'Usah ganggu siasatan SPRM'
Oleh Khairul Azran Hussin
khaiazr@bharian.com.my
Tindakan boleh jejas usaha penambahbaikan suruhanjaya: Ramon
KUALA LUMPUR: Parti politik dinasihatkan tidak mengganggu atau mencampuri urusan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana tindakan itu hanya akan menjejaskan usaha penambahbaikan suruhanjaya berkenaan.
Pengerusi Panel Penasihat SPRM, Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata tidak perlu ada pihak lain memberi arahan apa yang patut atau ti-dak patut dilakukan oleh SPRM kerana suruhanjaya itu tahu apa yang terbaik bagi membanteras gejala rasuah.
"SPRM ada peranannya dan kalau semua orang, termasuk parti politik yang sering mengganggu, susahlah. Biar SPRM buat apa yang patut dalam membanteras rasuah di negara ini.
"Penasihat Panel yang ditubuhkan untuk memantau perjalanan SPRM sudah tentu ada perancangan dalam jangka panjang untuk dibuat. Semua orang mahu lihat SPRM menjadi sebuah suruhanjaya disegani dan dihormati," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Pemuda Gerakan Kedah supaya SPRM mengumumkan hasil siasatan kes yang tidak sesuai untuk didakwa di mahkamah bagi mengelak timbul sebarang spekulasi.
Ketuanya, Tan Keng Liang, berkata tindakan mengumumkan kes yang tidak boleh diambil tindakan akan menunjukkan ketelusan SPRM, sekali gus mengelak badan itu terus diselubungi persepsi negatif.
Tan berkata, ia adalah pembaharuan dicadangkan pergerakan itu kepada Datuk Abu Kassim Mohamed, yang akan mengambil alih jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa 1 Januari depan.
Ramon bagaimanapun berkata, SPRM boleh mengeluarkan laporan jika terdapat sebarang isu yang menimbulkan kontroversi atau mendapat perhatian umum.
Sementara itu, Abu Kassim ketika ditanya mengenai perkara itu enggan mengulas mengenainya.
"Sesiapa saja boleh memberikan pandangan... no komen dan saya tidak mahu membuat apa-apa kenyataan," katanya.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 8 Disember 2009)
No comments:
Post a Comment