Sunday, May 3, 2009

DARI NOVEL




CINTA


Oleh: Mokhtar Petah



Sebuah kampung tua entah di mana. Kampung tradisional. Tidak pernah dinodai atau dicerobohi oleh sebarang anasir perosak alam sekitar, prosak udara dan penceroboh muka bumi. Penghuni-penghuninya tidak pernah menikmati pembangunan kerajaan seperti para warga kampung-kampung lain.

Di sana tidak wujud tenaga elektrik. Tiada seorang pun dari mereka yang kenal lampu elektrik dan alat-alat kelengkapan yang menggunakan tenaga tersebut seperti radio, peti televisyen, kipas angin, pendingin udara, pengering rambut, pembakar roti dan sebagainya.

Tidak seorang pun dari penduduk-penduduk kampung itu yang kenal akan paip air. Mereka minum, mandi manda, membasuh pakaian dan sebaginya menggunakan air sungai, air tasik atau air perigi. Semua air itu jernih laksana air mata gadis sunti.

Mereka tidak pernah menagih bantuan dari sesiapa. Menteri atau wakil rakyat tidak penah menjenguk ke sana. Sejak zaman berzaman belum pernah orang Melayu, orang Cina dan orang India datang menjunjung poster dan berkempen pilihan raya ke kampung tersebut.

Dalam semua sungai dan tasik terdapat berbagai jenis ikan air tawar yang hidup bebas, seperti ikan kelah, tengas, kelabau, sebarau, susur batang, betuk, toman, bujuk, tilan, haruan dan macam-macam jenis ikan lagi. Udang galah dan berbagai udang berkeliaran dalam sungai dan tasik di sana.

Belum pernah makanan laut; ikan pecah perut, kerang sengeh, ketam cegang dan udang tajam sundak dibawa orang ke kampung itu.Tiada seorang pun dari mereka itu yang mengunyah semua makanan begitu.

Semua penduduk kampung itu tidak makan ikan dan udang. Mereka hanya memakan pucuk-pucuk kayu dan sayur-sayuran yang segar; salang, nenasi, bayam, kangkung, aneka jenis kacang dan ubi dan paku pakis.

Hampir semua isteri, sama ada tua mahupun mempunyai madu. Tidak pernah berlaku kejadian madu bercakaran dengan madu. Mereka wanita yang mengabdikan diri kepada Allah, menurut semua hukum dan petunjuk Yang Maha Kuasa itu. Kebanyakan lelaki membina dan menumpang cinta kepada dua, tiga atau empat orang isteri. Para suami dan isteri seronok dan bahagia. Beranak pinak menjadi kesukaan semua isteri. Tidak pernah berlaku suami dan isteri berselisih faham, bertengkaran hingga saling membaling pinggan mangkuk. Belum ada madu bercakaran dengan madu. Tidak pernah berlaku perbuatan jenayah dan maksiat.

Semua suami makan atau serbuk tongkat Ali. Meneguk air ubi jaga, mengunyah lengkuas ranting dan akar tunjuk langi. Mereka tidak pernah meneguk teh tarik. Bahaya. Boleh lemah tenaga. Setiap isteri menelan serbuk kacip Fatimah, lengkuas ranting, kulit teja, meneguk air seruntun dan berulamkan pucuk legundi, teman tasik dan putat. Tidak ada seorang pun dari semua isteri di kampung itu cemburu, panas baran dan tekanan jiwa atau perasaan (stress).

Saban malam, lelaki perempuan dan kanak-kanak tidur nyenyak, kerana tidak ada pencuri, penyamun dan penagih dadah. Anak-anak gadis pula bersopan santun, tahu menjaga harga diri, tidak pernah mendedahkan atau menjajakan pusat dan perut berpanau atau berkurap ke merata-rata.

Mereka hidup aman damai. Rajin beribadat kepada Allah. Bergotong royong dan bantu membantu sesama mereka seperti puisi orang tua-tua di Nusantara:

Yang capik datang bertongkat,

Yang buta beraba-raba,

Yang tuli leka bertanya,

Yang kecil terambil lentang,

Yang jarak tolak-tolakkan,

Yang pendek bertinjau-tinjau,

Yang kurap mengekor angin,

Yang pekak pembakar meriam,

Yang buta penghembus lesung,

Yang lumpuh penghalau ayam,

Yang pekung penjemuran,

Yang kurap pemikul buluh.[1]

Kampung entah di mana tenang dibuai udara pagi yang dingin. Kabus putih laksana kapas dibusar memeluk seluruh kampung itu. Beraneka unggas berterbangan ke sana ke mari menghiasi ruang udara. Pepohon subur diraba dan dipeluk udara bagaikan penari-penari yang berlenggang lenggok dan berliuk lentok ke sana ke mari.

Dara telah meninggalkan kawan-kawannya di tepi tasik. Dua puntung kakinya melangkah cermat ke atas batu di hujung tasik itu. Dua bola matanya yang bercahaya indah, dicampakkan ke gunung batu yang berselendangkan kabus putih. Pada gunung batu itu bergayutan sarang-sarang lebah. Di bawah gunung itulah dia telah bertemu dengan pemuda yang sedang bertakhta di hatinya, Madu.

Rindu, resah dan gelisah sedang memamah dan mendera Dara. Hatinya menggelepar dalam kerinduan. Ridukan Madu. Dara menanti Madu. Penantian satu penyeksaan bagi gadis yang dilamun cinta. Cinta menghanyutkan Dara dalam muara dan laut rindu. Cinta juga melambung Dara ke udara lara, setinggi langit. Cinta menjadikan Dara kempunan seorang teman bergelar lelaki.

Dara telah beranekad, jika ditakdirkan Allah dia dijodohkan dengan Madu, dia sanggup menyerahkan seluruh jiwa raganya kepada pemuda itu. Biar di jadi hamba. Pelapik tapak kaki suaminya. Biar jadi apa sahaja, dia bersedia dan reda. Dara berpegang kepada rasa dan yakin hatinya sendiri; cinta dan setia yang ikhlas kepada suami adalah harga diri bagi seseorang perempuan.

Azam Dara kukuh amat. Dalam apa jua keadaan, senang atau susah, cintanya kepada suaminya kukuh amat. Walaupun terterap membahan pasir dan terlentang menelan embun, dia tetap cintakan suaminya. Tidak ada makhluk yang boleh menggangu-gugat. Begitulah falsafah dan hikmat yang diterima oleh Dara dari gurunya, Sheikh Abu Khalid Al Uhudi.

Telah berkatalah Sheikh Abu Khalid Al Uhudi, “…adapun seorang perempuan itu, bila telah berkahwin, bila telah menjadi isteri kepada seorang lelaki, dia telah menjadi hak, milik suaminya. Seluruh tubuhnya, dari hujung rambut sampai ke hujung kaki menjadi milik suaminya.”

Kata Sheikh Abu Khalid Al Uhudi lagi, “Sebab itulah dalam agama Islam, isteri melawan suami berdosa, isteri derhaka suami berdosa, Allah akan masukkan mereka itu ke dalam neraka. Tetapi taat ada sempadannya, ada hadnya. Segala maksiat, tidak ma’aruf dan karut marut tidak boleh diikut, tidak boleh taat.”

“Isteri buat apa-apa dengan tidak izin suami berdosa, …boleh jadi penyakit, sakit jiwa, sakit gelisah, sakit barah, sakit busung, macam-macam sakit…,”kata Sheikh Abu Khalid Al Uhudi.

Dalam kampung Dara ramai orang alim. Ramai orang sufi. Ramai orang zuhud. Ramai orang yang tidak berhenti-henti sembahyang, puasa, wirid dan zikir nama-nama Allah. Ratib nama Maha Pencipta segala itu.

“Maduuu…,” hati Dara melaung pemuda buah rindunya.

Dara menapak turun dari batu besar di hujung tasik itu. Dua puntung kakinya menapak longlai atas rerumputan hijau. Hatinya berwirid kasih, “Madu, Madu, Madu,…Dara rindu…, Dara rindu…, Dara rindu…, Dara kasih…, Dara kasih, Dara kasiiih.”

Dua biji mata bola Dara tercampak ke kaki gunung batu dalam pelukan kabus.

Dua puntung kaki dara melangkah lagi. Hatinya menggonggong keyakinan, pemuda buah rindunya telah ada di sana. Madu sedang menunggunya. Mungkin pemuda itu sedang menjilat madu lebah di jarinya. Sedang mengulum jarinya yang bersalut madu manis itu. Dara suka melihat Madu menjilat dan mengulum jarinya.

Sambil melambai-lambaikan tangannya yang lembut putih laksana umbut muda itu, Dara melangkah laju-laju atas jalan tanah merah berpasir putih menuju ke kaki gunung batu.

Pada awal pagi tadi Azmi telah tiba di bawah gunung itu. Ketibaannya bagaikan disambut riang oleh pari-pari di situ. Pemandangan sekitarnya indah amat. Azmi telah berada dalam sebuah kampung tradisi orang Melayu. Jauh di sana, kelihatan menara dan dom masjid as Syuhada warna daun kayu menjulang awan. Rumah-rumah bertaburan di serata kampung itu. Pepohon kelapa dan buah-buahan nampak kehijauan dalam pelukan kabus menghiasi seluruh kampung tersebut.

Assalamu alaikunna,” suara Azmi memecah sepi pagi.

Dara berdiri terpaku. Terpegun di situ. Degup jantungnya kencang.

“…alaikum salam,”sahut Dara.

Azmi tidak dapat menahan rindunya. Demikian juga rindu Dara kepada kekasihnya. Mereka menerpa ke hadapan dan berpeluk di situ. Dua belah pipi Dara yang licin gebu dicium Azmi. Dua ulas bibir gadis itu panas basah dalam kucupannya.

“Dara….”

“Madu….”

“…saya datang, …saya sayang Dara…”

“Madu, …Dara cinta Madu, …Dara sayang Madu…, Dara rindu Madu…”

“Saya sayang Dara,…cintakan Dara.”

Dara manja dalam pelukan Azmi. Dara merelakan tubuhnya dipeluk oleh kekasihnya. Dia mesra. Belum pernah Dara merasai kemesraan begitu.

“…sungguhkah, Madu, …benarkah, Madu?”

“Ia, sungguh saya sayang, cintakan Dara.”

Dara meletakkan hidungnya laksanakan sekuntum bunga atas pipi Azmi. Lama hidungnya atas pipi pemuda itu. Mereka berpeluk lagi.

“…ngapa lama Madu tak mari?”

“Nak mari, tapi tak dapat,…banyak kerja.”

“Madu…”

“Dara, apa Dara…”

“Madu…., Dara nak…, Dara nak,…”

“Nak apa Dara?”

Tubuh Dara terluah dari pelukan Azmi. Selendang yang membungkus kepala Dara terlerai dan tersebai pada bahunya. Rambut Dara hitam, lebat, ikal mayang dan panjang mencecah tumitnya.

Dari tunduk menahan sebak dalam rongga dadanya. Air mengalir dari sepasang matanya dan luruh di hadapan Azmi.

“Dara nak nikah,…nak nikah dengan Madu….”

“Nak nikah?

“Ia, Dara nak nikah dengan abang…”

“Sungguh, Dara?”

“Sungguh, wallah wan nabi, …nak nikah.”

Azmi memegang pinggang dara. Dua bola matanya dibenamkan ke dalam dua telaga mata Dara. Degup jantung mereka sama. Pada detik-deting begitu, Azmi teringat akan sepotong ayat Quran tentang pertarungan berahi Zulaihka kepada Nabi Yusuf, ”...perempuan itu memang suka (berahi) kepadanya(Yusuf). Dan dia (Yusuf) suka juga kepada perempuan (Zulaihka) itu, kalaulah dia tidak melihat keterangan Tuhannya.Begitulah kami mengelakkan kesalahan dan perbuatan tidak sopan darinya...”[2] .Azmi terasa darah mudanya terhenti sejenak dalam urat sarafnya.

“…ia, kita nikah, …tapi macam mana ayah, emak Dara?”

“Tak apa, ayah suka, emak suka ....”

“Ia, …tapi begini, Dara…”

“Apa, abang?”

“…kita tunggu dulu, …fasal Madu banyak kerja nak madu selesaikan, …lagi pula Madu nak Dara belajar dulu…, lepas belajar, kita nikah….”

“Haa, macam tu….?”

“Ia, …kita jumpa selalu, …jumpa macam ni, kita cinta begini….”

“Tak apalah, …tapi abang kena janji.”

“Abang janji.”

“Abang ikut cakap Dara.”

“Ia, abang ikut.”

“…wallahi, wabillahi, watallahi, …kami akan menikah pada satu waktu nanti, dengan izin Allah.”

Azmi rasa puas. Dia telah bersumpah dengan Dara. Bayyi’ahnya dengan Dara termaterai sudah. Allah telah menyaksikan sumpah mereka. Tubuh Dara dipeluk lagi. Dua belah pipi dara dicium lagi. Dua ulas bibir Dara dikucupnya lagi. Dara lemas lagi di daratan.

Dara telah membantu Azmi mengambil madu lebah. Memilih baka-baka lebah. Sambil membantu Azmi memilih baka-baka lebah,Madu membisikkan kata-kata mesranya kepada Azmi. Sesungguhnya mereka sedang bercinta.

Sebelum Azmi meninggalkan Dara, gadis ayu itu telah memintanya mencecahkan jari telunjuknya ke dalam madu pada sarang lebah itu. Kemudian dia meminta Azmi menjilat dan mengulum jarinya yang bersalut madu itu. Dara mengulum pula jari Azmi yang manis itu.

Dara menggeliat. Geli geleman. Kepada Allah hatinya memohon perlindungan dan pertolongan.

Azmi pula meminta Dara mencelup jari manisnya dalam madu itu. Dara mengikut kehendak kekasihnya. Dia memegang tangan Dara lalu mengulum jari manis gadis itu. Dara menggeliat lagi. Geli geleman lagi[3].



[1] Pawang Ana Haji Yahya, Hikayat Raja Muda, Petaling Jaya, Penerbit Fajar Bakti Sdn.Bhd.,

hl.62.

[2] Yusuf: 24.

[3] Kata orang tua-tua Melayu, kalau lelaki mengulum jari manis perempun, nescaya perempuan

itu tidak dapat melupakannya, walaupun kemudiannya mereka telah bercerai atau menjadi

musuh.

No comments: