Facebook PM tarik perhatian 6,287 pengguna
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Laman Facebook rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila 6,287 pengguna telah mendaftarkan diri sebagai peminat sehingga pukul 6 petang hari ini.
Jumlah itu merupakan satu lonjakan yang amat besar berbanding 804 peminat yang dicatatkan kira-kira pukul 10 malam tadi.
Lonjakan tersebut berlaku selepas para pengguna aplikasi rangkaian sosial itu mengetahui kewujudan laman Facebook rasmi Perdana Menteri apabila ia dilaporkan media massa termasuk Utusan Malaysia yang menjadikannya sebagai berita muka depan.
Tinjauan di laman www.facebook.com/najibrazak mendapati pengguna yang mendaftarkan diri mereka terdiri daripada rakyat pelbagai bangsa sekali gus membuktikan populariti gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.
Ungkapan 1Malaysia juga menjadi mesej paling popular ditulis oleh para peminat Najib di 'dinding' (wall) laman Facebook berkenaan.
Kekerapan mesej ditulis juga terlalu pantas dan ada kalanya beberapa mesej ditulis serentak dalam masa seminit.
Pelbagai perkara turut diadu secara terus kepada Perdana Menteri antaranya mengenai pembangunan di Langkawi, masalah elektrik selalu terputus di Sandakan, kebajikan orang kurang upaya (OKU), kegelisahan mengenai kebanjiran 'awang hitam' dan cadangan penubuhan sebuah kementerian khusus untuk memajukan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
---------------------
Kerjasama dengan Makassar
MAKASSAR 18 Nov. - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerjasama dalam bidang ekonomi, kebudayaan dan adat resam di Makassar mampu mengangkat hubungan Malaysia-Indonesia ke tahap lebih baik.
Najib berkata, langkah itu sejajar dengan persetujuan beliau dengan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono untuk menjalinkan kerjasama di dalam bidang keselamatan makanan.
"Itulah makna lawatan saya ke Makassar dan menghadiri sambutan ke-689 ulang tahun daerah Gowa hari ini," katanya ketika berucap pada majlis tersebut di sini hari ini.
Najib yang berpakaian tradisi Gowa berucap di hadapan kira-kira 6,000 orang yang menghadiri acara tersebut diadakan di Lapangan Syekh Yusuf Discovery.
Turut hadir ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Maximus Ongkili dan Gabenor Sulawesi Selatan, Syahrul Yasin Limpo.
Terdahulu sebaik tiba untuk lawatan kerja sehari itu Najib juga menyaksikan tiga buah agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Hasanudin, di sini.
Perdana Menteri dan isteri kali terakhir melawat Gowa pada 15 Mei lalu dan mereka sempat menziarahi makam Sultan Hasanudin.
Najib mempunyai hubungan yang akrab dengan Gowa memandangkan beliau mempunyai darah keturunan raja Gowa ke sembilan belas, Sultan Abdul Jalil Tumenga ri Lakiung.
Semasa mengadakan lawatan ke Gowa pada 2005 beliau telah diberikan gelaran Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrabone oleh masyarakat Gowa.
Dalam pada itu kerjasama tiga agensi kerajaan berkenaan dengan universiti tempatan bertujuan bagi menjalankan kajian tentang penanaman rumpair laut yang mempunyai potensi yang luas.
Selain itu, kata beliau, kajian juga akan dilakukan untuk usaha sama dalam bidang pertanian lain dalam usaha mewujudkan keselamatan makanan untuk Malaysia dan pendapatan yang lebih baik kepada petani di Indonesia dan khususnya Makassar.
Dalam pada itu dalam ucapan Najib juga melahirkan rasa terharu di atas sambutan yang diberikan oleh penduduk di Gowa terhadap beliau dan isteri.
Sementara pada sidang akhbar sebelum berlepas ke Kuala Lumpur Najib berkata, beliau merancang untuk membangunkan sektor pertanian di Sulawesi Selatan melalui kerjasama pihak swasta serta kerajaan Malaysia dan pemerintah tempatan.
Menurut beliau, antara bidang yang dilihat mempunyai potensi besar adalah penanaman padi dan penternakan lembu.
(Berit aini diambil dari Utusan Malaysia Online, 19 November 2009)
No comments:
Post a Comment