' KUASA PENGGUNA: SATU PENGGUNA, SATU SUARA '
(07 OGOS 2009 / 16 SYAABAN 1430)
Pada hari Jumaat yang berkat ini marilah kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah- mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Sempena dengan sambutan Hari Pengguna Malaysia 2009 mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk “ Kuasa Pengguna : Satu Pengguna, Satu Suara.”
Islam mewajibkan umatnya bersaudara. Hidup saling membantu demi kebahagian bersama. Adalah berdosa dan berkelakuan zalim jika seorang muslim menyakiti dan menganiaya seorang muslim yang lain dalam apa bidang sekalipun terutamanya dalam urusan jual beli dan sewa menyewa.
Islam telah menetapkan hukum syarak yang jelas dalam muamalat seperti urusan jual beli, pinjam meminjam, sewa menyewa, gadai menggadai dan sebagainya. Bagi menjaga kebajikan dan mewujudkan keharmonian di antara pengguna dan pengusaha. Selari dengan kehendak hukum syarak, maka Islam memang mengharamkan sebarang bentuk eksploitasi dan penindasan seperti riba, judi, menipu dan sebagainya. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t melalui surah Al – 1 – 5.
Kecelakaan besar bagi orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup, Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi Tidakkah mereka menyangka bahawa mereka akan dibangkitkan (hidup semula sesudah mati)?.Pada hari (kiamat) yang amat besar (huru-haranya).
Namun apa yang mendukacitakan ialah berleluasanya kegiatan sesetengah pengusaha dan peniaga yang mengamalkan budaya berdosa menipu pengguna. Antaranya ada yang ditipu timbangan dan ukuran, ada yang diperdaya dengan harga yang dipropaganda harga murah tetapi sebenarnya mahal, ada yang ditipu dengan barangan tiruan dan ada yang terjebak dengan barangan dan perkhidmatan yang tidak halal dan ada juga yang terperangkap dengan janji palsu along dan skim cepat kaya. Dalam tahun 2008 kerajaan telah menerima sebanyak 10,720 aduan dengan pelbagai isu dan masalah yang menimpa pengguna. Ribuan aduan juga dilaporkan oleh persatuan-persatuan pengguna di seluruh negara.
Kadang kala kita mengeluh dan marah apabila menyedari kita ditipu oleh peniaga. Sebagai pengguna atau pembeli, kita mempunyai hak yang perlu dipertahankan. Di antara hak-hak tersebut ialah pertama, mempastikan barangan kegunaan yang dibeli adalah suci dan halal. Kedua, mempastikan barangan dan perkhidmatan yang dibeli adalah tulen dan berkualiti. Ketiga, mempastikan harga yang dibayar adalah harga sebenar dan berpatutan.
Bagi mempastikan hak-hak kita sebagai pembeli dan pengguna dapat dilindungi, maka kita hendaklah menjadi pengguna yang bijak. Bijak dalam erti kata tidak dapat dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual. Bijak memilih penjual yang boleh dipercayai dan bijak memilih barangan dan perkhidmatan yang suci, hala dan berkualiti. Sesungguhnya untung rugi nasib pembeli dan pengguna adalah terletak di tangan kita sendiri. Jika kita prihatin, berhemah dan waras dalam mendapatkan barangan dan perkhidmatan maka terjaminlah kehidupan kita.
Dalam usaha mengaut keuntungan besar dan menjadi orang kaya cepat, maka terdapat peniaga menjadikan pembeli sebagai mangsa. Kita amat sedih jika mangsa itu adalah orang miskin dan kumpulan daif yang lain. Oleh itu, para pembeli dan pengguna perlu sedar bahawa sikap tidak kisah terhadap barangan dan perkhidmatan yang dibeli akan merugikan pengguna sendiri. Para pengguna akan terus menjadi mangsa eksploitasi peniaga yang rakus, terpaksa membayar lebih daripada harga sebenar atau mungkin mendapat barangan yang tidak berkualiti dan mungkin juga akan menggunakan barangan dan perkhidmatan yang tidak halal.
Justeru itu, mimbar menyeru marilah kita menjadi pengguna yang prihatin dan bijak dengan langkah-langkah berikut ;
Pertama : Setiap pengguna perlu mendapatkan maklumat dan
pengetahuan yang secukupnya mengenai barangan
dan perkhidmatan yang akan dibeli.
Kedua : Para pengguna perlu membuat pengaduan terhadap
peniaga-peniaga yang didapati menipu dan menindas
Ketiga : Para pengguna patut memilih premis perniagaan yang
dipercayati amanah.
Keempat : Pihak berwajib hendaklah sentiasa membuat
pemantauan dan penguatkuasaan ke atas pusat-pusat
perniagaan secara integriti dan bertanggungjawab.
Wahai orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? ( Surah al- Saf:10)
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia - JAKIM)
No comments:
Post a Comment