Friday, November 20, 2009

BERITA


sOKU tetap dihargai - Najib


Najib Tun Razak bersama Philip Craven (kiri) dan Zainal Abu Zarin memukul gendang sebagai simbolik perasmian Persidangan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam. – Utusan/Shaifudin Mohd. Nor


KUALA LUMPUR 19 Nov. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah kerajaan meluluskan pembinaan Kompleks Sukan Paralimpik di Kampung Pandan di sini khusus untuk atlet kurang upaya membuktikan golongan itu sentiasa dihargai di negara ini.

Perdana Menteri berkata, penghargaan terhadap pengorbanan dan sumbangan golongan kurang upaya kepada negara turut terbukti dengan meluluskan sebidang tanah untuk dibina ibu pejabat Majlis Paralimpik Malaysia (MPC).

''Ini bukti komitmen Malaysia dalam menyediakan peluang sama rata kepada atlet kurang upaya untuk cemerlang dalam sukan masing-masing.

''Ia juga selaras dengan gagasan 1Malaysia yang menekankan kepada keadilan dan kesaksamaan yang terpakai bukan hanya kepada mereka yang sempurna sifat dan berkemampuan sahaja," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung dan Persidangan Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC) Ke-14 yang dihadiri 300 perwakilan di sini hari ini.

Turut hadir Presiden IPC, Sir Philip Craven dan Presiden MPC, Datuk Zainal Abu Zarin.

Persidangan empat hari itu berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga Ahad ini.

Menurut Najib, rakyat tanpa mengira bentuk sifat atau keadaan diri mereka akan dilindungi dan ditawarkan peluang sama rata untuk menyumbang kepada proses pembinaan negara.

Pada sidang akhbar selepas itu, Najib yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan dari 1986 hingga 1990 melahirkan perasaan puas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet paralimpik negara dalam kejohanan di peringkat antarabangsa.

''Ya, saya berpuas hati. Saya tengok mereka ini menunjukkan kesungguhan untuk mencapai kejayaan dan saya berbangga dengan apa yang telah dilakukan oleh mereka.

''Saya berharap mereka akan meneruskan usaha untuk berlatih bagi membolehkan dicapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib menjelaskan, Malaysia tidak berpeluang menjadi tuan rumah Sukan Paralimpik berikutan ia hanya boleh dianjurkan di negara-negara yang menjadi penganjur Sukan Olimpik.

''Malaysia setakat ini tidak berhasrat untuk menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Olimpik kerana kita masih belum dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

''Antara syarat ini adalah kita mesti menjadi negara sukan yang kuat di peringkat dunia. Dalam erti kata lain kita perlu memenangi banyak pingat-pingat yang dipertandingkan," katanya.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 20 November 2009)

No comments: