Pakatan akan sedia lebih platform untuk suarakan pandangan |
Dzulfikar Mashhor |
PETALING JAYA, 22 Feb: Semua pemimpin dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat bebas menyuarakan pandangan dan kritikan terhadap muafakat Pakatan Rakyat menggunakan pelbagai saluran yang disediakan seperti mesyuarat, wacana, forum yang dianjurkan secara bersama. Demikian penegasan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang tadi, selepas mengumumkan ketetapan mesyuarat Pakatan Rakyat untuk menubuhkan suatu Jawatankuasa Disiplin yang melibatkan kepemimpinan tertinggi PAS, PKR dan DAP. Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, tindakan beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat mengkritik Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim secara terbuka menggunakan media adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku. “Mereka boleh menyuarakan apa jua pandangan atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen, tetapi tidak bolehlah mengkritik sebagaimana (yang ditujukan kepada) Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng atau Menteri Besar Selangor. “Kalau kita boleh panggil kawan kita (dalam Pakatan Rakyat) sebagai komunis, itu adalah sesuatu yang di luar batas susila sebagai Ahli Parlimen atau Adun,” jelasnya. Ujarnya lagi, mereka yang terbabit sepatutnya menggunakan saluran-saluran yang sedia ada secara bebas dan saksama untuk mengetengahkan sebarang pandangan dan kritikan masing-masing. “Itu tidak munasabah kerana mereka semuanya mempunyai saluran (iaitu) pra mesyuarat antara Ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat yang begitu bebas dan saksama untuk masing-masing dibenarkan menyuarakan pandangan dan menentang mana-mana pemimpin Pakatan Rakyat tidak kira PAS, PKR mahupun DAP.” “Kita (Pakatan) mempunyai saluran wacana untuk mengetengahkan pandangan masing-masing, boleh dikatakan pada setiap hujung minggu dan mereka perlulah menyediakan masa untuk itu,” jelasnya. Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Umum PKR menegaskan bahawa kewujudan Pakatan Rakyat tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kepemimpinan PKR, PAS dan DAP berbincang cita-cita politik kepartian masing-masing. “Dalam mesyuarat parti DAP, mereka bincang apa yang mereka inginkan, begitu juga PAS dan PKR, masing-masing bebas berbincang apa yang mereka inginkan,” ujarnya. Penegasan Anwar itu sekali gus menyanggah dakwaan pihak tertentu sebelum ini kononnya kepemimpinan tertinggi Pakatan Rakyat dilihat cuba menafikan hak bersuara beberapa wakil rakyat terbabit kebelakangan ini. “Kalau ada andaian seolah-olah Ahli-ahli Parlimen atau mana-mana pemimpin parti (Pakatan Rakyat) tidak boleh menyuarakan pandangan dan kritikan, itu adalah tidak benar,” ujarnya. Menurut Anwar lagi, mesyuarat petang tadi turut bersetuju untuk memperkukuhkan Sekretariat Pakatan Rakyat yang sedia ada supaya sekretariat tersebut mampu menjadi satu lagi saluran baru untuk semua pihak menyuarakan pandangan dan kritikan yang membina. Beliau turut menggalakkan semua pihak untuk memberi saranan dan kritikan supaya format yang sedia ada boleh diperbaikkan demi kepentingan rakyat. Dalam perkembangan yang sama, mesyuarat tersebut bersetuju menubuhkan satu Jawatankuasa Disiplin secara bersama yang dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah demi menyelesaikan beberapa isu tatatertib yang melibatkan kepentingan bersama antara PAS, PKR dan DAP. “Kita menetapkan untuk tubuh suatu jawatankuasa tatatertib peringkat Pakatan Rakyat dan kita minta Saudara Sivarasa Rasiahuntuk mempengerusikan jawatankuasa ini,” jelas Anwar. Jawatankuasa tersebut, menurut Anwar, akan dianggotai oleh wakil dari ketiga-tiga parti, PAS, PKR dan DAP untuk membolehkan Pakatan Rakyat menyelesaikan isu-isu berkaitan tatatertib yang melibatkan kepemimpinan ketiga-tiga parti tersebut. Bercakap pada sidang media yang sama, Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menasihatkan mereka yang terbabit supaya insaf dan mengambil tanggungjawab yang sewajarnya kerana setiap Ahli Parlimen hakikatnya dipilih oleh rakyat melalui sistem pilihan raya. Ekoran itu, Abdul Hadi berkata, setiap Ahli Parlimen tidak boleh sewenang-wenangnya dibenarkan mengkhianati amanah serta undi rakyat dengan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas. “Kita bukan mewakili peribadi, kita mewakili parti dan undi rakyat kepada kita adalah suatu amanah yang perlu diinsafi,” jelasnya. Dengan penubuhan jawatankuasa disiplin di peringkat Pakatan Rakyat serta sikap terbuka yang ditunjukkan oleh kepemimpinan PAS, DAP dan PKR dipercayai umum mampu menangani beberapa konflik kepentingan berkaitan kelak. (Berita ini diambildari Harakan Daily online, 23 Februari 2010) |
No comments:
Post a Comment