2 ditahan suap RM33,600 seminggu
SEREMBAN 3 Okt. - Dua lagi pegawai Imigresen ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai 'menyeludup' pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini yang dikatakan meraih pendapatan sehingga RM33,600 seminggu.
Pegawai yang bertugas di jeti Port Dickson, dekat sini itu dikatakan mengenakan bayaran RM5,600 bagi setiap feri membawa PATI sejak empat tahun lalu. Dalam seminggu, enam feri yang setiap satu mengangkut kira-kira 70 PATI dari Dumai, Indonesia akan berlabuh di jeti Port Dickson.
Dalam tangkapan Rabu lalu itu, SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM26,000 di pejabat salah seorang pegawai terbabit.
Kelmarin, seorang pegawai Imigresen turut ditahan kerana menjadi dalang sindiket 'menyeludup' PATI melalui jeti Pulau Ketam, Selangor.
Jurucakap SPRM negeri berkata, dua pegawai yang berusia 40-an dan 50-an itu diberkas bersama-sama seorang lelaki, kira-kira pukul 7 petang di jeti berkenaan, Rabu lalu.
Difahamkan, lelaki yang ditahan itu menjadi perantara dengan tekong feri Indonesia untuk membawa masuk PATI dari negara tersebut.
Menurut jurucakap SPRM itu, hasil intipan SPRM mendapati kedua-dua pegawai itu telah melakukan kegiatan tersebut sejak empat tahun lalu.
"Mereka (pegawai) menerima rasuah RM5,600 bagi setiap feri yang membawa 70 PATI dari Dumai, Indonesia yang ingin masuk ke negara ini," katanya di sini hari ini.
Jurucakap itu menambah, dua pegawai Imigresen itu mengutip wang rasuah daripada tekong dan jika gagal membayar wang tersebut, tekong tidak akan dibenarkan menurunkan PATI.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini ditahan reman sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut.
Pihak SPRM turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada terdapat pengawai Imigresen mahupun kakitangan agensi lain turut terlibat sama dalam kegiatan tersebut, jelasnya.
Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Hishamuddin Hashim ketika dihubungi hari ini mengesahkan kes berkenaan.
Kelmarin, SPRM menahan seorang pegawai Imigresen dan tujuh individu kerana dipercayai terlibat menyeludup masuk PATI melalui jeti Pulau Ketam setelah menerima suapan dikenali sebagai 'wang tunjuk' dari kapten kapal.
Dalam serbuan itu, SPRM turut menemui wang tunai kira-kira RM30,000 di rumah pegawai Imigresen tersebut, manakala RM70,000 lagi dijumpai di pejabat salah seorang perantara yang ditahan.
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online pada hari ini)
No comments:
Post a Comment