Saturday, June 13, 2009

1 MALAYSIA:


TIDAK KETEPI HAK MELAYU - Najib

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup.com.my

Najib Tun Razak bersalaman dengan Ibrahim Ali yang mengetuai delegasi Perkasa dalam pertemuan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.




PUTRAJAYA 12 Jun - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan pelaksanaan konsep 1Malaysia tidak akan mengetepikan hak-hak orang Melayu dan bumiputera seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah terus diperkasakan.

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri kepada delegasi Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) yang melakukan kunjungan ke pejabatnya di sini hari ini.


DPM Najib Razak by Najib Razak.

Najib Tun Razak

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, walaupun bertanggungjawab kepada semua kaum, Najib tetap mahu agenda orang Melayu diberikan perhatian utama.

"Kita mengalu-alukan dan amat senang hati apabila Perdana Menteri menyebut konsep 1Malaysia tetap bertunjangkan kepada Perlembagaan Negara, ini asasnya.

"Sebagai Perdana Menteri yang menunaikan kewajipan kepada semua kaum rakyat Malaysia, agenda Melayu tetap dekat di hatinya (Najib)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira dua jam dengan Najib di sini hari ini.

Delegasi Perkasa terdiri daripada 20 orang pakar dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, kewangan, agama, bahasa, undang-undang dan keselamatan negara.

Menurut Ibrahim, perbincangan tersebut juga menyentuh isu-isu berkaitan liberalisasi yang turut akan menjaga kepentingan orang Melayu dan bumiputera.

Antaranya, jelas beliau, Perdana Menteri mahu pengambilan bilangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditambah kepada 200,000 orang bagi melahirkan lebih ramai profesional Melayu.

Selain itu, tambahnya, Majlis Amanah Rakyat (Mara) diberi suntikan sebanyak RM550 juta untuk program-program pembangunan orang Melayu dan bumiputera.

Sehubungan itu, Ibrahim memberitahu, Perkasa akan terus memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kepada orang Melayu dalam menjelaskan pelaksanaan konsep 1Malaysia dan liberalisasi kerana ramai yang masih keliru.

Katanya, Perkasa akan mengadakan sesi penerangan bergerak ke seluruh negara untuk memberi maklumat kepada rakyat di peringkat akar umbi mengenainya.

Ia dijadual bermula pada 21 Jun ini di Negeri Sembilan diikuti Wilayah Persekutuan, Johor, Perak, Selangor dan negeri-negeri lain termasuk Sabah serta Sarawak.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 13 Jun 2009)

No comments: