Cerita dari novel
SEBUAH PERTEMUAN
Oleh: Mokhtar Petah
Pulau Langkawi, waktu 11.00 pagi.
Seorang gadis Melayu. Cantik. Sedang duduk menghadap meja ubat-ubatan tradisional yang terletak sekadar empat meter dari pintu lif hotel Dayang. Dahinya luas, sepasang matanya jernih dan bersinar laksana air perigi di bawah langit petang. Keningnya taji dibentuk. Pada pipi kanannya terhias lesung pipit. Dagunya laksana lebah bergayut itu berparut kecil. Parut itu menambahkan ayu wajahnya.
Mulutnya dengan dua ulas bibir merah basahnya bak ulas limau itu, mengeluarkan suaranya yang menarik minat beberapa orang pelancong yang sedang mengelilingi mejanya..
Tubuh gadis itu dalam sepasang baju kurung warna pucuk pisang. Kepalanya berbungkus dengan selendang warna biru tua.
Atas meja kayu yang beralaskan kain putih itu, bersusun rapi kira-kira lima puluh botol kecil telanjang. Botol-botol itu berisi minyak gamat dan minyak belacak. Sementara di sudut meja itu kotak-kotak kecil berisi ubat tradisional Melayu; serbuk tongkat Ali, Mas Cotek, kacip Fatimah, janda galak, mengkudu dan beberapa jenis harba lagi.
“ Ini minyak gamat Langkawi, macam-macam khasiatnya ...,” katanya sambil memegang botol plastik sebesar ibu jari berisi minyak belacak.
“Lukaka ..., kembung peghutka ..., terseliuh ..., bengkak ..., lenguh-lenguh sendi ..., bagus, minyak belacak ni..., mujarab, cepat sembuh...,” katanya meyakinkan orang-orang yang mendengar.
“Ini minyak apa ...?” Seorang pelancong lelaki bertanya.
“ ...iaa, ini minyak belacak, baik untuk orang lelaki...,” jawabnya.
“Bagus, saya dah faham ..., saya hendak dua botol,” kata lelaki itu.
“Dua botol aje?” Gadis itu bertanya.
“Tak apa, dua botol dulu, lain kali saya datang ke sini, saya akan beli lagi ...,” jawab lelaki itu.
“Ia, baik ...,”sahut gadis itu.
Sebaik-baik sahaja dua botol minyak belacak itu berpindah ke tangan lelaki itu, dua bola mata gadis tersebut terhumban kepada profesor Hamidi yang baru keluar dari lif. Entah mengapa, tiba-tiba dia terasa jantungnya berkocak.
“ ... mai, mai, tuan, ini minyak belacak, bagus...,” katanya sambil menunjukkan sebotol minyak belacak sebesar ibu jari kepada Profesor Hamidi yang sedang melangkah ke arahnya.
“Minyak apa ..., belacak?” Tanya Profesor Hamaidi.
“Ia, bagus, belacak ni ..., Tuan, mujarab..., tuan,” jawab gadis itu.
“...ubat ..., ubat sakit apa?” Profesor Hamidi bertanya.
“Aaa, ubat, sakit ..., sakit ..., semua orang tau sakit tu ...,” gadis itu menjawab. Mesra..
“Semua orang tau...?” Profesor Hamidi bertanya lagi.
“Ia, tuan” jawabnya.
Gadis itu mengangguk. Senyum. Degup jantungnya seperti menendang-tendang dinding dadanya. Timbul perasaan hairan dalam hatinya terhadap lelaki berjambang, beremisi dan berjanggut itu. Hatinya meneka; boleh jadi lelaki itu doktor homeopati, profesor universiti, pengarang, pelukis atau ahli sains.
Pada saat itu, Profesor Hamidi teringat akan seorang rakannya dari Taiwan. Rakannya itu telah datang ke Malaysia untuk menjalankan perusahaan membiak belacak. Atau ‘ikan lumpur’ yang berkhasiat itu. Khasiat utama untuk memulih dan menguatkan tenaga batin anak cucu lelaki Adam.
Hajat rakannya itu tidak kecapaian. Dia gagal mendapatkan tanah paya laut untuk kawasan ternak belacak. Permohonannya mendapatkan tanah kerajaan negeri lambat mendapat kelulusan kerana tradisi birokrasi. Banyak wangnya berpindah kepada broker perniagaan. Beribu ringgit pula wangnya terpaksa digunakan untuk memberi rasuah kepada pion, kerani dan pegawai penempatan pejabat tanah tempat dia memohon kawasan itu.
Sambil merenung ke dalam dua lubuk mata gadis itu, Profesor Hamidi mengambil botol minyak belacak dari tangannya. Botol itu berpindah ke tangan Profesor Hamidi. Gadis itu belum menjawab pertanyaannya lagi. Mungkin dia malu menjawabnya. Mungkin dia menyangka lelaki itu telah mengetahui akan khasiat minyak tersebut.
“Macam mana nak guna minyak ini, minum atau sapu ...?” Profesor Hamidi bertanya.
“...tak boleh minum tuan .... gosok..., urut..., boleh, tuan ....,” jawab gadis itu.
Sepasang mata Profesor Hamidi dan sepasang mata gadis itu seperti sinaran radio aktif menyambar hati masing-masing.
“Cantik ...,” hati Profesor Hamidi memuji.
“ ...hand some ...,” suara hati gadis itu.
Profesor Hamidi menyerahkan semula botol minyak belacak itu kepada gadis tersebut. Senyumannya mendebarkan jantung gadis itu lagi. Ingatannya terhimbau kepada pesanan isterinya supaya dia mendapatkan teman. Seorang gadis cantik dan tinggi berpelajarannya.
“Boleh saya tau ..., siapa nama cik ...?” Profesor Hamidi bertanya.
“Boleh, Julia Hani binti Hamzah ..., panggil saja Hani...,” jawab Julia Hani.
“Bagus cik berniaga ni...,” kata Profesor Hamidi
“ ...saya tolong bapa saudara saya saja ...,” sambut Julia Hani.
“Ooo, bukan Cik Hani sendiri yang berniaga...?” Tanya Profesor Hamidi.
“Taaak, saya belajar lagi ...,”jawab Julia Hani.
“Ooo, begitu, belajar di mana, universiti ...?” Profesor Hamidi bertanya.
“ ...ia, Tuan, Universiti Utara Malaysia,” Julia Hani menjawab.
“Ia, ia ..., di Sintok,” sambut Profesor Hamidi.
Dua biji mata Julia Hani terbenam dalam dua telaga mata Profesor Hamidi. Jantung masing-masing berdenyut kencang. Mungkin seperti pendapat orang tua-tua Melayu, jika hati lelaki dan perempuan berdenyut pada waktu pertemuan pertama, menandakan dalam hati mereka telah terpancar perasaan cinta antara keduanya.
“...saya lama di sini, ... pukul berapa habis kerja?” Profesor Hamidi bertanya.
“ ...pukul satu nanti ..., ngapa?” Gadis itu bertanya.
“Ini name card saya, boleh saya jemput makan?” Profesor Hamidi bertanya.
“...boleh, nanti habis kerja, adik saudara saya datang, saya telefon tuan...,” kata Julia Hani sambil mengambil kad nama dari tangan Perofesor Hamidi.
Julia Hani merenung name card di tangannya. Pada mukanya tertulis nama, Hamidi Adil dan nombor telefonnya cuma. Kad l nama lelaki di hadapannya itu berlainan dari banyak kad nama yang dilihat sebelumnya. Semua kad nama itu tercatat nama, gelaran, dan bintang kebesaran masing-masing. Ada pula yang lengkap dengan nama syarikat, alamat, telefon pejabat, telefon bimbit dan alamat e-mail.
Sebagai seorang mahasiswa jurusan Human Resorce – Sumber Manusia, Julia Hani ingin mengetahui tentang peribadi lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu.
“...umur dia ni lebih enam puluh tahun, tapi smart,” hati Julia Hani memuji Profesor Hamidi.
Tatkala dia merenung misai, jambang dan janggut lelaki itu, terasa bulu tengkuknya meremang. Geli-geman. Keinginan untuk berdampingan dengan lelaki itu membungai hatinya.
“Baik, terima kasih, saya nak keluar dulu ..., bilik saya nombor 312 ...,” kata Profesor Hamidi.
“Baik, tuan,” sahut Julia Hani. Senyum.
Dua biji mata Julia Hani tersangkut pada belakang Profesor Hamidi yang sedang berjalan menuju ke pintu besar hotel itu. Pada detik-detiki ditinggalkan lelaki itu, Julia Hani terasa dirinya sebagai ditinggalkan kekasihnya.
Sesungguhnya, Julia Hani laksana kuntum bunga kembang pagi. Ketentuan Tuhan; bunga menanti lebah datang menyerinya. ‘Tuhan kamu telah mengurniakan wahyu kepada lebah; membuat rumah (sarang) di gunung, pohon kayu dan apa sahaja yang dapat mendirikan (sarang bergayut).’[1]
Pertemuannya dengan pendatang baru Pulau Langkawi, Profesor Hamidi, seumpama madu lebah kepada manusia, ‘... dari perut lebah keluar minuman yang bermacam-macam warna (madu), di dalamnya ada ubat untuk manusia.’ [2] Terasa lara yang menderanya kerana kepatahan tiga kali bercinta terasa telah sembuh.
Hanya Tuhan Maha Mengetahui betapa risau. Gelisah. Resah Julia Hani pada batasan waktu perpisahan dengan lelaki yang baru bertemu dengannya itu. Entahkan ia entahkan tidak, lelaki yang telah membawa hatinya pergi bersamanya itu akan datang menemuinya lagi.
Pada ketika itu, Julia Hani teringat akan perkataan ibu saudaranya, “ Oghang bercinta ni macam nelayan di lautlaaa ..., kalau nasib baik dapat ikan besak ..., kalau nasib tak baik dapat ikan kecik, paling tak baik ikan di tangan terlepas ke laut ...”
*** ***
Profesor Hamidi sedang menanti Julia Hani dalam biliknya. Sementara menunggu gadis itu, dia berdiri di jendela kaca. Menerusi jendela itu, dia memandang ke permukaan laut Pulau Langkawi. Pulau-pulau gunung kecil disekitar permukaan laut itu menjadi sebuah taman alam yang indah.
Pada ketika itu, menjelma dalam fikiran Profesor Hamidi; lima tahun yang lalu, dia pernah menjelajah di sekitar kaki beberapa buah gunung itu, bersama seorang rakan wanitanya, Kalsom. Wanita janda beranak dua itu, seorang peguam yang berpengalaman. Dua tahun kemudian persahabatan mereka putus. Berkerat rotan dan berpatah arang.
Profesor Hamidi menerima Kalsom dalam hidupnya, tidak lebih dari seorang rakan. Tetapi Kalsom menerimanya sebagai seorang kekasih. Seorang lelaki bakal menjadi suaminya.
Perempuan itu telah menilai baik hati Profesor Hamidi, seperti peribahasa, ada udang di sebalik batu atau kalau tidak ada berada masakan tempua bersarang rendah. Kalsom berfikiran seperti kebanayakan peguam, kesempatan tidak boleh dilepaskan. Peluang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
Pada satu hari, Kalsom telah datang ke rumah Profesor Hamidi dan menemui isterinya. Mungkin kerana berbangga dengan dirinya seorang peguam, Kalsom bertindak mendesak isteri Profesor Hamidi, Nur Azura agar membenarkan Profesor Hamidi berkahwin dengannya.
Nur Azura merenung wajah Kalsom. Seyumannya menjadikan Kalsom yakin, perempuan di hadapannya sedia menurut kehendaknya.Pada ketika itu dia telah membangga dirinya, seorang peguam yang mahir akan berjaya mencapai maksudnya.
Dalam keadaan senyuman masih berbunga, Nur Azura telah berkata, “...saya tak ada halangan kalau suami saya nak kahwin dengan puan ..., itu hak dia ..., Allah telah memberi hak kepada lelaki yang sanggup adil..., tetapi saya nak tau, adakah dia memang suka nak kahwin dengan puan?”
Kalsom tunduk sejenak. Pada ketika dia merenung semula wajah Nur Azura, dia berkata, “ ...Profesor memang setuju ..., saya tau dia cintakan saya ..., la ni kami sedang bercinta...,”
“Ooo, begitu, macam Juliat dengan Romeolah ni ...,” Nur Azura menyindir.
“ ... begitulah,”sahut Kalsom.
“Sungguh?” Nur Azura bertanya.
“ Iaaa, kalau dia tak cintakan saya, saya tak akan datang jumpa puan,” jawab Kalsom.
Nur Azura senyum. Wajah Kalsom direnung seperti mencari noktah dan koma kejujuuran perempuan di hapannya itu.
“Tak apa, keputusan di tangan suami saya, saya memang reda dia kahwin lagi,” kata Nur Azura.Senyum.
“Baguslah, kalau begitu,”sambut Kalsom.
Nur Azura senyum.
“ ... tetapi saya nak suami saya tu kahwin dengan perempuan yang lebih muda dia ..., muda dari saya ..., berumur lapan belasa hingga 29 tahun ...,” kata Nur Azura sambil merenung ke dalam dua lubuk mata Kalsom.
Perkataan Nur Azura memeranjatkan Kalsom,. Perkataan itu diterasa oleh Kalsom bagaikan mencorahkan cuka panas kepada jantungnya.
Usia Kalsom lebih tujuh tahun dari usia Profesor Hamidi.
“Puan, kalau suami saya pilih gadis berumur macam tu ..., saya reda dia kahwin, tiga orang pun saya reda ..., saya dapat tiga orang madu ...,” kata Nur Azura.
Kalsom sengeh.
Pada ketika Kalsom sedang bercakap dengan Nur Azura, Profesor Hamidi melangkah masuk ke rumahnya. Sebagai seorang lelaki yang bijak, dia memohon petunjuk dari Allah dan memberi salam.
“Wa alaikum salam,” suara Nur Azura dan Kalsom menjadi satu.
“Apa Khabar Cik Kalsom, dah lama sampai?” Profesor Hamidi bertanya.
“Baik ..., baru aje ...,” jawab Kalsom.
“Ni, abang, Cik Kalsom ni nak kahwin dengan abang ...,” Nur Azura berkata.
“Kahwin?” Profesor Hamidi bertanya.
“Ia, Som nak kahwin dengan you ...,”sampuk Kalsom.
Profesor Hamidi semyum.Direnung wajah Kalsom. Dari wajah perempuan beranak dua itu, dia mengalih merenungan kepada isterinya.
Nur Azura senyum.
Kalsom didera oleh degup jantungnya. Tubuhnya terasa menggigil.
“ ... abang dah lama bersahabat dengan Cik Kalsom ni, abang anggap dia sebagai seorang sahabat yang jujur ..., bukan seorang kikasih ..., abang tak berniat nak kahwin dengan dia ...,” jelas Profesor Hamidi.Kalsom sebagai seorang sahabat, tidak sebagai kekasih apa lagilah untuk dijadikan teman hidup.
“Tapi, ...Kalsom cintakan you ....,” kata Kalsom.
“Tak boleh, saya tak sanggup madukan isteri saya, Azura ni ...,” kata Profesor Hamidi.
Nur Azura senyum. Wajah Kalsom direnung. Kedut-kedut pada dahi dan lehir Kalsom menjadi alasannya untuk menolak kehendak perempuan itu.
“...beginilah, Cik Kalsom,” kata Nur Azura.
“Ia, Cik Nur ...,” suara Kalsom lembut.
“ ... kerana suami saya tak mahu kahwin dengan Cik, ...demi Allah, saya ..., ia, muktamad, saya tak setuju dia kahwin dengan Cik Kalsom ...”
Kalsom tunduk. Dua ulas bibirnya kering. Degum jantungnya kencang. Pada ketika itu, dia sedar akan dirinya telah tua. Harga cinta lebih bernilai dari segala-galanya. Pada ketika itu, dia teringat akan kata-kata Profesor Hamidi kipadanya, “Cinta kepada manusia sementara, cinta kepada Allah kekal ..., cinta menjamin syurga.”
“Saya minta maaf, Cik Kalsom,” kata Nur Azura.
“Tak apa,” sahut Kalsom.
“... aku ni dah macam telaga cari timba ..., bertepuk sebelah tangan ...,” jerit hati Kalsom.
Profesor Hamidi dikejut oleh deringan telefon bimbitnya. Telefon itu diangkat dan ditekapkan ke telinga kanannya, “ ...as salamu alaikum, Julia, Julia Hani cakap ni...,” suara Julia Hani dalam telefon.
“Wa alaikunnas salam, Cik Julia Hani di mana ?” Tanya Profesor Hamidi.
“...dah sampai ..., ada dalam kereta, depan hotel ni. .. ,” kata Julia Hani.
“Ia, ia, saya turun...,” sahut Profesor Hamidi.
“Baik, Encik...,” sahut Julia Hani pula.
Pada waktu Profesor Hamidi dalam lif yang membawanya turun ke lobi hotel, hatinya memuji Julia Hani dengan membisikkan lirik dalam talibun orang Melayu Brunei tua.
Bibir manis limau seulas,
Hidung mancung menangkai bunga,
Jari halus menyugin landak,
Leher jenjang gading dilarik,
Mata jeli bintang timur,
Pipi licin pauh dilayang,
Pinggang ramping sejengkal kiri,
Tumit betis menelur burung.
Julia Hani sedang menunggu dalam kereta kecil warna biru tua, di hadapan hotel itu. Manis senyumannya pada ketika dia memandang Profesor Hamidi yang sedang berjalan menuju kepadanya.Dabar jantungnya menjadikan dia terasa tidak selesa.
“...minta maaf, lewat sedikit,”kata Julia Hani sambil keluar dari kereta.
“O.K., tak mengapa,”sahut Profesor Hamidi.
“Mana tau, nanti Hani kena marah pula ...,”Julia Hani bergurau.
“ ...marah, saya ni, sepanjang hidup saya tak pernah marahkan orang,” kata Profesor Hamidi.
Julia Hani terasa malu mendengar prkataan lelaki yang baru dikenalinya itu.
Julia Hani berjalan ke arah Profesor Hamidi dan membuka pintu kereta. Profesor Hamidi masuk ke dalam kereta itu sambil mengucapkan terima kasih. Profesor Hamidi dudu di sebelah Julia Hani. Dia mengerengkan tubuhnya dan merenung wajahnya gadis itu. Juliaa Hani senyum. Debaran jatungnya kencang amat.
Pada ketika itu, Julia Hani berkeadaan seperti si zuhud merenung wajang sang sufi. Senyumannya masih berbunga pada wajahnya yang kemerahan dalam cahaya petang yang indah..
“Cantik kereta...,” Profesor Hamidi memuji.
“...terima kasih, bukan kereta Hani ..., kereta bapa saudara Hani ...,” sahut Julia Hani.
“Maha Suci Tuhan menjadikan Pulau Langkawi ini, semuanya cantik...,”kata Profesor Hamidi.
“Sungguh, macam kata profesor saya di universiti, orang yang arif sahaja menghargai kecantikan alam ...,” sambut Julia Hani.
“Ia, sungguh, seluruh alam ini cantik, termasuk mahasiswanya, cantik kan?” Tanya Profesor Hamidi bertanya.
“Haaa, iake ...,” Julia Hani bertanya dalam tawa kecilnya.
Dalam deru enjin kereta yang meninggalkan pekarangan hotel itu, Profesor Hamidi menjemput Julia Hani makan ikan bakar dan makanan laut.
“Baik, kita pergi ke pantai...,” kata Julia Hani sambil mengemudikan keretanya.
Kereta berlari atas jalan raya. Julia Hani terasa jari jemari tangannya pada stereng kereta itu terketar-ketar. Derdebar jantungnya kencang. Itulah pertama kali seorang lelaki yang belum dikenalinya, duduk sebelahnya pada ketika dia memandu kereta.Dia tertaik hati kepada lelaki pendatang pulau itu.
“Cik Hani ...,” seru Profesor Hamidi.
“Ia, Encik ...,” sahut Julia Hani.
“Cik Hani memang orang sinikah?” Profesor Hamidi bertanya.
“Orang sini pun ia, Kuala Lumpur pun ia...,” jawab Julia Hani.
“Eh, macam mana tu?” Tanya Profesor Hamidi.
Julia Hani ketawa. Profesor Hamidi senyum sambil merenung wajah jelita itu.
“Emak Hani orang Kuala Lipis, Pahang, ayah orang sini ..., la ni tinggal di Kuala Lumpur” jawab Julia Hani.
“Ooo, begitu ...,” sambut Profesor Hamidi.
Julia Hani merawati hatinya yang sedih dengan kekuatan semangatnya.Sedih kerana teringatkan ibunya yang telah lama meninggal dunia.
“Emak Cik Hani di mana?” Tanya Profesor Hamidi.
“Emak dah meninggal ..., dah lima tahun...,” Jawab Julia Hani.
“Maafkan saya, inna lillahi wa inna ilaihi rajiun...,” ucap Profesor Hamidi.
“ ... is O.K. , bila ingatkan emak, Hani rasa dunia ni ...,”kata Julia Hani.
“Sabar, setiap yang bernyawa tetap akan mati ..., mungkin saya ni esok lusa mati ...,” Profesor Hamidi memujuk gadis yang sedang dibungkus kesedihan itu.
“Ia,lah ..., tapi Hani tak nak Encik cakap begitu ...,”kata Julia Hani.
“Ia, tapi kankah saya sedang dalam perjalanan ke sana juga?” Tanya Profesor Hamid.
“Ia, sungguh, tapi Hani sedih bila Encik cakap macam tu ...,” kata Julia Hani.
“Ia,baiklah, saya tak cakap lagi,” sambut Profesor Hamidi.
Percakapan mereka putus di situ kerana Julia Hani menekan berek keretnya dengan mengejut untuk mengelak dari terlanggar seekor kucing yang melintas di hadapan keretanya. Kereta membelok ke kiri dan masuk ke sebuah lapangan letak kereta sebuah restoran makanan laut dekat pantai.
“Ayah ...?” Profesor Hamidi bertanya.
“Ayah bekas pegawai kerajaan, dia tinggal dengan emak tiri Hani di Taman Melati ..., dekat Universiti Islam Antarabangsa...,” Julia Hani..
“ ia, jadi Hani tinggal di sini dengan siapa?” Profesor Hamidi bertanya.
“...bila universiti cuti, Hani datang ke sini, tinggal dengan emak saudara Hani..., adik emak Hani..., tolong-tolong suaminya berniaga ..., buat minyak gamat ..., belacak..., akar-akar kayu, di Pulau Langkawi ni...,” jelas Julia Hani.
“Wau, bagus tu, banyak pengalaman nanti,” kata Profesor Hamidi.
“Ia, mudah-kudahan Hani dapat banya pengalaman, termasuk pengalaman bersama Encik ni ...,”kata Julia Hani. Ketawa.
“Saya ...?”
“Ia,”
“Mungkin Hani tak akan dapat pengalaman dari saya,” kata Profesor Hamidi.
“Hani yakin, Hani akan dapat pengalaman ...,” sambut Julia Hani.
Mereka ketawa kecil.
Dalam warung makanan laut itu, Profesor Hamidi dan Julia Hani duduk di sudut ke arah laut. Sementara Profesor Hamidi merenung kad menu atas meja, Julia Hani merenung wajahnya. Dari kepala lelaki itu yang terang seperti padang ski hingga ke seluruh wajah yang terhias misai, jambang dan janggutnya. Wajah itu nampak lebih muda dari usianya.
“Encik, boleh Hani tanya?” Julia Hani bertanya.
“Ia, tanyalah, saya akan jawab, mana yang saya tak tahu, Tuhan sahaja yang tahu,” jawab Profesor Hamidi.
“...aaa, berapa umur, encik?” Tanya Julia Hani.
Profesor Hamidi senyum. Dia teringat akan kata-kata seorang ulama, jika gadis atau perempuan bertanya umur lelaki yang baru dikenali, bermakna perempuan itu telah berminat kepada lelaki itu.
“ Jjumlah tahun, bulan, hari ..., ia, Cih Hani bilang tahun kita telah meredeka, campur pula dengan 22 tahun ..., itulah umur saya ..., dah tua ..., tangga kata pergi kubur kata mari ... ,” jawab Profesor Hamidi.
Julia Hani Ketawa.Mereka sama-sama ketawa kecil.
“...ala, tak tua lagi,” kata Julia Hani. Manja.
“Tak tua, kata Hani, kalau saya ni batang kayu ..., dah macam batang kayu reput hanyut dalam arus sungai, nak buat kayu api tak bole, nak meniti tak mungkin ..., tunggu tenggelam dalam airlah jawabnya ...,” kata Profesor Hamidi seperti orang kempen ilmu jiwa.
Julia Hani ketawa kecil.
“Eee, ngadalah, Encik ni,” kata Julia Hani.
Percakapan mereka terhenti kerana pelayan warung itu datang ke meja mereka. Profesor Hamidi meminta Julia Hani memilih ikan dan makanan yang digemarinya.
“Ikan terubuk bakar..., ikan siakap masak masam manis ...,” pesan Julia Hani kepada pelayan itu.
“Lagi?” Pelayan baratnya.
“Encik nak udang?” Julia Hani bertanya kepada Profesor Hamidi.
“O.K., saya ikut Cik Hani...,” sahut Profesor Hamidi..
“Ha, udang kertas masak kicap, sayur kailan campur sotong...,” pesan Julia Hani lagi.
“Saya nak air jus epal hijau...,” pesan Profesor Hamidi.
“Aaa, saya pun sama,” Julia Hani memberitahu pelayan itu.
Pada ketika itu Julia Hani hampir menjerit, kerana dia memesan minuman yang sama dengan lelaki yang baru dikenalinya itu. Sepanjang hidupnya belum pernah dia meminum air jus epal. Tetapi mengapa hari itu dia tersasul meminta minuman tersebut.
“Itu saja, puan?” pelayan itu bertanya.
“...ia, itu saja,” jawab Julia Hani.
Degup jantung Julia Hani kencang. Terasa silu kepada Profesor Hamidi kerana pelayan itu menyangka dia isteri kepada pendatang baru warungnya. Julia Hani merenug wajah Profesor Hamidi. Wajah lelaki itu selamba seperti tidak mengetahui sesuatu yang telah berlaku di hadapannya.
“... kata beberapa orang ulama Islam, ada mulut manusia masin...cakapnya jadi sungguh,” kata Profesor Hamidi setelah pelayan itu meninggalkan meja itu.
Julia Hani diam. Dua biji matanya bergolek atas meja di hadapannya. Lidahnya kelu. Suaranya tersangkut pada anak lidahnya. Hanya hati nuraninya bermadah, “ ...kata pelayan tu akan jadi sungguhke ...?”
Profesor Hamidi merenung wajah Julia Hani. Pada wajah itu dia membaca perasaan hati gadis itu; kalau gadis itu tidak kasihkannya, sekurang-kurangnya, gadis itu percaya dan suka mendampinginya.
Bunyi ombak menerpa pantai, membawa hati Profesor Hamidi kepada kisah seorang maha gurunya, seorang Arab yang berusia lebih lapan puluh tahun, telah berkahwin dengan seorang gadis Amerika, kekasihnya yang usianya dua puluh empat tahun.
“Lelaki awal dicipta oleh Allah dari tanah,[3] walau tua atau lama,macam pokok tua atau batu gunung lama, tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok muda boleh tumbuh padanya,” fikir Profesor Hamidi.
“ ...enggerik muda, tumnbuh-tumbuhan muda, pokok-pokok muda tumbuh subur pada batu-batu bukit lama, Maha Suci Allah menciptakan makhluk-Nya,” fikirnya lagi.
“Menung, nampak ..., ingatkan orang rumahke?” Julia Hani bertanya.
“Ia, ingatkan orang rumah pun ia ..., fikirkan macam mana nak ..., ia, mana pula dengan gadis yang saya baru kenal ni ...,” jawab Profesor Hamidi.
Julia Hani ketawa. Tawanya bertaut dengan tawa Profesor Hamidi.
No comments:
Post a Comment