Budaya politik baru
|
|
KUALA LUMPUR 19 Okt. – Datuk Seri Najib Tun Razak mahu transformasi ahli-ahli UMNO digerakkan sehingga ke peringkat akar umbi bagi membolehkan mereka menterjemahkan model budaya politik baru yang bersifat inklusif, terbuka dan demokratik.
Presiden UMNO menegaskan, pembaharuan dalaman parti mesti disusuli dengan perubahan dari segi budaya, pemikiran, tindakan dan pertuturan.
‘‘Kita telah memulakan proses pemulihan politik di mana parti telah meminda perlembagaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lalu dan saya mengingatkan kepada ahli, ia merupakan titik permulaan kepada budaya baru model politik UMNO bersifat terbuka, inklusif dan demokratik.
‘‘Ia tidak boleh terhenti begitu sahaja, pembaharuan UMNO mesti disusuli dari segi budaya, pemikiran dan tindakan serta pertuturan supaya perubahan itu meresap dan menular ke peringkat bahagian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan Taklimat Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Majlis Taklimat Presiden yang menjadi tradisi pembuka tirai kepada setiap perhimpunan agung parti memberikan ‘mood’ awal kepada kira-kira 4,000 perwakilan sekali gus menggambarkan hala tuju sepanjang perhimpunan sehingga Sabtu ini.
Imej parti yang mampu berubah terserlah apabila Najib dan para pemimpin tertinggi UMNO tampil di pentas utama dengan baju seragam berwarna putih sekali gus memberikan gambaran parti yang segar, ceria dan sedang bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan
Dalam taklimat kira-kira satu jam itu, Najib berkata, beliau menggariskan beberapa perkara penting berkenaan sistem demokrasi berparlimen dan peranan yang perlu dimainkan oleh anggota parti ke arah pengukuhan bahtera UMNO.
Selain itu, katanya, beliau juga mengingatkan setiap ahli agar memelihara kedudukan serta imej parti dan calon yang hendak diturunkan dalam pilihan raya mesti disenangi oleh rakyat.
‘‘Oleh itu, ahli-ahli di peringkat akar umbi, saya banyak tekankan supaya bersifat inklusif dan dapat tunjukkan imej yang disenangi oleh rakyat dan sentiasa dekat di hati rakyat melalui pelbagai aktiviti dan apa yang mereka lakukan sepanjang masa.
‘‘Dengan ini, kita dapat tunjukkan UMNO adalah merupakan pemudah cara dan pelopor kepada segala kegiatan di peringkat akar umbi,’’ ujarnya
Selain itu jelas Najib, ahli-ahli juga ditekankan mengenai jasa-jasa besar UMNO dan pada masa sama mereka patut sedar tentang kelemahan menyerlah parti-parti pembangkang sejak kebelakangan ini.
Dengan ingatan dan langkah-langkah pengukuhan tersebut, beliau berkata, UMNO telah memulakan perjalanan dalam membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13.
‘‘Perubahan perlembagaan yang kita lakukan pada tahun sudah adalah langkah pertama tapi mesti disusuli usaha yang boleh mengukuhkan parti melalui perkara-perkara yang saya sebut tadi.
‘‘Penyatuan di peringkat bahagian adalah amat penting dan memberi tumpuan kepada kerja-kerja pengukuhan parti ada kaitan mengukuhkan ke arah pilihan raya apabila ia diadakan,” katanya.
Ditanya mengenai usaha memastikan perjuangan nasionalisme UMNO tidak memberikan ancaman kepada mana-mana pihak, Najib menegaskan, negara telah mencapai kejayaan di bawah kepimpinan Melayu yang diterajui parti itu.
‘‘Selama ini, kepimpinan Melayu UMNO yang sentiasa bertimbang rasa dan adil kepada semua kaum.
‘‘Jadi ini satu prinsip yang kita pakai sejak dulu lagi, sejak zaman Tunku (Abdul Rahman), kita amalkan prinsip yang sama, yang membezakan ialah kaedahnya dan memperincikan strategi yang patut kita laksanakan, tetapi prinsip dan falsafahnya tetap sama,” katanya.
Dalam taklimat tersebut Najib berkata, beliau menjelaskan kepada pemimpin UMNO tentang pelbagai cabaran besar yang berjaya dilalui dan hasil kerjasama ahli parti, kerajaan dapat memulihkan negara daripada krisis ekonomi.
Justeru katanya, kini negara berada pada landasan pemulihan yang segar lantas membolehkan kerajaan merencanakan masa depan berdasarkan kepada pengharapan baru.
‘‘Kita boleh mencapai hasrat untuk mentransformasikan negara seperti kepada wawasan negara berpendapatan tinggi dan segala perancangan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sedang berjalan lancar,” katanya.
(Berita ini diambi dfsri Utusan Malaysia online, pada 20 Oktober 2010)
No comments:
Post a Comment