Wednesday, May 6, 2009

PENGALAMAN



ORANG PELARIAN

TENTERA JEPUN MASUK PERAK


[Sesiapa yang lahir setelah penjajah Inggeris datang kali kedua ke Tanah Melayu, tidak mengetahui bagaimana sebahagian besar penduduknya telah mengalami kesusahan dan penderitaan dalam Perang Dunia II dan kedatangan tentera Jepun untuk memerintah bumi Melayu ini. Mokhtar Petah telah menceritakan pengalamannya pada masa kedatangan tentera Jepun ke kampungnya dalam buku memor yang berjodol, Patah Saya Bertongkatkan Paruh.

Buku yang memakan lebih 600 muka ini akan diterbitkan bersama lebih 20 buah buku karyanya termasuk lima buah novel.

Berikiut ini adalah cabutan dari buku tersebut. Editor, Petah Shahrir Aidid.]


Sebaik-baik sahaja bapaku dan aku tiba di rumah, aku telah melihat datuk dan nenekku telah berhimpun di halaman rumah mereka bersama kaum keluarga mereka dan orang-orang kampung.Mereka sedang menunggu bapaku pulang dari mengambil aku di sekolah. Setelah aku selesai makan nasi dan orang-orang yang berkumpul itu selesai sembahyang fardu Zohor, maka bapaku telah azan di halaman rumah datukku kerana hendak memulakan langkah sebagai orang-orang pelarian ke dalam rimba di kaki banjaran Gunung Bintang Hijau, terletak di belakang kampung kami, kira-kira empat kelometer jauhnya.
Datukku telah berpesan kepada mereka yang akan menyertainya berehijrah ke kaki banjaran Gunung Bintang Hijau, iaitu walau dalam apa jua keadaan, mereka mestilah bersatu dan tidak menjaukan diri daripadanya.Dia telah memberitahu, bahawa guru agama, Lebai Salleh akan menyertai kami dan tinggal dalam rumah panjang di kaki banjaran gunung itu.Rumah panjang yang boleh mengisi kira-kira dua puluh keluarga itu, telah didirikan oleh orang-orang kampung dengan cara bergotong royong, kira-kira seminggu sebelum kami berhijrah ke sana.
Datukku mempunyai dua orang isteri. Isteri tuanya, Hajah Halimah (nenekku) dan isteri mudanya, Maimunah.Dua perempuan bermadua itu tidak pernah berkelahi merebut suami. Mereka berkadaan orang dua beradik. Maimunah tidak mempunyai anak dengan datukku.
BANJARAN GUNUNG
Rombongan kami kira-kira dua belas keluarga. Guru agama, Lebai Salleh mempunyai seorang anak lelaki bernama Abdul Hamid yang berusia lima belas tahun. Kepala Abdul Hamid besar lebih kurang sama besar dengan buah tembikai seberat sepuluh kilogram.
Beberapa orang lelaki yang gagah telah mengusung Abdul Hamid, ke rumah panjang, di kaki banjaran Gunung Bintang Hijau itu. Banjaran gunung itu memanjang dari belakang kampung kami hingga ke kawasan Hulu Perak.
Rumah panjang itu terletak dekat sebatang anak sungai, iaitu Sungai Busuk namanya. Rumah itu tingginya kira-kira satu meter dari bumi, bertiangkan kayu-kayu rimba, berdindingkan buluh tepas - buluh yang telah dicincang-cincang - , lantai buluh – buluh yang telah dibelah-belah -. Tangga-tangga rumah panjang itu dari kayu rimba juga.
SEKITAR KAMPUNG
Rombongan Kami telah tiba di rumah panjang itu kira-kira jam 5.00 petang.Adikku, Ghazali sangat nakal. Dia suka bermain dalam sungai Busuk di hadapan rumah panjang itu. Seorang lelaki Jawa, Wak Lamat yang menjadi siak surau di kampung kami suka melayan adikku.
Kira-kira jam 7.00 malam, di sekitar kampungku telah digegar oleh bunyi meriam atau moter yang telah ditembakkan oleh askar-askar British dari sebuah jambatan yang merentangi Sungai Busuk di antara kampugnku dengan kampung Changkat Duku. Bunyi peluru-peluru moter yang meluncur itu seperti bunyi angin puting beliung dan cahaya api pada peluru-peluru itu telah menerangi sekitar kampung dan rimba, di sana. Askar-askar British dan Australia itu telah menembakkan moter itu ke arah banjaran gunugn Bintang Hijau. Mereka itu sedang bertahan di jambatan itu supaya askar-askar Jepun tidak dapat menggunakan jambatan tersebut untuk mara ke kawasan Kuala Kangsar.

Tembakan moter itu tidak berhenti-henti sepanjang malam dan sampai ke pagi esokannya.
AKIBAT PERANG
Guru agama, Lebaik Salleh telah memimpin orang-orang lelaki di rumah pangjang itu membaca ’
Yasin’ pada sebelah malam.Pada tiap-tiap lepas sembahyang fardhu mereka telah berdoa kepada Allah memohon dijauhkan kami dari kebinasaan akibat perang.
Pada pagi pertama di rumah panjang itu, bapakju bersama Wak Lamat dan beberapa orang lagi telah pergi menghendap askar-askar British dan Australia di Jambatan Changkat Duku. Mereka telah klari lintang opukang kerana ditembak oleh askar-askar Britisha dan Australia itu.
Pada malam kedua kami tinggal dalam rumah panjang itu, kira-kira jam 10.00 malam dan hujan turun renyai-renyai, tiba-tiba kami telah terdengar bunyi seperti sekumpulan kerbau merempuk hutan di belakang rumah panjang itu. Semua pelarian menunggu dengan waspada dari sebarang kemungkinan yang akan berlaku nanti.
GELAP MALAM
Bau semerbak serai wangi telah mengharumkan sekitar rumah panjang kami. Sebentar kemudian, dari dalam semak di belakang rumah panjang itu kami telah mendengar suara orang lelaki memberi salam. Bapaku dan orang-orang lain telah menyambut ucapan salam dari lelaki yang tidak kelihatan dalam gelap malam itu.
Seorang pegawai askar Jepun dengan topi besar yang dibalut dengan dedaun kayu telah berdiri dalam hujan di hadapan datuk, bapaku dan orng-orng lelaki di pelarian itu.Di belakangnya berpuluh-puluh orang askar Jepun yang lengkap dengan senjata sedang berdiri dalam hujan. Topi mereka brbaluk dengan sesauh dan pada badan mereka penuh sara dengan bungkusan dan pundut.
Pegawai askar Jepun itu telah bersalaman dengan datu dan bapaku serta orang-orang lelaki yang ada di situ.Datukku telah menjemput pegawai askar Jepun itu masuk ke bawah atap pisang sesikat rumah panjang itu. Di bawah teduhan atap itu dengan menggunakan pelita minyak tanah, pegawai Jepun itu telah membuka sebuah peta sebesar A-4 dan dia merenung dan meneliti pada peta itu.Dia telah senyum mesra kepada orng-orang pelarian di hadapannya.

...ini Sungai Busuk, ...di sana kampung Ngor,” pegawai askar Jepun itu telah bercakap dalam bahasa Melayu sambil menunjukkan ke arah timur.
ASKAR JEPUN

Datukku dan mereka yang berada di hadapan pegawai askar Jepun itu mengangguk-anggukkan kepala masing-masing.Mereka berperasaan takut bercampur berani.

"...di mana saya boleh jumpa Tuan Haji Ja’afar, ...dia tinggal di kampung Ngor, bukan?”tanya pegawai askar Jepun itu.
"...sayalah, ...saya Haji Ja’afar,” jawab datukku.
" ....ooo, Tuan Haji, ...saya minta ma’af, ...ketua saya, Tuan Suzuki kirim salam kepada Tuan Haji...,”kata pegawai askar Jepun itu.
"Ia...,”sahut datukku.
"....dulu, tuan kami, Suzuki tinggal di Kuala Kangsar, ....dia selalu berburu dengan Tuan Haji...,”jelas pegawai askar Jepun itu lagi.
"Ia, Tuan,”sahut datukku.
Pegawai askar Jepun itu sangat menghormati datukku dan orang-orang pelarian di hadapannya. Dia telah memberitahu datukku ,ayahku dan orng-orang yang ada di situ, bahawa dia bersama 600 orang askar Jepun di bawah perintah Pemerintah Angkatan Tentera ke 25 Jepun, di kenali dengan nama
’Tiger of Malaya’, Left. General, Yamashita adalah terdiri dari pasukan jalan kaki (infantry brigade). Mereka telah masuk ke Tanah Melayu melalui sempadang Selatan Thailand – Tanah Melayu di kawasan Grik. Kemudian mereka menuju ke tempat kami berkhemah melalui lereng-lereng gunung ganang sepanjang banjaran Gunung Bintang Hijau. Mereka akan meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar dan Ipoh.
ADUNAN MENTEGA
Pegawai askar Jepun itu bersama anggota-anggota pasukannya telah singgah di rumah panjang kami kira-kira setengah jam. Sebelum mereka meninggalkan kami, mereka telah menghadiahkan kepada kami berbungkus-bungkus biskut yang dikeluarkan dari bundut –bundut dari setiap askar Jepun itu.
Selama lebih tujuh tahun aku hidup di dunia ini, itulah kali pertama aku dapat merasakan biskut jenis baik, iaitu yang dibuat dengan adunan mentega, susu dan sebagainya. Sebelum itu aku hanya dapat memakan biskut lutut, roti kapal dan yang sering aku makan, ialah cucur kodok, tepung lempeng, buah melaka dan kuih-kuih orang Melayu kampung sahaja..
Sebelum meninggalkan kami, ketua pegawai askar Jepun itu telah menasihatkan datuk dan ayaku serta orang-orang dalam rumah panjang itu supaya pulang ke kampung kami pada awal pagi esok dan tinggal di rumah masing-masing. Dia tidak menjami kami akan selamat tinggal dalam rumah panjang itu kerana diakhuatir askar-askar Jepun akan mengembum rumah itu kerana mereka menyangkat tempat bersembunyi askar British.
ADAB SOPAN
Pegawai askar Jepun itu telah memberitahu juga, bahawa pada tengah hari esok pasukan askar Jepun - pasukan berani mati – , akan tiba di kampung kami dengan dilindungi oleh kapal-kapal terbang perang. Mereka itu tidak mempunyai adab sopan terhadap orang-orang lain. Kebanyakan dari mereka itu askar-askar Manchuria yang dikerah oleh kerajaan Jepun.

'Pada tahun-tahun 1936 – 1939, iaitu sebelum tentera Jepun mneyerang Semenanjung Tanah Melayu, seorang lelaki Jepun, bernama Suzuki telah membuka sebuah kedai gambar di bandar Kuala Kangsar. Dia gemar memburu haiwan-haiwana liar dalam rimba. Pada tiap-tiap hari Ahad dia telah datang dengan kereta kecilnya ke kampungku. Dia telah membawa senapang patah dan kameranya. Datukku dan dua tiga orang kampungku yang memiliki senapang patah, di antaranya Alang Ismail (mahir memburu seladang), berasal dari Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, telah pergi memburu dalam kawasan rimba raya di lereng banjaran Gunung Bintang Hijau atau ke kawasan Gunung Kerangga di sebarang Sungai Perak. Gunung Kerangga bersambung dengan kawasan Sungai Siput Utara dan hingga ke Pahang dan Kelantan.
Di tiap-tiap tempat Suzuki berburu, dia telah mencatatkan sesuatu pada sehelai kertas kecil. Kemudian kertas itu dimasukkan ke dalam sejenis kepsol seperti kepsol ubat, lalu ditelannya.Perbuatannya itu selalu diperhatikan oleh datukku dan orang-orang yang bersamanya berburu.

Kira-kira pada pertengahan tahun 1939, Suzuki telah kembali ke negaranya. Kedai gambarnya terletak di jalan Kangsar telah dijualkan kepada seorang lelaki China yang menjalankan perniagaan tukang gambar juga.’1


*** ***

KAMPUNG HALAMAN
Pada malam itu bapaku dan orang-orang pelarian dalam rumah panjang itu tidak tidur
sepanjang malam.Mereka bersiap-siap untuk kembali ke kampung halaman atau tinggal di
tempat-tempat lain yang lebih selamat pada awal pagi esok.Tiba-tiba sebiji peluru
moter seperti bara api dengan bunyinya yang menakukan telah jatuh menjunam dalam
rimba di belakang rumah panjang kami kira-kira sepuluh meter jaraknya.

Lelaki Jawa, Wak Lama telah azan bagaikan orang meraung kerana terlalu takut.Bapaku bersama beberapa orang kawannya telah pergi ke tempat peluru moter itu jatuh. Tidak lama kemudian mereka telaqh membawa pulang seketul perluru moter dan di letakkan atas pangkin di bawah atap pisang sesikat rumah panjang itu.

Bapaku telah berkata kepada kawan-kawannya, ”...Allah dah menolong kita, kalau tak bom ni jatuh tas dangau kita ni, semua kita ni dah jadi mayat.”

Nenekku dan madunya, Maimunah telah menangis. Semua orang-orang pelarian dalam rumh panjang itu kehiaranan. Kemudian barulah kami mendapat tahu, rupa-rupanya mereka menangis kerana khuatirkan datokku, kalau-kalau orang tua itu akan diambil oleh askar-askar Jepun pada siang esoknya.

1 Catatan ini dari cerita datukku dan Alang Ismail. Dia telah menceritakan kepadaku

pada kira-kira dua tahun sebeklum dia meninggal dunia, iaitu pada masa aku belajar di sekolah

Agama dan sekolah Inggeris di Teluk Anson (Teluk Intan) pada tahun 1951.

No comments: