Tuesday, December 8, 2009


Isu selatan Thailand dibincang

BANGKOK 7 Dis. - Isu selatan Thailand dijangka menjadi antara topik utama perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan rakan sejawat dari Thailand, Abhisit Vejjajiva dalam Rundingan Tahunan (AC) ke-4 Malaysia-Thailand yang akan diadakan di Rumah Kerajaan di sini, esok.

Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaacob berkata, walaupun isu pergolakan dan autonomi di wilayah itu adalah masalah dalaman Thailand, tetapi ia tidak boleh diketepikan oleh kedua-dua pemimpin itu daripada dibincangkan memandangkan isu tersebut sering menjadi tumpuan dan ditunggu-tunggu oleh rakyat di selatan Thailand.

Malah, katanya, kerajaan Thailand telah membayangkan untuk membangkitkan isu keselamatan dan pembangunan di wilayah selatan negara itu dan juga isu perhubungan termasuk perhubungan fizikal dalam mesyuarat berkenaan nanti.

Tambahan pula, kata Husni, Malaysia telah diminta oleh Thailand sendiri sebelum ini untuk membantu membangunkan wilayah tersebut terutama dalam bidang pendidikan, di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan.

"Kita bukan campur tangan dalam urusan dalaman negeri Thailand tetapi kita diminta oleh Thailand untuk membantu di mana yang boleh.

"Dengan pengalaman sebagai negara berbilang kaum, Malaysia diyakini mampu untuk membantu," katanya kepada wartawan Malaysia yang berada di sini untuk membuat liputan lawatan kerja Perdana Menteri mulai hari ini.

Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dijadualkan tiba di sini malam ini dan akan mempengerusikan bersama AC esok sebelum berlepas ke Narathiwat untuk lawatan kerja di sana pada Rabu.

Lawatan sehari suntuk ke Narathiwat bersama Abhisit dilihat sebagai petanda bahawa isu itu bakal menjadi topik utama perbincangan.

Lawatan itu juga membolehkan kedua-dua pemimpin membuat susulan dalam pelbagai bidang kerjasama yang dipersetujui semasa lawatan rasmi Abhisit ke Malaysia pada 8 Jun lalu dan juga dalam Mesyuarat Peringkat Menteri Strategi Pembangunan Bersama (JDS) dan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JC) ke-11 yang diadakan pada Ogos lalu di Kota Kinabalu, Sabah.

Mengenai 'sokongan' Malaysia terhadap autonomi di selatan Thailand, Husni berkata, Malaysia berpendapat autonomi boleh diwujudkan dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya pemberian kuasa dalam semua bidang.

"Thailand memang menolak cadangan autonomi di wilayah itu tetapi kita berpendapat ia boleh diberikan dalam bidang tertentu seperti pendidikan, pentadbiran dan sebagainya. Ini cuma pendapat, bukannya campur tangan," tegasnya.

Mengenai Task Force 2010 yang menjadi perantara antara kerajaan Thailand dengan pemimpin penduduk di selatan Thailand, Husni berkata, kumpulan kerja itu mungkin tidak akan disambung apabila ditamatkan pada penghujung tahun ini.

Katanya, kedua-dua kerajaan mempunyai pelbagai mekanisme lain dari peringkat terendah sehingga tertinggi yang lebih terbuka bagi membincangkan sebarang masalah antara kedua-dua negara seperti Kawasan Pembangunan Bersama (JDA), Strategi Pembangunan Bersama (JDS), Rundingan Tahunan dan Jawatankuasa Am Sempadan (GBC).

"Justeru, isu selatan Thailand juga boleh dibincangkan dalam kumpulan kerja atau jawatankuasa yang sedia wujud dan bukannya menerusi satu mekanisme yang berasingan," jelasnya.

Task Force 2010 dibentuk pada Januari 2007 semasa Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri, bertujuan membantu menggembleng usaha mewujudkan keamanan di selatan Thailand.

Sementara itu, lawatan Perdana Menteri dilihat akan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan perdagangan yang sedia terjalin antara Malaysia dan Thailand.

Husni berkata, Thailand adalah rakan perdagangan keempat terbesar Malaysia dengan sejumlah RM68.6 bilion dicatatkan pada tahun 2008, meningkat sebanyak 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, tetapi menurun sedikit pada tahun ini disebabkan oleh ekonomi dunia yang perlahan.

"Dari segi pelaburan, usahawan Malaysia berjaya menembusi sektor perbankan, petroleum, pembinaan dan pembuatan alat ganti kenderaan manakala perdagangan tertumpu dalam sektor elektrik dan elektronik, kimia dan kelapa sawit," katanya.

Beliau memberitahu, Thailand juga adalah pasaran asing kedua terbesar bagi Proton selepas China dengan lebih 2,000 kenderaan sudah berada di pasaran, manakala sebanyak 1.8 juta rakyat Malaysia melawat Thailand tahun lalu, menjadikan mereka kumpulan terbesar pelawat ke negara itu.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 8 Disember 2009)

No comments: