Ketepi isu remeh
Oleh Saufi Hamzah
sofeeham@bharian.com.my
NAJIB bersalaman dengan Susilo pada pertemuan di Putrajaya, semalam. |
Hubungan tradisional KL, Jakarta terus akrab
PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia tidak akan membiarkan isu-isu remeh yang dibangkitkan sesetengah pihak menggugat hubungan di antara kedua-dua negara, sebaliknya terus berusaha mengukuhkan hubungan erat dua hala yang sedia terjalin, kata Datuk Seri Najib Razak.
Bercakap pada sidang media bersama Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di sini, semalam, Perdana Menteri berkata sementara ada pihak tertentu yang mahu menimbulkan masalah dalam hubungan dua hala, hakikat adalah sebaliknya kerana pemimpin Kuala Lumpur dan Jakarta mempunyai hubungan yang akrab.
"Meskipun kita mempunyai beberapa isu yang tertangguh, ia tidak seharusnya menjadi keutamaan yang melebihi perkara-perkara baik dilakukan kedua-dua kerajaan untuk mengukuhkan hubungan. Kita mempunyai hubungan tradisional yang akrab seperti kunjungan antara pemimpin Indonesia ke Malaysia dan sebaliknya.
"Kita sedang melihat kepada interaksi lebih erat antara institusi seperti media dengan media, Parlimen dan Parlimen serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan NGO," katanya.
Najib berkata, mereka yang mengadakan pertemuan empat mata juga mahu program belia antara kedua-dua negara ditingkatkan manakala kerjasama ekonomi terus diperluaskan.
"Kami bersepakat untuk menyatakan bahawa kedua-dua negara dan kerajaan beriltizam memantapkan hubungan supaya tidak berlaku pasang surutnya, tapi sebaliknya dapat dikekalkan pada tahap yang sebaik mungkin.
"Ini juga adalah keadaan yang sebenar walaupun berlaku beberapa masalah tapi ia adalah bersifat kecil dan berlaku dalam kelompok kecil dan tidak seharusnya menutup segala kebaikan besar dan positif dilakukan oleh kedua-dua pemerintah selama ini," katanya
Lawatan rasmi Susilo ke Malaysia selama dua hari itu adalah lawatan pertama sebelum beliau ke luar negara selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia bagi penggal kedua, Oktober lalu.
Bulan lalu, segelintir media dan rakyat Indonesia melancarkan kempen 'Ganyang Malaysia' kerana salah faham berhubung tarian pendet.
Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera), misalnya melancarkan gerakan 'Ganyang Malaysia' dengan melakukan kempen 'sapu dan usir rakyat Malaysia' dan bersedia mengepung Kedutaan Malaysia di Jakarta bertujuan menggesa pemerintah Indonesia bersikap tegas.
Najib berkata, perbincangan beliau dengan Susilo berjalan dengan baik, produktif dan sangat bermanfaat sekali gus menyifatkan lawatan Presiden Indonesia itu sebagai sangat bermakna dan berharap ia memberi isyarat amat positif kepada kedua-dua negara terutama dalam konteks hubungan sesama manusia.
Katanya, Malaysia juga ingin memperkukuhkan persahabatan dengan Indonesia serta mewujudkan lebih banyak peluang dalam pelbagai bidang demi kebaikan di antara kedua-dua negara berjiran.
Najib berkata, kedua-dua pemimpin turut bersetuju supaya proses integrasi ekonomi di antara Malaysia dan Indonesia diperkasakan bukan saja dalam bidang dagangan dua hala, malah dalam sektor pelancongan, keselamatan makanan, tenaga, industri halal serta kewangan dan perbankan Islam.
"Kami bersetuju supaya proses integrasi ekonomi diperkasakan lagi bukan saja dalam bidang dagangan dua hala di mana angkanya semakin meningkat kecuali tahun ini kerana kesan daripada krisis global tapi kami yakin hubungan dagangan akan terus meningkat. Saya juga berharap lebih ramai pihak Indonesia melabur di Malaysia supaya pelaburan dilihat sebagai dua hala.
"Kita juga melihat inisiatif tertentu apabila Presiden Susilo mencadangkan dalam aspek keselamatan makanan di mana kita boleh melabur bersama dalam bidang ini kerana Indonesia ada kawasan yang luas dan tenaga kerja yang boleh menjadi pusat pengeluaran makanan, ini boleh diusahakan bersama. "Dalam aspek keselamatan tenaga, saya memberi maklum balas di mana ada akses tenaga dari Malaysia, kita boleh menyalurkan ke kawasan pedalaman Indonesia yang memerlukan bekalan tenaga dan elektrik," katanya.
Perdana Menteri juga berkata, usaha kedua-dua dua atas kepentingan bersama seperti memerangi kempen antiminyak sawit di negara dunia ketiga dan melakukan tindakan bersama dan lebih selaras termasuk dalam promosi pelancongan.
Najib berkata, kedua-dua pemimpin turut bersetuju betapa pentingnya mewujudkan ramai kawan Indonesia di Malaysia dan rakan Malaysia di Indonesia supaya sebarang isu berlaku, mereka dapat memberi gambaran sebenar dari semasa ke semasa.
Menjawab pertanyaan media Indonesia mengenai jaminan Malaysia terhadap hak tenaga kerja republik itu di Malaysia, Najib berkata: "Pertamanya dari segi kepentingan pekerja Indonesia, kami harap mereka (pekerja Indonesia) yang masuk ke Malaysia adalah pekerja yang sah, jadi kalau mereka pekerja sah, lebih mudah hak mereka terjamin. Kalau sebaliknya mereka boleh dieksploitasi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
"Kedua, kami akan melakukan keadilan, layanan adil dan saksama termasuk kepada rakyat Malaysia yang melakukan kekasaran terhadap rakyat Indonesia di sini, mereka akan diambil tindakan mengikut undang-undang negara seperti terbukti baru-baru ini.
"Banyak kes yang kita sudah selesaikan termasuk beberapa kes berprofil tinggi. Begitu juga kita berharap pekerja Indonesia di sini tidak melakukan kesalahan, kalau mereka melakukan kesalahan, layanan dan tindakan sama akan diambil, itu amat difahami Presiden dalam perjumpaan kami."
Beliau juga berkata, kerajaan menghargai kehadiran pekerja asing dari republik itu dan akan terus melindungi mereka tetapi sekiranya ada yang melanggar undang-undang, mereka akan diadili.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 13 November 2009)
-------------------
Isu tren DMU: SPRM ambil dokumen di Kem. Pengangkutan
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Beberapa dokumen dari pejabat Kementerian Pengangkutan diambil pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan isu pembelian empat set tren Diesel Multiple Units (DMU) terpakai pada harga RM30 juta yang dikatakan terlalu tinggi.
Menurut sumber, dokumen-dokumen tersebut diambil dari kementerian itu semalam untuk dikaji bagi tujuan siasatan.
Bagaimanapun, sumber terbabit enggan mengulas lanjut perkembangan siasatan itu.
Pada sidang Dewan Rakyat kelmarin, beberapa ahli Parlimen menyifatkan pembelian empat set tren DMU terpakai berusia 20 tahun pada harga RM30 juta itu tidak masuk akal apatah lagi usia DMU berkenaan sudah hampir 'putus darah'.
Ahli Parlimen Seri Gading, Datuk Mohamad Aziz mendesak SPRM supaya menyiasat Kementerian Pengangkutan berhubung pembelian berkenaan.
Bagaimanapun, Kementerian Pengangkutan semalam menafikan pembelian set tren DMU terpakai itu lebih mahal berbanding yang dibeli oleh Costa Rica dan Argentina.
Menurut kenyataan kementerian itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) membeli DMU pada harga Euro 1.492 juta (RM7.56 juta) setiap set berbanding Euro 2 juta (RM10.14 juta) oleh kedua-dua negara terbabit bagi setiap set.
Kenyataan itu juga menyebut harga sebenar bagi pembelian empat set DMU terpakai oleh KTMB adalah Euro 6.6 juta (RM33.5 juta).
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 13 November 2009)
No comments:
Post a Comment