Wednesday, February 17, 2010

BERITA

Utara: Banjir lumpur paling teruk

Oleh Nurhayati Abllah
bhnews@bharian.com.my


PENDUDUK Taman Seri Kampar, K Susheela bersama tiga anaknya menunjukkan pakaian serta perabot lain dipenuhi lumpur.

Penduduk Taman Seri Kampar turut diancam tanah runtuh lereng bukit ditarah

KAMPAR: Lebih 200 penghuni Taman Seri Kampar, Jalan Burung Helang, di sini, berdepan ancaman tanah runtuh berikutan kerja menarah bukit untuk penanaman semula kelapa sawit yang dijalankan sebuah syarikat sejak dua bulan lalu.

Penduduk yang menghuni dua blok kediaman di taman itu juga berada dalam ketakutan terutama pada waktu malam dan musim hujan kerana terdedah kepada runtuhan tanah serta banjir lumpur yang mungkin berlaku pada bila-bila masa disebabkan jarak lereng bukit dengan kediaman mereka hanya kira-kira lima meter.


Dalam kejadian terbaru, 18 unit kediaman dinaiki lumpur setebal kira-kira 0.3 meter yang menyebabkan kerosakan sebahagian besar peralatan rumah, perabot, kereta dan motosikal penduduk, selepas berlaku hujan lebat kira-kira jam 5 petang.

Seorang penduduk, R Muthalagi, 39, yang bekerja sebagai operator pengeluaran sebuah kilang di Kampar berkata, kejadian tanah runtuh dan banjir lumpur itu paling serius sejak 20 tahun dulu.

“Sepanjang 20 tahun saya menduduki kawasan ini, tidak pernah berlaku kejadian seteruk ini. Masalah banjir memang pernah beberapa kali berlaku di kawasan perumahan ini, tetapi tidak pernah seperti baru-baru ini.

PENDUDUK membersihkan pekarangan rumah yang dipenuhi banjir lumpur.

“Hanya dalam tempoh 10 minit hujan lebat, rumah kami dimasuki lumpur setinggi lutut dan jalan di hadapan rumah kami turut ditenggelami lumpur merah yang datang dari arah bukit. Bukan saja lumpur, arus deras hujan turut membawa sampah-sarap dan dahan kayu mati,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini, masalah seumpama itu tidak berlaku kerana kawasan bukit berkenaan dipenuhi pokok getah dan tumbuhan lain yang boleh menghalang berlaku hakisan.

“Bagaimanapun, sejak dua bulan lalu, pokok getah berkenaan ditebang dan bukit itu ditarah untuk kerja penanaman semula kelapa sawit. Syarikat berkaitan tidak mengambil langkah sewajarnya termasuk membuat benteng atau mendalamkan anak sungai berdekatan kawasan perumahan kami sehingga tanah bukit runtuh dan mengenai rumah kami.

“Kami bimbang jika keadaan itu tidak diselesaikan segera menyebabkan kemungkinan rumah kami tertimbus. Hari ini, peralatan rumah kami rosak tidak mustahil jika kejadian itu berulang kami kehilangan ahli keluarga,” katanya.

PENDUDUK menunjukkan bukit yang ditarah untuk ditanam kelapa sawit.

Seorang pesara kerajaan, Rosli Osman, 54, berkata dia kerugian lebih RM10,000 kerana sebuah kereta dan dua motosikalnya yang diletakkan di hadapan rumah rosak dimasuki lumpur.

“Saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana ketika itu saya dan keluarga berada di dalam rumah. Pada mulanya, saya menyangkakan bunyi kuat dari luar rumah disebabkan hujan lebat, rupa-rupanya limpahan air membawa lumpur merah sehingga memasuki rumah.

“Air lumpur itu memenuhi lantai rumah sehingga ke ruang dapur menyebabkan banyak peralatan elektrik rosak. Kami bernasib baik kerana tidak berlaku litar pintas,” katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 17 Fbruari 2010)

No comments: