Monday, November 23, 2009

BERITA


Banjir makin buruk

  • Di Terengganu 5,641 mangsa daripada 1,288 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
  • 300 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) ‘berkampung’ di tujuh sekolah menengah di Besut bagi pastikan mereka dapat duduki peperiksaan hari ini.
  • Jalan Sungai Tong-Kuala Berang ditutup kerana dinaiki air setinggi 1.2 meter, Jalan Penarik-Permaisuri (0.5 meter), Jalan Ajil - Kuala Berang

    (0.9 meter).

  • Di Kelantan 2,668 mangsa daripada 480 keluarga dipindahkan ke 729 pusat pemindahan.
  • Paras air Sungai Kelantan di Kusial, Kuala Krai, Sungai Golok dan Rantau Panjang melebihi paras bahaya.
  • KOTA BHARU 22 Nov. – Keadaan banjir di negeri ini semakin teruk menyebabkan seramai 2,668 mangsa daripada lebih 480 keluarga dipindahkan ke 729 pusat pemindahan banjir hari ini.

    Laman web mengenai banjir di negeri ini melaporkan, setakat pukul enam petang ini, Jajahan Pasir Mas paling terjejas teruk apabila sejumlah 910 mangsa daripada 240 keluarga dipindahkan.

    Menurut laman web itu, Jajahan Kuala Krai turut terjejas teruk selepas banyak kawasan rendah dinaiki air menyebabkan 669 mangsa berpindah ke lapan pusat pemindahan yang dibuka.

    “Di Jajahan Tanah Merah, seramai 251 mangsa dipindahkan membabitkan 58 keluarga manakala 119 mangsa daripada 26 keluarga dipindahkan di Jajahan Jeli.

    “Di Pasir Puteh, 36 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan manakala 19 lagi mangsa daripada empat keluarga turut berpindah di Jajahan Machang,” lapor laman web tersebut.

    Sementara itu, laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan menunjukkan paras air di beberapa sungai utama iaitu Sungai Kelantan di Kusial dan Kuala Krai serta Sungai Golok di Jenab dan Rantau Panjang telah melebihi paras bahaya.

    Jurucakap Bilik Gerakan Banjir negeri ketika dihubungi mengesahkan beberapa jalan di negeri ini telah ditutup akibat dinaiki air.

    Jalan Kampung Panglima Bayu dan Kampung Kajang di Rantau Panjang ditutup kepada semua jenis kenderaan kerana dinaiki air sehingga sedalam satu meter.

    Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu di Kilometer 45 turut ditutup kepada kenderaan ringan kerana turut mengalami nasib sama.

    Jalan Tanah Merah-Kusial di Kilometer 6.7 turut ditutup kepada semua jenis kenderaan.


    -----------------


    Nik Aziz tidak akan terima

    KOTA BHARU 22 Nov. – Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak akan menerima peletakan jawatan Datuk Husam Musa sekiranya Exco kanan kerajaan negeri itu benar-benar berhasrat mahu berbuat demikian.

    Mursyidul Am Pas itu berkata, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan merupakan seorang pemimpin yang pintar, berpandangan jauh dan banyak membantu rakyat di negeri ini bahkan mampu mengubah landskap politik nasional.

    Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan bahawa bekas Naib Presiden Pas itu pernah menyuarakan hasratnya untuk melepaskan jawatan dalam parti atau kerajaan negeri.

    “Cerita mengenai hasrat Husam untuk meletakkan jawatan tidak berlaku langsung dan saya pun tidak beri kalau dia hendak letak jawatan kerana Kelantan dapat banyak manfaat daripadanya.

    “Husam ini Allah buat bukan untuk Kelantan sahaja tetapi untuk rakyat Malaysia, dia budak yang cerdik, pengalaman banyak dan pemikiran jauh ke depan.

    “Rakyat Kelantan banyak menerima buah fikiran yang baik dari Husam seperti ambil balik tanah Felcra yang banyak, wujudkan sistem kifalah yang memberi banyak manfaat kepada rakyat dan orang kurang upaya (OKU),” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

    Beliau mengulas laporan muka depan Mingguan Malaysia hari ini mengenai hasrat Husam yang dikatakan mahu melepaskan semua jawatan dalam parti dan juga kerajaan negeri.

    Namun, hasrat tersebut tidak dipersetujui oleh Mursyidul Am Pas dan Husam dipercayai diberikan cuti selama lima hari bermula semalam untuk berehat.

    Tindakan Husam untuk melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan itu dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

    Spekulasi mengenai peletakan jawatan tersebut diperkuatkan dengan dakwaan Husam yang dilaporkan sebuah akhbar dan portal berita bahawa wujud konspirasi untuk menjatuhkan beliau dengan melaga-lagakannya dengan mentornya, Nik Abdul Aziz.

    Bagaimanapun, pada sidang akhbar tersebut Nik Abdul Aziz tidak mengulas punca timbulnya isu berkenaan sama ada ia berkaitan masalah dalaman PMBK.

    Menteri Besar itu berkata, selama ini beliau tidak menyebut mengenai kebaikan Husam kerana bimbang Exco lain akan berkecil hati.

    “Saya selama ini tidak sebut kerana takut kecil hati Exco lain sebab mereka ada portfolio masing-masing, tetapi portfolio Husam iaitu Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri banyak memberi manfaat kepada Kelantan. Banyak fikiran dia selamatkan politik Malaysia,” katanya.

    Mengulas mengenai pertemuan empat mata dengan Husam dan pemberian cuti selama lima hari, Nik Abdul Aziz berkata:

    “Husam datang ke pejabat saya pada hari Selasa memberitahu doktor menasihatkan dia masuk hospital lima hari kerana tulang belakang ada masalah. Perkara hendak berundur tidak ada langsung dalam kepala dia atau kepala saya.

    “Hari ini saya baca sebuah akhbar, saya berasa amat terkejut dengan laporan yang dibuat. Tajuknya ‘Husam letak jawatan?’ walaupun ada tanda tanya.

    “Saya berasa dukacita kerana wartawan kita masih suka mengorek hal peribadi orang termasuk tuduh orang tertentu buat sesuatu yang mengejutkan. Wartawan kita suka cari berita panas, walaupun tidak betul.” katanya.


    -------------------------


    Hadi,Nik Aziz bincang isu Husam di KB

    ALOR SETAR 22 Nov. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijangka membincangkan hasrat Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang dikatakan mahu melepaskan kesemua jawatannya di dalam parti dan kerajaan dengan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kunjungannya ke Kelantan Khamis ini.

    Menurut Abdul Hadi, setakat ini, beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perkara tersebut dan hanya membaca menerusi laporan media.

    "Saya tidak tahu menahu, cuma mengetahui mengenainya daripada laporan media dan saya kena tunggu maklumat sebenarnya," kata beliau.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melihat sesi perbahasan sebelah pagi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini, hari ini.

    Mingguan Malaysia hari ini melaporkan keputusan Husam Musa yang disifatkan sebagai satu lagi episod menggambarkan perpecahan dan kekusutan dalam parti itu.

    Namun hasrat itu tidak dipersetujui oleh Nik Abdul Aziz yang sebaliknya memberikan cuti selama lima hari bermula hari ini kepada Husam yang juga Exco kanan kerajaan negeri untuk berehat dan menenangkan fikiran.

    Tindakan Husam untuk melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan dikatakan berpunca daripada pendedahan kemelut dalaman Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diterajui Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman.

    (Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 23 November 2009)


    No comments: