Monday, November 16, 2009

BERITA


Ubah model ekonomi


PERDANA Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (kiri), menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada mesyuarat ketua-ketua negara Asean di Hotel Shangri-la, Singapura, semalam. - Foto Bernama

Apec sepakat wujud struktur baru bagi berdepan cabaran global abad ke-21

SINGAPURA: Sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang berakhir di sini, semalam, sepakat untuk mewujudkan struktur pertumbuhan dan model integrasi ekonomi baru bagi membolehkan rantau ini berdepan dengan cabaran ekonomi global abad ke-21.

Pemimpin 21 negara Apec termasuk Malaysia dalam deklarasi bersama, sependapat bahawa persekitaran ekonomi dunia selepas krisis global adalah berbeza dan memerlukan pelaksanaan struktur pertumbuhan serta model integrasi ekonomi lebih segar.

"Kami akan meneruskan matlamat pertumbuhan seimbang, menyeluruh dan mapan disokong inovasi dan ekonomi berasaskan pengetahuan.

"Ia bagi memastikan pemulihan ekonomi ketika ini dapat bertahan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan memberi manfaat kepada rakyat negara rantau ini," kata kenyataan itu.

Pemimpin anggota Apec bertekad untuk melaksanakan kaedah lebih komprehensif untuk meningkatkan integrasi ekonomi serantau, memenuhi keperluan perniagaan dan menyelaraskannya dengan aliran baru perdagangan serta pelaburan antara sempadan.

Mereka juga sepakat untuk memuktamadkan rundingan Pusingan Doha bagi menghapuskan halangan perdagangan tahun depan, selain menolak semua bentuk perlindungan perdagangan baru.

Secara umumnya, pemimpin Apec dalam deklarasi itu bersependapat bahawa ekonomi global sudah mulai pulih daripada kemelesetan dengan diterajui ekonomi negara Asia Pasifik.

Bagaimanapun, dasar rangsangan ekonomi buat masa ini harus diteruskan bagi mengelak aliran pemulihan berkenaan tersekat.

Susulan itu, dunia kini tidak boleh mengharapkan pertumbuhan dan perdagangan berlaku seperti sebelum krisis kewangan berlaku.

"Pada sidang Apec di Lima, Peru, kami mensasar untuk menangani krisis ekonomi global dalam tempoh 18 bulan. Namun, pemulihan ekonomi masih belum kukuh walaupun pelbagai dasar dan pakej rangsangan sudah diperkenalkan. Justeru, kami akan mengekalkan pelaksanaan dasar rangsangan masing-masing," kata kenyataan itu.

Negara anggota Apec juga berhasrat meningkatkan persekitaran bagi perniagaan syarikat swasta, pelaburan dan inovasi, selain membangunkan pasaran kewangan supaya lebih bersesuaian dengan ekonomi benar.

"Kami akan bekerjasama dengan institusi kewangan antarabangsa dan bank pelbagai hala untuk mencapai matlamat itu," kata kenyataan itu.

Mengulas hasil sidang kemuncak berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata persidangan kali ini melahirkan ketetapan yang lebih tegas dan konkrit bahawa Apec sebagai satu pakatan serantau akan berusaha untuk memulihkan ekonomi negara anggota.

Pada sidang media selepas menghadiri sidang dua hari itu, Najib berkata, untuk melihat pembangunan seimbang dan menyeluruh pemimpin Apec sepakat untuk mengembangkan jaringan keselamatan dan sektor perusahaan kecil dan sederhana, sekali gus memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara adil.

Turut diberi perhatian, kata Najib, ialah dasar yang akan dilaksanakan negara anggota Apec harus lebih mesra alam bagi menangani ancaman perubahan iklim global dan bencana alam.

Mengenai perbincangan perjanjian perdagangan bebas (FTA) Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik (TPP), Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata walaupun TPP tidak membabitkan Malaysia secara langsung, negara masih mendapat manfaat menerusi kumpulan kerjasama perdagangan lain.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 16 November 2009)

"Ada inisiatif untuk melaksanakan TPP antara lapan negara, namun kita juga memiliki kumpulan kerjasama perdagangan lain seperti Asean+3 dan Asean+6 yang pastinya diselaraskan dengan TPP," jelasnya.

TPP adalah usaha untuk mewujudkan FTA antara Amerika Syarikat dengan beberapa negara Apec, seperti Brunei, China, New Zealand, Australia, Peru dan Vietnam.






No comments: