Sunday, February 21, 2010

KISAH DARI NOVEL


CINTA DARA BUNIAN


“Madu, Madu, Madu…”

“Madu, …Madu, …Madu …”

“Maduuuuuuuu…”

Suara gadis, lapan belas tahun. Suaranya merdu. Bergema di celah-celah gunung batu. Angin malam memuput dedaun dan bebunga rimba Deru dedaun dipuput bayu dan harum bebunga menambahkan keresahan gadis ayu itu.

Gadis berdiri atas sebuah batu besar berlumut, bermandi cahaya bulan purnama. Dua bola matanya, bercahaya, memburu awan berarak di dada langit, mencari seseorang yang dirindukannya. Entah di mana.

Tubuh gadis berbungkus dalam sepasang pakaian warna perak. Kepalanya berpunjut dalam sehelai selendang warna perak jua.

Ayunya dia.

Tubuh genit,

Wajah bujur sirih,

Dahi sehari bulan,

Kening taji dibentuk,

Mata bintang kejora,

Hidung kuntum seroja,

Telinga telipuk layu,

Pipi pauh di layang,

Bibir delima merkah,

Gigi bak mutiara,

Leher jinjang,

Minum air nampak terbayang,

Dada bidang kuntum bunga sena,

Rambut hitam ikal mayang,

Lengan putih bak umbut,

Jari tombak serai,

Pinggang secekak jari manis,

Paha laksana pepah belalang,

Betis bunting padi,

Tumit telur dikupas.

Bunyi pungguk mendayu-dayu merindukan bulan. Air jernih benak dalam dua telaga mata gadis. Air itu tumpah dan mengalir atas sepasang pipinya laksana pauh dilayang. Sedihnya dengan sedih pungguk menjadi satu.

Pada siang tadi gadis diragut duka. Pemuda yang baru ditemui sekadar seketika telah pergi meninggalkan dirinya. Pemuda itu telah pergi bersama madu yang telah diambil dari sarang pada batu gunung, di situ.

“Siapa nama kamu,”gadis bertanya kepada pemuda itu.

“Madu,” jawab pemuda.

“Madu, …ia Madu?” Gadis bertanya.

“Ia, Madu,”jawab pemuda.

Pemuda senyum. Senyuman pemuda itu, senyuman pemuda bekas mahasiswa dari menara gading. Jantung gadis berdebar. Debaran jantung gadis di hutan banat yang julung kali bertemu pemuda begitu.

“Buat apa madu ni?”Tanya gadis.

“…buat ubat,” jawab pemuda.

“Ubat…?” Gadis bertanya lagi

“Ia, ubat,…Allah dah wahyu kepada lebah,…buat sarang di gunung, pohon

kayu,…apa saja dapat buat sarang,”[1] jelas pemuda.

“Itu saya tau,”kata gadis.

“…dari perutnya keluar minuman yang bermacam-macam,” [2] jelas pemuda lagi.

“…tu saya tauuu…,”kata gadis.

“…dalamnya ada ubat untuk manusia,”tegas pemuda.[3]

“Ia…? Ubat apa…?” Gadis bertanya.

“…macam- macam, dengan izin Allah,” jawab pemuda.

“…apa…?” Gadis bertanya. Kurang sabar.

“Banyak, …cantikkan kulit, payu dara, …tenaga batin, …terang hati...,” pemuda terasa silu menjawab.

Pemuda senyum kepada gadis itunya. Empat pasang bola mata mendidihkan darah dan membakar perasaan Adam dan Hawa dalam diri masing-masing.

Gadis gugup. Bagai Zaleha menatap wajah Yusuf. Debar jantungnya kencang. Laksana gendang dipalu berkali-kali. Terasa rongga dadanya rekah. terpukah. Belum pernah ditemuinya pemuda sekacak itu.

“Adik siapa nama?” Tanya pemuda. Senyum. Sinar matanya menjilat pucuk jantung gadis di hadapannya.

“Dara,” jawab gadis. Senyum.

Dua puntung kaki gadis menggigil atas batu. Peluh harum manisnya melembapkan batang tengkuk dan lorah dadanya.

“…cantik nama tu,” suara pemuda memuji kejadian Tuhan.

Gadis tunduk. Dua ulas bibir delima merkahnya ada ketarnya.

“…adik duduk di mana?” Pemuda bertanya.

“Duduk di kampung ni…,” jawab gadis.

“…kampung ni? ...tak nampak kampung…, hutan rimba saja,”kata pemuda. Hairan.

“Ada, …kan Madu nampak Dara,” sahut gadis.

“Nampak, cantik …,”pemuda memuji lagi.

Pemuda senyum. Dua biji matanya merenung puncak hutan rimba, gunung ganang yang mengepung dirinya bersama dara. Sepasang biji matanya kembali bersinggah pada wajah dan bergolek atas dada gadis itu, lalu terpelanting merenung dada langit berselindungkan awan biru.

“…dia ni orangke…, pari-pari, …bunian…”hati pemuda bertanya.

Gadis merenung wajah pemuda itu. Senyum. Pemuda senyum kepadanya. Sambil menjilat madu pada jari telunjuknya, dia membaca “A’uzu billahi minasy syaitanir rajim. Bismillahir Rahamanir Rahim”. Gadis merenung dua ulas bibirnya. Debar jantung gadis kalut lagi.

Lepas meminta diri kepada gadis itu, pemuda meninggalkan gadis yang masih terpacak di situ.

Dara tercengang. Hatinya diramas sesal kerana tidak sempat mengucapkan selamat jalan kepada pemuda itu. Dua biji matanya tersangkut pada belakang pemuda nun jauh di sana. Sayup-sayup dia merenung kepala, belakang dan pinggul pemuda yang sedang menapak meredah semak samun. Atas bahunya tertenggek sebiji tangki plastik berisi madu. Kemudian tubuh pemuda bersama tangki plastik hilang di balik batu besar berselimutkan anggerik gajah dan paku pakis yang merimbun.

Cahaya purnama masuk menerusi jendela. Cahaya itu mengusap wajah Azmi yang sedang lena atas katil bujang. Mimpi indah sedang menguliknya. Azmi mendengar suara dara memanggil namanya, Madu.

Azmi telah membohongi Dara, konon namanya, Madu. Dara percaya sebersih hati gadis sunti kepadanya. Itulah kali pertama Azmi membohongi gadis. Tetapi kepada Dara dia terpaksa berbohong kerana dia takutkan gadis itu; mungkin dia orang bunian, hantu penunggu gua atau langsuir.

Azmi terjaga dari lenanya. Dalam pembuluh telinganya masih terngiang-ngiang suara dara. Gadis rimba itu cantik, secantik kekasihnya, Tijah. Suara dara lembut basah seperti suara gadis Suraya, gadis kematian kekasih, di Seri Serdang.

Sambil membaca al Fatihah, Azmi bangun dan berjalan ke ruang dapur. Sebaik-baik sahaja selesai berkumur, dia menuangkan beberapa teguk air dingin ke dalam mulutnya. Air dingin terjun ke ususnya. Dari ruang dapur itu dia berjalan ke biliknya semula. Di jendela ternganga Azmi merenung bulan purnama. Bulan senyum dan menahan tawa kepadanya.

“Dara,…dara panggil aku?” Azmi bertanya ke arah malam dan purnama.

Bunyi pungguk lara mendayu-dayu, sedih dan hiba menyeru bulan bujang di dada langit.

“…orangke dia, …pari-pari, …orang bunian...,langsuir...?” Azmi bertanya lagi.

“Takkan bunian pakai baju, kain sarung,…selendang macam ustazah di universiti Islam...,”hati Azmi bersuara.

“Dalam rimba banat tu mana ada anak dara,…manusia, …harimau, badak, lotong, kakah adala…,” bisikan Azmi mengoyak dua ulas bibirnya..

Bisikan Azmi bagaikan raung dan jerkah kepada dirinya sendiri.

“Madu, Madu, Madu…,”suara Dara sayup-sayup menerjah ke sepasang lubang telinga Azmi.

Pada saat-saat begitu timbul dalam hati Azmi perasaan kasihannya kepada Dara. Menyesal hatinya kerana membohongi Dara. Gadis itu percaya namanya, Madu. Terasa benar dirinya bersalah. Perasaan sesalnya mendera dirinya.

“…esok aku akan ke bandar, tak boleh pergi ke rimba tu,”hati Azmi bersuara.

“Esok hari Jumaat, aku tak kerja, …sembahyang Jumaat…,”suara hatinya lagi.

Azmi memacakkan janji pada hatinya, pada hari Sabtu, lusa, dia akan pergi bersama Long, lelaki orang asli, juru ragas pokok dan gunung untuk mengambil madu. Dia akan menemui Dara.

“Dara…,” bisik Azmi.

Purnama senyum kepadanya.

Telinga Azmi terdengar sayup-sayup suara Dara memanggil namanya, “Madu, Madu…, Maduuu…’.

*** ***

Dara anak tunggal, dari golongan makhluk tidak madani. Bukan golongan hadhari. Mereka jenis makhluk zuhud. Tinggal dalam alam ghaib, seperti pengakuan Tuhan, ’Dan tiadalah sesuatu yang tersembunyi di langit dan di bumi, melainkan (semuanya) dalam kitab yang terang (Quran)[4].

Bapa Dara, orang alim lagi warak. Ibunya, perempuan baik budi dan taat kepada Allah.

Sejak tengah malam Dara duduk atas tikar sembahyangnya. Di atas sejadah dia telah sembahyang sunat. Sunat hajat, sunat tahajud, sunah istikharah dan berbagai jenis sembahyang sunat telah dikerjakannya. Entah berapa ribu nama Allah di zikir dan diratibkan dengan hatinya yang tulus. Banyak amat selawat kepada Nabi Muhammad telah dilafazkannya.

Dara menadah tangan berdoa kepada Allah; meminta ditemukan dirinya dengan pemuda yang telah membawa hatinya entah ke mana itu. Dara mahu bersahabat dengan pemuda itu. Dara mahu mendampinginya. Dara mahu bersuamikan pemuda kecak tersebut.

“Ngapa dia tinggalkan Dara? Ngapa dia tak ajak dara?”suara Dara sebaik-baik sahaja selesai sembahyang sunat istikharah.

“Madu, Madu, Madu, Madu, Madu,” Dara berwirid kasih nama pemuda yang dirindukannya itu.

“Ya, Allah, atas nama-Mu, kehendak-Mu, kuasa-Mu, ihsan-Mu, …temukanlah aku dengan dia, …dengan Madu…,”Dara berdoa kepada Tuhan.

“Macam inikah cinta Balqis kepada Nabi Sulaiman?” Dara membisikkan pertanyaan kepada dirinya.

Tiada jawapan.

Dara tahu kerana cinta kepada Nabi Sulaiman maharani Balqis meninggalkan Ma’arib, Sana’a lalu mengembara jauh mendapatkan Nabi Allah itu. Cintanya kepada Allah dan Nabi Sulaiman menjadikan dia meninggalkan segala kebesaran dan takhtanya.

Rindu amat hati Dara kepada pemuda pemungut madu lebah itu.

Dara tidak tahu mengapa dia jadi begitu. Tenggelam dan lemas dalam tasik cinta. Hanya Allah tempat dia berserah. Jiwa nuraninya, cinta dan hidup matinya di bawah kuasa Maha Pencipta segala itu.

Air jernih bergenang dalam dua telaga mata Dara. Air itu tumpah. Mengalir atas dua pipinya lalu luruh laksana butir-butir mutiara atas telekungnya.

Tubuh Dara masih berbungkus dalam telekung. Dia bangun dari dalam telekungnya, berjalan keluar lalu mendapatkan ibunya yang sedang berdiri, di tepi jendela. Ibunya berjubah labuh warna putih sedang merenung pepohon segar menghijau pada pagi muda itu.

Assalamualaikunna, emak,”ucap Dara.

“…alaikunna salam, …baru sembahyang?”Tanya Ibu.

“Lama dah…,”jawab Dara.

Si ibu merenung wajah anaknya. Senyuman mesra amat.

“Emak, Dara tak dapat lena pada malam tadi…,”Dara memberitahu ibunya.

“Ngapa Dara?”Tanya ibunya.

Dara diam. Tunduk.

“…macam tulah anak dara dah berumur macam Dara ni,”jawab ibunya.

“Tapi, emak, baru malam tadi saja,emak,”kata Dara.

“Ha, malam belum ni, tak?”Tanya ibunya.

“Tak pernah, emak,”jawab Dara.

Ibu Dara senyum.

Dara menceritakan kepada ibunya. Pada waktu dia berjalan-jalan, di taman pada petang semalam, dia telah berjumpa dengan pemuda sedang mengambil madu. Pemuda itu bernama Madu. Ibunya senyum. Si ibu faham akan diri anak gadisnya. Arif benar dia; anak gadisnya berusia begitu mudah jatuh cinta kepada lelaki.

“Apa dia dah kata pada Dara?”Tanya ibunya.

” ...ada, bila Dara tanya nama, dia kata, namanya, Madu,”jawab Dara.

”Takkan nama Madu, ...ada nama lain kot,”kata ibunya.

Geleng-geleng.

”Dara tak tau, ...dia tak cakap,”sahut Dara.

”Apa katanya lagi?” Tanya ibunya.

“…. dia cakap macam ayat Quran...,surah, …surah an Nahl…,”jawab Dara.

”Apa katanya,” tanya ibu Dara lagi.

” Dia kata, madu jadi ubat, ...ubat macam-macam penyakit...,” jawab Dara.

Ibu Dara senyum sambil merenung wajah anaknya. Tangan kanannya diletakkan atas bahu Dara. Hatinya yakin anak gadisnya telah jatuh cinta kepada pemuda itu. Ada khuatir dalam hatinya, kalau-kalau anak gadisnya itu disia-siakan oleh orang yang dicintainya. Ibunya amat tahu; manusia-manusia di luar pandai mengucap kata-kata cinta, bermain dengan kata-kata cinta, bersumpah dengan cinta, tetapi ramai gadis yang menjadi mangsa, merana, gila atau mati kerana cinta.

”...Dara anak emak, ...pemuda itu bukan orang tempat kita,”kata ibunya.

”Iakah, emak, ...mana emak tau?”Tanya Dara.

“…macam ni, Dara, mana ada pemuda tempat kita ni ambil madu...,”kata ibu Dara.

Dara diam.

“…orang tempat kita ni mana ada yang sakit,”kata ibunya lagi.

”Dah tu, dia dari mana, emak?”Tanya Dara.

“Dia bukan pemuda sini, …datang dari tempat lain,”jawab ibunya.

“Tempat mana?”Tanya Dara lagi.

“ …dunia lain, …dunia nyata, …tempat manusia banyak buat dosa, … buat baik,”jelas ibunya.

Dara tunduk. Dia yakin benar akan tutur ibunya.

“Ada ihsan, ma’aruf..., ada soleh, ...ikut Quran, ikut Sunnah Nabi, ...ramai juga buat mungkar .., buat maksiat, buat dosa,” jelas ibunya.

“Dah tu macam mana Dara nak jumpa dia?”Tanya Dara.

“Nak jumpa, nak buat apa?”Tanya ibunya pula.

“Dara nak dia, Dara sayang dia, …Dara nak ikut dia…,”jawab Dara.

Ibunya senyum. Perangai anaknya tidak tumpah macam perangainya pada masa usianya sama dengan usia anaknya itu.

“Nak ikut dia?”Ibu bertanya.

“Ia, emak, Dara nak ikut dia…,”jawab Dara.

Ibu Dara senyum. Pada wajahnya ada warna simpati kepada anak gadisnya.

“… tak mustahil, …kuasa Allah, emak, ...apa pun jadi,”kata ibu Dara.

“Ia, emak, Allah Maha Kuasa…, Maha Alim…, emak,”sahut Dara.

“…kalau Dara ikut dia, Dara dah tak dapat balik ke sini lagi,”kata ibu Dara.

”Ngapa, emak?”Tanya Dara.

”...Dara jadi macam orang sana, ...tak boleh ghaib, tak boleh jalan dalam awan, tak boleh jalan atas air...,” jawab ibunya.

“Tak apa, asalkan dia sayangkan Dara, ... nikah dengan Dara,” sahut Dara. Senyum.

”...macam ni, Dara,” kata ibu Dara.

”Apa, emak?” Dara bertanya sambil memeluk tubuh ibunya..

”…Dara pergi jumpa dia, …ajak dia jumpa ayah, emak,”kata ibu Dara.

”Baik, emak, ...Dara akan ajak dia, emak,” Dara mengaku.

Dara ditimang-timang oleh perasaan gembiranya sendiri.

”Emak harap, dia tu, pemuda baik…, soleh…,”sahut ibunya.

“…insya Allah, emak,”sambut Dara.

Dara dan ibunya berjalan beriringan ke pintu. Bapa Dara tiba di kaki tangga. Dia baru pulang dari masjid as Syuhada , tidak jauh dari rumah mereka.



[1] Quran, An Nahl: 68

[2] Quran, An Nahl: 69

[3] Quran, An Nahl: 69

[4] Quran, An Naml:75.


(Kisah ini disedut dari manuskrip novel, Madu Dan Cinta, oleh: MOkhtar Petah)

No comments: