Mokhtar Petah
(Ulangan)
Tahun sembilan belas tujuh puluh lima hingga tujuh puluh tujuh.
Krisis antara Sultan Idris Shah dengan Ghazali dan sekaligus dengan UMNO Negeri Perak telah menular ke seluruh negeri Perak dan menjadi berita-berita besar. Beberapa orang pemuda UMNO yang tidak puas hati terhadap pentadbiran Ghazali Jawi, telah menyebelahi Sultan Idris Shah. Di antara mereka itu, ialah Abu Bakar Ashaari(guru sekolah kerajaan) dan Abdullah Haji Mohamad (ahli perniagaan).
Mereka itu penyokong kuat Menteri Besar, Haji Kamaruddin Mat Isa yang telah berundur dari kerusi Menteri Besar Perak kerana Ghazali Jawi kembali telah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri pada pilihanraya 1974 dan menjadi Mentgeri Besar. Haji Kamaruddin telah memenangi kerusi Dewan Rakyat (Larut). Kemudian memegang jawatan Timbalan Menteri, di Jabatan Perdana Menteri – Hal Ehwal Agama Islam.
Kerana Sultan Idris tidak puas hati dengan sikap Perdana Menteri, Hussein Onn yang tidak mengendahkan ’kehendak’ Baginda, supaya dipendekkan tempoh Ghazali Jawi menduduki kerusi Menteri Besar Perak. Tetapi pucuk pimpinan parti dan kalangan parti itu di negeri Perak telah memanjangkan percakapan hingga sampai kepada Sultan Idris Shah, iaitu dalam Perlembagaan Negeri Perak tidak ada satu perenggan atau ayat (clause) yang perlantikan yang telah dibuat oleh Sultan ke atas Ghazali Jawi boleh dengan ’sementara’. Ertinya perlantikan ke atas Ghazali Jawi oleh Sultan Perak menjadi muktamad dan kekal, kecuali diberhentikan oleh pucuk pimpinan parti.
Sultan Idris Shah telah mengambil langkah ’membantah’, iaitu Baginda telah bernazar menyimpang janggut, misai dan jambang dalam satu istiadat yang dihadiri oleh para wartawan, di Pulau Pangkor.
Kira-kira dua bulan wajah Sultan Idris telah ditumbuhi bulu-bulu-misai, janggut dan jambang. Pada satu hari aku telah bergurau dengan Baginda, kataku ”...ai, dah nampak macam Fidel Castro, Sir.”[1]
”...ha, Castro le ni,...aku tunggu apa PM nak buat...,” sahut Sultan Idris.
”...apa nak buat, ...kuasa politik atau kuasa Sultan, ...kita kena tunggu le...,” kataku.
”Tu aku tau, ...tapi selagi dia (Ghazali Jawi) tak ngundur, aku tak sior cukur..., biorkan berserabut muka teman ni...,”titah Sultan.
Aku ketawa. Sultan Idris Shah turut ketawa.
Pada satu hari, aku telah mengikut Sultan Idris Shah ke Pulau Pangkor kerana Baginda mengadakan pertemuan dengan semua Orang Besar-Besar negeri, di sana. Dalam pertemuan itu Sultan Idris Shah telah menitahkan kepada mereka, bahawa Baginda tidak akan bekerjasama dengan Menteri Besar. Baginda tidak akan menandatangani semua surat kerajaan yang memerlukan Baginda berbuat demikian.
Pada masa itu negeri Perak berada dalam keadaan krisis yang serius. Baginda dengan tegas berpegang pada janji Perdana Menteri, Abdul Razak Hussein yang jawatan Menteri Besar yang disandang oleh Ghazali Jawi hanya sementara. Sultan tidak menghiraukan perlembagaan, kerana janji Baginda dengan Abdul Razak adalah janji antara dua sahabat lama.
’...kita orang Islam mesti pegang pada janji, kalau dah cakap, janji tak betul, tak taulah aku...,”titah Sultan kepada saya.
Pada waktu itu saya teringat akan peranan saya telah menolong Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ishak Tadin menjalankan ikhtiar supaya Baginda menandatangani warkah perlantikan Baginda dan kehendak Presiden UMNO ke atas Tan Sri Ghazali Jawi menjadi Menteri Besar Perak.
”...ini you punya fasal, kalau tak sebab you aku tak sign surat tu,” titah Sultan.
”Patik tak dapat elak Tuanku, kalau patik tak campur, khabornya Tun nak letak jawatan Perdana Menteri...,”jawab saya dan merenung wajah Sultan.[2]
Sungguh pun Sultan Idris Shah tidak sabar-sabar menunggu Perdana Menteri memendekkan tempoh pekhidmatan Ghazali Jawi, tetapi Baginda tidak melupakan jasanya pada masa dia memegang jawatan Menteri Besar pada tahun 1957 – 1963.
’Pada satu malam dalam Bandar Ipoh, Sultan Idris dan saya sedang menunggu beberapa orang ’Orang Besar-Besar’ Perak untuk menghadiri satu majlis jamuan makan malam, tiba-tiba Baginda memuji Tan Sri Ghazali Jawi, sedangkan pada masa itu Baginda sedang menyimpan janggut kerana bernazar.
”Dia tu banyak jasanya kepada orang-orang Melayu di negeri ni...,tengok tu sekolah Izzuddin, sekolah Raja Perempuan Ta’ayah...,” titah Sultan Idris.
Kalau orang lainlah jadi Menteri Besar, haghaam boleh bina sekolah agama macam tu..., oghang macam tu Allah akan balas syurga kepadanya.” titah Sultan lagi.
Sultan merenung wajah saya dan Baginda senyum lalu bertitah, ” ...pada masa nak ambil tanah tu untuk jadikan sekolah Izzuddin, dia marahkan engineer (Jurutera PWD) Cina, kerana tak setuju sekolah tu dibina di situ.”
”Mengapa, Tuanku?” saya bertanya.
”Engineer tu makan pujuk orang-orang China kaya, deme yang nak kawasan tu, nak bina banglo, macam-macam lagi, ”jawab Sultan.
”You tau apa dah jadi?” Sultan bertanya, bangun sambil melurut janggutnya.
Saya tidak menjawab kerana saya tidak mengetahui perkara sebenar yang berlaku pada masaa itu.
”Dalam masyuarat antara pegawai-pegawai kerajaan tu, dia (Ghazali Jawi) bangun dan dengan suaranya yang kasor menyuruh Cina engineer tu berambus dari Perak,” titah Sultan.
”Dia kata, kalau Tuan tak setuju dengan rancangan saya nak bina sekolah agama Islam di sana..., keluar dari negeri ni, ...minta tukar, ...kalau tidak I akan tukarkan awak,”cerita Sultan.
”Mana ada Menteri Besar berani macam dia? ...yang ada macam ayam dimakan tungau, ...lah, dia berani...,” Sultan memuji.[3]
Aku telah menulis sebuah buku kecil mengenai pergolakan politik dan keadaan pentadbiran Negeri Perak yang berjudul, ’Siapa Bakal Menteri Besar Perak Akan Datang’. Buku itu telah diterbitkan oleh syarikat milik Syed Ahamad Jamalullail, Yayasan Massa, Ipoh.
Dengan tujuan hendak memusnahkan semua buku itu, Ghazali Jawi telah menyuruh seorang pemuda UMNO datang ke pejabat syarikat Yayasan Massa dan membeli semua buku-buku itu sebanyak 3000 buah. Dia berharap dengan pembelian buku-buku itu, pihak penerbit tidak akan menerbitnya lagi. Tetapi Syed Ahmad Jamalullail telah menerbitkan sebanyak 10,000 buah lagi.
Buku itu telah sampai ke tangan Perdana Menteri, Hussein Onn. Kerana buku itu, Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Perak dalam satu meyuarat khas membincangkan kandungan buku tersebut. Mereka telah menganggap kandungan buku itu boleh menggugat kedudukan UMNO negeri itu dan Ghazali Jawi. Maka mesyuarat telah mengambil keputusan untuk menghantar surat mendesak Menteri Dalam Negeri, Ghazali Shafie supaya menahanku di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.
Kira-kira dua minggu kemudian aku telah mendapat tahu perkara itu dari Ghazali Shafie sendiri.
”...ngapa King Gaz tak tahan I,”aku bertanya kepada Ghazali Shafie.
”Inilah yang jadi salah faham, ...orang ingat senang-senang Menteri Dalam Negeri nak tahan orang....,”jawabnya sambil menyifatkan tindakan Pemuda UMNO Perak itu sebagai kebudak-budakan.
Menurut Ghazali Shafie, dia tidak akan menangkap atau menahan seseorang selagi perkataan, tulisan dan gerak gerinya tidak membahayakan perpaduan rakyat, kerajaan dan menghancurkan perpaduan rakyat. Sesuatu yang bersifat kritik tidak akan ditangkap kerana dengan kritik oleh penulis dan orang ramai akan membantu kelancaran kerajaan dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai sebuah kerajaan demokrasi.
Pada satu petang, seorang pegawai dari Ibu Peebat Polis Negeri Perak, Ipoh, telah datang ke rumahku dan dia telah memberitahu kepadaku, bahawa Perdana Menteri, Hussein Onn telah menjemput aku ke pejabatnya, di Kuala Lumpur.
”Apa hal saya PM jemput saya?” Aku bertanya
”...fasal buku Encik Mokhtar tu lah,”jawabnya.
Pada sebelah petang esoknya aku telah hadir di pejabat Perdana Menteri, Hussein Onn, di Jalan Dato’ Onn Kuala Lumpur. Kami telah bercakap mengenai Ghazali Jawi, sikap Sultan Perak dan orang ramai terhadap Menteri Besar itu.
Hussein Onn memberitahu kepadaku yang dia telah membaca buku ’Siapa Bakal Menteri Besar Perak Akan Datang’. Dia telah mengaku, bahawa kandungan buku itu telah membantunya untuk memahami krisis politik di negeri Perak dan tujuan Sultan Idris Shah menolak Ghazali Jawi.
”...susah kalau Menteri Besar tidak sefaham dengan Sultan,” kata Hussein.
”Saya tak boleh biarkan Menteri Besar dan UMNO negeri clash dengan ruler terus berpanjangan, ...ini menjejaskan kedudukan UMNO sebagai sebuah parti politik yang menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu,” tambah Hussein Onn.
Dengan wajah yang serius Hussein Onn telah menegaskan, bahawa dia akan memaklumkan kepada Ghazali Jawi pada esok pagi akan tindakan muktamadnya, iaitu supaya Ghazali jawi mengosongkan kerusi Menteri Besar Negeri Perak.
’Dalam pertemuan yang hampir dua jam itu, Allahyarham Tun Hussein Onn telah berkata kepada saya, ”...I, ...I am very sorry to say..., ha, ha, ha, ...you are eh hem journalist, writer know everything, ha, ha, ha, you are cockroach journalist, ...ha, ha, ha, ... esok I akan arahkan dia berhenti dari Menteri Besar...”.
Setelah saya menghirup seteguk air kopi susu, saya telah bertanya kepada Allahyarham Tun Hussein Onn akan mengapa Allahyarham menyifatkan saya ’penulis atau wartawan lipas’. Allahyarham telah menjawab, bahawa wartawan Utusan Melayu, Encik Abdul Aziz Ishak telah disifatkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu sebagai ’tikus ribut’ kerana beliau telah membuat laporan mengenai pertabalan Maharani Inggeris,[4] maka saya disifatkan ’penulis dan wartawan jenis serangga yang ada di mana-mana, hingga didalam bilik pengantin baru dan tempat beradu raja, maka lipas mengetahui apa manusia itu buat, sama ada baik atau jahat. Sekadarkan serangga itu tidak pandai bercakap dan menulis, menurut negarawan itu. Kami ketawa ha, ha, ha...’[5]
Aku menganggap pertemuanku dengan Hussein Onn satu catatan yang amat cemerlang dalam sejarah hidupku. Pada waktu itu aku terasa diriku sebagai seorang penulis yang di’pandang’ oleh pemimpin negara. Tulisanku diterima sebagai pendorong kepadanya untuk mencari kebaikan rakyat.
Bagiku, Hussein Onn adalah seorang pemimpin yang tegas dalam tanggungjawabnya kepada parti politik yang dipimpinnya, kerajaan dan rakyatnya. Tetapi pada masa itu dia telah menghadapi masalah ’ anak ketam menyepit ibunya’. Masalah itu aku samakan dengan puisi kanak-kanak berikut ini:
Injit-injit semut,
Siapa sakit naik atas.
Injit-injit semua,
Siapa kuat naik atas.
Aku telah pulang ke Ipoh pada petang itu juga. Setibanya aku di Ipoh, aku telah tertembung dengan orang kuat UMNO Ipoh yang rapat dengan Sultan Idris Shah, Encik Azumu bin Tak (Dato’). Dia telah memberitahu kepadaku yang Ghazali Jawi akan mengadakan perjumpaan dengan para wakil semua bahagian UMNO seluruh negeri Perak, di sebuah dewan dalam Bandar Ipoh, pada malam nanti.
Pada ketika aku tiba di dewan tempat perhimpunan itu, Ghazali Jawi sedang berucap. Beberapa orang anggota polis sedang berkawat di perkarangan dewan itu. Aku tidak terus masuk ke dalam dewan dan hanya duduk dalam bahagian tetamu di luar dewan tersebut.
Antara isi-isi ucapan Ghazali Jawi dalam perjumpan itu, ialah mengenai krisis UMNO dengan Sultan Perak yang diharapkan akan dapat diselesaikan oleh pucuk pimpinan parti.
Dia telah berkata, ”...saya masih dipercayai oleh pucuk pimpinan parti.”
Dalam ucapannya yang penuh emosi itu, Ghazali Jawi telah menyelang-selikan dengan menyelar diriku yang disifatkannya sebagai ’wartawan kontroversi’, tidak memahami kaedah politik UMNO. Dia berharap wartawan-wartawan lain tidak mengikut jejakku yang disifatkan merugikan rakyat itu.
” ...Encik Mokhtar Petah penulis buku itu (Siapa Bakal Menteri Besar Perak Akan Datang), seorang wartawan..., seorang penulis yang kontroversi,...tak boleh pakai..., tak boleh percaya...,” katanya.
Tepukan dari mereka yang hadir bergemuruh bunyinya seolah-olah akan memecahkan dinding dewan tempat perjumpaan itu.
”Saya masih di percayai oleh pucuk pimpinan parti, ....semua ahli UMNO di negeri Perak ini berdiri di belakang saya..., saya akan terus memimpin rakyat dan negeri Perak ini..., tak ada siapa pun yang boleh berhentikan saya...,” katanya kagi.
”...sebagai Menteri Besar dan pemimpin tuan-tuan dan puan-puan, saya bekerja dari pagi sampai tengah malam, ....tetapi orang lain tidur sampai tengah hari,” katanya dalam bunyi tepukan yang bergemuruh.
Sebaik-baik sahaja Ghazali Jawi selesai berucap dan duduk semula atas kerusinya, aku telah masuk ke dalam dewan itu dan menuju kepadanya. Pada wakut itu semua biji mata orang-orang dalam dewan itu tertumpu kepadaku dan Ghazali Jawi.
”...Tan Sri, saya nak cakap sikit...,” aku berkata sambil berjabat tangan dengannya.
”...boleh...,”sahutnya mesra.
”Kita bercakap dalam bilik sekejap...,” kataku.
Dalam bilik kecil di bangunan itu aku telah memberitahu kepada Ghazali Jawi, ” ....saya baru balik dari jumpa Dato’ Hussein Onn, Perdana Menteri.”
”Ia, apa hal...?”Dia bertanya.
“...dia akan berhentikan Tan Sri esok...,”jawabku.
Ghazali Jawi terkejut mendengar kata-kataku itu. Tetapi dia seorang yang pandai mengawal emosinya. Dia senyum mesra. Sebentar kemudian kami keluar dari bilik itu. Aku terus pulang ke rumahku.
Hussein Onn seorang negarawan yang tegas, dia telah mengotakan apa yang telah dikatakannya kepada aku. Pada jam 11.00 pagi esoknya, Ghazali Jawi telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar Perak .
Sehari selepas Ghazali Jawi meninggalkan kerusi Menteri Besar Perak, kira-kira jam 11.30 aku telah bertemu dengannya di hadapan sebuah bank di Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh. Beberapa orang ahli MCA dan ahli UMNO sedang berdiri di kaki lima bank itu berkeadaan seperti tidak kenal akan bekas Menteri Besar itu. Aku telah mengikuti beliau berjalan ke keretanya di tempat letak kereta,
Kira-kira seminggu kemudian, pada satu pagi aku telah minum air kopi dan makan roti canai bersama Ghazali Jawi dan isterinya, Datin Seri Radhiah di sebuah restoran orang India Muslim dalam Bandar Ipoh pada waktu makan, kami telah bercakap mengenai kami bersama-sama bergerak dalam UMNO, pada tahun-tahun 1955 -1957.
Walaupun Sultan Idris Shah tidak mahu Ghazali Jawi terus berkhidmat sebagai Menteri Besar, tetapi perhubungan secara peribadi antara mereka pada sepanjang masa krisis politik di negeri itu berlaku, seolah-olah tidak wujud clash antara mereka berdua.
Tidak ramai di kalangan UMNO dan rakyat negeri Perak yang mengetahui akan sebab Sultan Idris Shah telah enggan berkenan Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar negeri itu bagi kali yang kedua, kerana sebab menyebab itu telah berlaku pada tahun 1960-an. Berikut ini aku merakamkan ’isu’ yang menjadi catatan dalam lambaran sejarah negeri Perak itu:
Pada tahun 1963, pihak polis (belum ada Badan Pencegah Rasuah) telah menangkap Ghazali Jawi atas tuduhan menerima rasuah, iaitu wang beberapa ribu yang telah dijumpai oleh polis dalam pejabatnya. Tunku Abdul Rahman atas kuasa Perdana Menteri telah berunding dengan pihak atasan polis, maka kes itu dimansuhkan. Ghazali Jawi telah dilantik sebagai Duta Persekutuan Tanah Melayu ke Republik Arab Bersatu, Mesir.
Perkara itu telah berlaku kerana Ghazali Jawi telah dikhianati oleh mereka yang memihak kepada Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz, Menteri Besar Perak yang akhir pada zaman penajajah Inggeris. Dia telah dipecat dari UMNO dalam Sidang Jawatankuasa Agung parti itu, di Melaka pada 2 April 1953.
Menurut keterangan, pada satu hari, iaitu sebelum waktu makan tengahari, seorang ahli UMNO telah menemui Ghazali Jawi di Pejabatnya. Pada ketika Ghazali Jawi masuk ke bilik air, ahli UMNO itu telah meletakkan wang beribu-ribu ringgit di bawah timbunan fail-fail atas mejanya. Setelah keluar dari bilik air dana sebelum pulang makanan tengah hari di kediamannya, dia telah bercakap-cakap seketika dengan tetamunya itu.
Pada waktu Ghazali Jawi masuk ke pejabatnya kira-kira pada jam 2.00 petang itu, dia telah ditangkap oleh seorang pegawai polis, iaitu setelah polis menyiasat dalam pejabatnya, mereka mendapati wang beribu-ribu ringgit di bawah fail-fail atas mejanya.
Ghazali Jawi bersih dari tuduhan rasuah dan dia telah menjadi lambang kekuatan dan perpaduan UMNO Negeri Perak semenjak negara belum mencapai kemerdekaan hinggalah ke akhir hayatnya.
’Dalam Persidangan ini, 5 orang wakil UMNO Bahagian Perak telah hadir, di antaranya Encik (Tan Sri) Ghazali Jawi.
Apabila pemecatan atas diri Dato’ Gantang diisytiharkan di dalam Majlis Persidangan itu, wakil-wakil UMNO bahagian Perak itu telah menentang keras sambil membela Dato’ Gantang, kecuali Encik (Tan Sri) Ghazali Jawi yang telah menyatakan di dalam persidangan itu bahawa sungguhpun ia adalah seorang dari wakil-wakil UMNO bahagian Perak tetapi ia tidak menyertai segala fikiran dan pendirian rakan-rakannya, wakil-wakil Perak yang 4 orang lagi itu. Manakala wakil-wakil UMNO bahagian Perak yang 4 orang lagi itu telah mengambil sikap tidak mahu mengambil bahagian di dalam persidangan itu, sebagai bantahan kepada keputusan memecat Dato’ Panglima Bukit Gantang, Pengerusi UMNO Bahagian Perak itu Encik (Tan Sri) Ghazali Jawi terus mengambil bahagian, sebagai wakil Bahagian UMNO Perak di dalam persidangan itu dengan tidak menghiraukan apa akan jadi padanya akibat sikapnya menentang Dato’ Gantang yang bukan sahaja Pengerusi Bahagian UMNO Perak, yang tidak mahu diterima pemecatannya oleh rakan-rakannya wakil Perak yang lain-lain itu, tetapi juga Menteri Besar Perak pada masa itu.’[6]
Walaupun aku telah menimbulkan banyak masalah kepada kestabilan politik Ghazali Jawi, tetapi secara peribadi, sesungguhnya aku mengangkat atau menyanjungnya sebagai seorang pemimpin yang gigih membangun dan memajukan negeri Perak pada zamannya.
[1] Castro Ruz, Fidel, lahir
British 1953 -1959, Perdana Menteri 1959 – 1976 dan dari 1976 hingga kini Presiden Cuba.
[2] Mokhtrar Petah, ,4 Oktober 1993, Mingguan Media Islam.
[3] Ibid, 13 Desember 1993.
[4] Pada tahun 1952.
[5] Mokhtar Petak, 1995, Kejayaan Bersama – Satu Analisa Piloihanraya ’95 di Perak, Kuala
Lumpur, Mata Publication, hl.157, 158.
[6] Ibrahim Mahmood, 1981, Sejarah Perjuangan Bangsa Melayu,
Pustaka Antara, hlm.371.
(Sedutan dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)
No comments:
Post a Comment