tetapi entah mengapa, kalau aku berjauhan dengannya, terasa benar rinduku kepadanya dan ingin menemuinya. Aku mengakui, dia telah menjadi sebagai salah satu sumber ilhamku untuk menulis.

Kadang-kadang aku terpikir juga, apakah aku seorang yang zalim, telah menggunakan seorang gadis yang tidak aku cintai sebagai sumber ilhamku?

Oleh kerana aku bekerja sambilan dengan dua buah surat khabar Melayu – Utusan Melayu dan Warta Negara, maka saban hari aku berada di Kuala Kangsar dan kadang-kadang di Ipoh, maka perhubungan aku dengan Elin Lee menjadi renggang dan jauh.

Pada masa kami berjauhan hampir setiap hari Ahad, Elin Lee telah datang ke rumah ibuku. Kalau dia tidak datang ke rumah ibuku, dia datang ke rumah kakak saudaraku, Guru Besar Sekolah Perempuan Sauk, Nik binti Haji Said.

Pada masa bekerja pemberita sambilan, aku telah bergaul rapat dengan beberapa Orang Besar-Besar Negeri Perak, orang-orang kenamaan, di antaranya Datuk Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz(setiausaha UMNO pada zaman Onn Jaafar dan Menteri Besar Perak), Raja Hanif Shah, Raja Musa bin Raja Mahadi (Yang Dipertua Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Perak), Dato. Haji Meor Aris kemudian menjadi ahli Dewan Parlimen kawasan Sitiawan, Dato’ C.M. Yusof (kemudian menjadi Speker Dewan Parlimen), Datok Haji Ismail Hamzah (Mufti Kerajaan Negeri Perak), Dato’ Tan Dewa Ramli bin Abdullah (Orang Besar Istana) dan Raja Razman Shah(ahli sejarah).

Selain daripada mereka itu, aku telah bergaul dengan beberapa orang bekas ahli Parti Islam Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang telah tidak ditahan dalam khemah tahanan oleh kerajaan Inggeris.

Pada masa itu hampir semua pemberita, wartawan dan penulis Melayu bersemangat menyertai perjuangan orang Melayu menuntut memerdekaan tanahair dari penjajah Inggeris. Tetapi mereka memiliki idea atau fahaman politik yang berbeda antara satu dengan lain. Mereka itu telah masak dengan sejarah tanahair dan penindasan Inggeris terhadap orang Melayu dan memberi muka kepada golongan pendatang, terutama dalam bidang perusahaan dan perdagangan.

Sebilangan wartawan dan pengarang Melayu telah menyebelahi perjuangan dan cita-cita politik Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam dan sebilangan lagi menyebelahi perjuangan Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman.

Mereka yang menyebelahi perjuangan dan cita-cita politik Dr Burhanuddin Helmi dan rakan-rakannya telah menyanjungi perjuangan Presiden Soekarno dan naibnya, Dr Mohd.Hatta, kerana perjuangan mereka memberi kedaulatan kepada bangsa dan negara Indonesia secara hakiki.

Sekitar tahun 1955, kira-kira dua bulan aku dan seorang guru agama Islam dan penulis, Ustaz Abu Bakar Hamzah, bekas pegawai polis Cawangan Khas, telah berpolemik dalam surat khabar Warta Negara, mengenai isu politik dan agama Islam. Pada masa itu dia berdampingan rapat dengan Tunku Abdul Rahman.

Ustaz Abu Bakar Hamzah telah meminta Tunku Abdul Rahman membantunya mengembangkan sekolah agama dan istitusi pondok di seluruh Tanah Melayu. Pada mulanya Tunku Abdul Rahman telah keberatan menerima permintaannya, kerana pandangan Tunku sama dengan pandangan rakan-rakannya yang berpendidikan Barat, iaitu sekolah agama dan intitusi pondok akan memundurkan rakyat dan akan melahirkan ramai ’mu’allim dan muslimin dan muslimat yang extreme dan tidak memihak kepada UMNO.

Kemudian fikiran Tunku Abdul Rahman telah berubah. Mungkin telah mendapat hidayat dari Allah setelah dia merenung ke belakang; UMNO telah ditubuhkan pada tahun 1946 telah mendapat sokongan dari alim ulama dan mereka yang berpendidikan agama Islam. Dalam UMNO ramai individu yang berpendidikan agama Islam lepasan sekolah-sekolah agama Islam atau isntitusi-institusi pondok.

Tunku Abdul Rahman telah memanggil Ustaz Abu Bakar Hamzah dan memberitahu kepadanya, iaitu dalam menghadapi kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku akan memajukan semua sekolah agama rakyat dan institusi pondok di seluruh Tanah Melayu.

(Sedutan dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, Oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid.)

No comments: