Sunday, December 12, 2010

QURAN DAN HADIS



MANUSIA

Dialah yang mengurniakan keupayaan bagi kalian berjalan di daratan dan (belayar) di lautan, sehingga apabila kalian berada dalam kapal dan belayar membawa mereka dengan angin baik, mereka gembira kerananya; maka datanglah badai – banjir besar atau taupan – dan gelombang memukul mereka dari segenap penjuru, dan mereka menyangka mereka telah terkepung; - pada ketika itu – mereka berdoa – merayu - kepada Allah dengan hati yang ikhlas kepada Allah semata – mata; sekiranya Anda – Allah – menyelamatkan kami dari bahaya ini, kami akan berterima kasih.
Tetapi setelah Allah menyelamatkan mereka, lihatlah, mereka membuat kederhakaan di muka bumi, di luar kebenaran. Hai umat manusia, kederhakaan itu hanyalah untuk - membahayakan – diri kalian sendiri – itulah – kesenangan kehidupan dunia – bagi sementara - ; kemudian kepada kami – Allah - lah tempat kembalinya kalian, maka Kami – Allah – akan memaklumkan apa yang kalian telah lakukan.
– Yunus: 22,23



HADIS

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Allah Azza waj Jalla telah berfirman: ’Tiga manusia – orang – aku akan menjadi musuh mereka pada hari kiamat – di akhirat - : Orang yang memberi dengan Aku – Allah – kemudian mengkhianatinya. Orang yang menjual – memperdagang – orang mereka – manusia – kemudian memakan hasil jualan – perdagangan – mereka. Orang yang mengupah pekerja,lalu dia - pekerja – menjalankan pekerjaannya itu dengan baik, namun dia tidak membayar upahnya.
– Perawi: Imam Bukhari dan Ibnu Majah.


--------------------------------------------------



PEMBURU CINTA



“Encik, dalam laci tu ada surat, Encik,”Long memberitahu Azmi.
“Surat, dari mana?” Tanya Azmi.
“…minta maaf, saya tak tau,”jawab Long.
Azmi mengambil sampul surat dalam laci meja. Surat dikeluarkan. Wajahnya diusap senyuman. Dari satu perkataan ke satu perkataan, dari baris ke baris isi surat dari Mahyun dibacanya. Hati remajanya kembang. Gembira. Cinta Mahyun disanjungnya. Dijulang dengan penuh keikhlasan.”Alhamdulillah, alhamdulillahi Rabbil alamin”, ucapan syukurnya kepada Allah ikhlas amat.
Sesungguhnya Azmi tidak pernah menduga dan menyangka sebelumnya yang Mahyun mencintainya. Sejak pertama kali dia bertemu hingga pada hari Mahyun datang menolongnya bekerja dalam kebun madu lebah dan herbanya, Azmi hanya menyangka, gadis itu sekadar bersahabat biasa sahaja dengannya.
Azmi masih memegang surat dari Mahyun. Pada setik-detik gembira begitu, dia amat menghargai surat gadis itu. Surat itu amat berharga baginya. Ramai lelaki menjadi pemburu cinta, tetapi tidak pernah mengalami kehampaan. Sedih. Kecewa. Merana. Tetapi dia tidak demikian; cinta Mahyun kepadanya laksana bulat datang bergolek dan pipis datang melayang kepada- nya. Surat Mahyun sebagai memberangsangkan diri untuk terus melangkah ke hadapan dengan optimis.
UNIVERSITI
Surat itu dimasukkan dimasukkan semula ke dalam sampulnya lalu dibawa ke biliknya. Kemudian dimasukkan surat itu ke dalam beg pakaiannya. Sambil meluruhkan punggungnya atas birai katil, Azmi mencari cara yang terbaik; dia tidak mahu menjawab surat Mahyun. Kalau dia menjawab surat itu dan dikirimkan kepada Mahyun di universitinya, belum tentu surat itu sampai ke tangan Mahyun. Jangan-jangan jatuh ke pihak universiti, akibatnya Mahyun akan ditimpa keburukan.
“Tak ke mana gunung dikejar, …aku akan cakap sendiri dengan dia,”Azmi berkata sendirian sambil membulatkan nekad lelakinya.
“…tiga orang kekasih, …tiga orang isteri, besar tanggungan aku nanti, …mesti kerja kuat, mesti jayakan perusahaan aku ni…, insya Allah,” suara hati Azmi.
Tiba-tiba telefon bimbit Azmi menjerit. Ada orang memanggilnya. Telefon diangkat dan direnung pada layar kacanya, ‘Tijah’. Punat telefonnya ditekan dan ditekapkan kepada telinga kanannya.
“…Ijah, assalamu alaikunna, apa khabar?”
“…assalamu alaikum, abang, …baik, bang, alhamdulillah,”
“Alaikunna, baik.”
“Ijah rindu sangat kat abang....”
“Abang pun rindu sangat..., Ijah.”
“Ngapa Ijah tak balik minggu ni?”
“Buat apa balik, abah kata abang pergi Kelantan.”
“Ialah, …ada hal mustahak di sana.”
“Abang, bila abang nak datang KL?”
“…abang ingat awal bulan depan, abang akan pergi KL, ada seminar di dewan FELDA, KL.”
“Seminar apa, abang?”
“…agrotek…, abang kena bentang kertas kerja.”
“Ijak nak ikut, …abang sampai nanti, beritahu Ijah, …ia, abang.”
“Ia, abang akan beritau.”
“Baiklah, abang, …I miss you,”
“Baik, assalamu alaikunna.”
“…alaikum salam, Ijah rindu sangat, abang.”
Adat orang sedang bercinta, rindu meniti waktu dan mendera diri. Kalau dapat mendengar suara pun jadilah, redalah seketika rindu dan betahlah diri. Azmi telah mengakui dirinya akan mengikut sunnah nabi. Budi bahasa ikut nabi. Kerja buat ikut nabi. Aamal ibadat ikut nabi. Segala-galanya dia mengikut nabi. Hatta beristeri dan berumah tangga nanti akan ikut nabi.
MAHASISWA
Azmi telah diundang untuk membentangkan kertas kerjanya, ‘Jungle honey’- madu lebah rimba, dalam seminar ‘Usahawan muda’, di Kuala Lumpur. Seminar itu bertujuan membakar semangat dan minat para mahasiswa Melayu untuk menyertai bidang perusahaan dan perniagaan dalam bidang pertanian moden.
Pihak yang akan menyelenggarakan seminar itu telah dipacu oleh keinsafan melihat kebanyakan mahasiswa Melayu berkeadaan beku, tidak berfikiran terbuka dan memandang kepada masa depan mereka gelap. Bagi mereka untuk meneruskan hidup, mereka terpaksa makan gaji. Jadi buruh koler putih. Pendeknya laksana burung dalam sangkar. Diberi makan, makanlah, kalau tidak moyok kelaparan.
Azami juga berpandangan luas. Pada masa mendatang, kalau para maha siswa Melayu tidak membuka lengkar, tidak insaf dan menjadi manusia yang menggantungkan harapan kepada orang lain, walau sebijak mana pemimpin kita dan semakmur mana Negara kita, mereka tetap menjadi buruh dan tidak menjadi ‘cendekiawan Melayu yang bebas’.
. “Tadi Tijah telefon saya…,”Azmi memberitahu Long.
“…dia rindulah tu,”sahut Long. Senyum.
Azmi senyum.
“Encik, saya dah masukkan duit dalam bank, tiga ribu ringgit, …ada tiga cek belum masuk,…sebelas ribu lima ratus ringgit,” Long memaklumkan kepada Azmi.
“Ialah, esok saya akan masukkan…,”sahut Azmi.
“Esok ada orang syarikat dari Kuala Lumpur nak ambil madu sepuluh kilo,” Long memberitahu kepada Azmi..
“Ia,…apa, banyak lagikah madu kita?”Tanya Azmi.
“Ada kira-kira dua puluh kilo…, tak masuk yang sepuluh kilo tu…,”jawab Long.
“Baguslah, …lusa kita pergi ke rimba...,”kata Azmi.
“Baik, Encik,”sahut Long.
LEMBAH
Azmi dan Long akan pergi mencari madu lebah dalam rimba di Lembah Kelubi. Kawasan itu jauh dari tempat Dara. Mereka terpaksa berhati-hati di Lembah itu, kerana ada sekelamin harimau belang berkeliaran di sana.
“…tak apa, rimau belang tu tak kacau kita,”kata Long.
“Mana tau?”Tanya Azmi.
“Dah lama saya dalam hutan, Encik, kalau kita tak kacau dia, dia tak kacau kita…,”jawab Long.
Azmi Diam. Dia percaya akan cakap Long.
Kata-kata Long telah menyuntik ingatan Azmi kepada orang-orang politik. Mereka seperti harimau juga, harimau jantan. Dua ekor harimau jantan tidak pantang tinggal bersama atas sebuah bukit. Yang seekor mesti mengalah atau mesti membunuh yang seekor lagi.
“Orang politik macam harimau. Gigit kawan. Macam harimau jantan, meraung dalam rima banat, riuh gamat lembah dan gunung, mata-mata hendak menunjuk kuasa. Menunjukkan kekuatan. Mengagungkan kuasa.
Azmi telah membca banyak buku sejarah. Dalam sejarah Melayu ada gila dan gila-gila. Cerita pantasi, cereka dan cerita legenda Melayu, ada kisah gila berakar dan melata dalam semua cerita itu.

Melaka bumi Hang Tuah,
Hang Jebat rakan setianya,
Raja Melaka beraja di mata,
kuasa takhta di hati jua.

Melaka ramai manusia gila,
puteri Majapahit gila cinta,
puteri Gunung Ledang namanya,
cintakan Tuah pahlawan Melaka.

Tuah gila bunuh taulannya,
gila cintakan puteri Jawa,
ke Gunung Ledang menghumban diri,
gila merana mendera diri.

Gila amat Raja Melaka,
asyikkan puteri Jawa jelita,
gamak hati melapah putera,
cinta gila buruk padahnya.

Kecundang raja bukan kepalang,
basi cintanya tumpah di dulang,
duka lakasana pungguk malang,
bagaikan hantu tanpa jinjang.

Kasihkan Tuah tanpa sempadan,
Tuah dijulang ke waja bulan,
kuasa Tuhan cinta terbalan,
sepasang kekasih merana di hutan.

Raja Majapahit gila kuasa,
Puja batu batan berdewa,
Berdatang sembah raja Melaka,
Menyerah adiknya kerana kuasa.

Raja Demak hatinya tenteram,
mengabdikan diri siang malam,
kepada Maha Pencipta sekutah alam,
gilanya tidak cinta tenteram.
SENYUM
Long merenung Azmi. Azmi merenungnya. Renungan mereka bertaut menjadi satu. Senyuman Azmi itu mengingatkan Long kepada wajah anaknya yang manis. Long senyum tersumbat hatinya dik duka terknangkan isterinya.
“Isteri saya mati,…ditangkap rimau beranak kecil,” kata Long. Sedih.
“Ia? …inna lillahi wa inna ilaihi rajiun,” Azmi bertanya. Sedih jua.
“Iaa, Encik,”jawab Long.
“Sabarlah, kehendak Allah,” Azmi melembutkan hati Long.
“Ia, saya sabar, kalau tak sabar, dah lama saya mati…,”sahut Long.
Azmi merenung wajah Long. Sedih yang meratah hati Long seperti meratah hatinya jua.
“…saya selalu jumpa harimau belang,”kata Long.
“Ia…?” Azami bertanya.
“...ia, rimau..., kalau kita pandai boleh buat kawan,”kata Long sambil menelan air liur tawarnya.
“Macam mana nak berkawan, tengok misainya saja dah nak pengsan...,”kata Azami.
Long ketawa.
Pada ketika itu Azmi teringat akan kata-kata seorang penulis Melayu ‘Angkatan 50’, pada waktu dia memberi ceramah ‘Penulis Sebagai Pemimpin Bangsa’, kepada para calon wartawan di Kuala Lumpur, pada beberapa bulan lalu. katanya:
“Harimau adalah kawan kepada manusia, terutama petani, kalau ada harimau dalam belukar atau rimba, maka di situ tidak ada khinzir.”
”Orang yang berani menangkap harimau dalam rimba, bukan yang menggunakan senapang atau jerat, tetapi yang dapat menarik misai haiwan itu dan membawanya keluar dari rimba”katanya lagi.
”Harimau dalam zoo bukan harimau berani dan pandai lagi, kerana taringnya tumpul, hidupnya dikawal dan makan minumnya ditanggung. Ia menjadi bahan tonton manusia kanak-kanak sahaja,”jelasnya.
”…begitu juga manusia, manusia yang bijaksana, intelektual ialah manusia yang bebas dirinya, bebas fikirannya , bebas ideanya, tetapi bila manusia itu berkuasa, dia tidak bijaksana, tidak intelektual lagi, tidak intelektual lagi, kerana dia menggunakan kuasanya mengongkong manusia-manusia yang menentangnya,” jelas penulis
Azmi akur akan pendapat penulis itu. Lalu dia teringat seekor lebah yang menyengat tidak menyengat lagi setelah dipilih menjadi raja serangga itu. Kongkiak yang tajam taringnya, jadi gemuk lemah. Kepala kecil perut besar setelah terpilih menjadi raja busut.
“Ha, macam mana lebah kita?”Tanya Azmi.
“…nampaknya semua peti tu ada lebah,”jawab Long.
“Banyak?”Tanya Azmi.
“Banyak,”jawab Long.
“Bagus, harap-harap semua jenis lebah ada…,”kata Azmi.
“Saya pun harap begitu, Encik,”sahut Long.
Long meminta diri kerana hendak pergi ke kebun lebah. Pada waktu-waktu mengunyah dua puntung kakinya bagai besi waja, hati Long berzikir harapan, moga-moga anak gadisnya, Tijah, menjadi isteri Azmi.
BUDAYA
Jam dinding menunjukan telah masuk waktu Asar. Azmi bergegas masuk ke bilik air. Memang telah menjadi budaya dirinya, walau dalam apa jua keadaan dia tetap menunaikan sembahyang fardu.
Azmi tidak mandi dalam sungai di belakang rumahnya. Sebatang paip telah dipasang untuk mengalirkan air sungai itu ke bilik airnya di belakang rumah sewanya dan ke kebun nya.
Kebanyakan rumah di kampung Mandi Angin belum ada paip air. Penduduk-penduduk sentiasa dihimpit dan didera kemiskinan. Mereka terpaksa menggunakan air sungai atau air perigi untuk minum dan mandi manda. Dalam negara yang serba makmur ini, mereka masih berkeadaan‘sepuluh jong masuk anjing bercawat ekor jua’.
BERGETAH
Azmi telah mendengar kisah duka penduduk-penduduk Kampung Mandi Angin. Banyak sudah perohonan dan rayuan yang mereka telah ajukan ke atas untuk meringankan bebanan yang mereka tanggung, tetapi layanannya tiada jua. Jawapan yang tiba mereka menambahkan sedih dan lara mereka. Hidup berkeadan menunggu ara tidak bergetah atau suami menanti isteri mandul.
Berkatalah Pegawai Daerah, “duit tak ada...,”
“Wang banyak, tunggulah, …saya dah bawa dalam sidang dewan…, ” suaranya wakil rakyat laksana nyanyian dalam drama.
Maka berkata orang-orang di atas, “…tak molek rakyat bergantung kepada kerajaan..., mesti berdikari...”
Rakyat daif pun berkata, “ …di mana duit kami nak cari , hidup kami seperti ayam kais pagi makan pagi, ada lidah dengan gusi, …kalau kambing betina ada susu, …tetapi kami macam ayam togel, tidak berbulu....”
TELUNJUK
Ibu-ibu yang beranak banyak dan wajah lebih tua dari usia bersuara dalam keluhan, ” ...apa di harap kepada orang, kita sendiri menganggung derita, makan sambal telunjuk berdiri.”
Azmi menelan kisah sedih orang-orang kampung itu. Hatinya sedih. Pilu. Duka. Dia merenung ke arah hutan balak. Pokok-pokok besar telah reda. Merbau, cengal dan meranti telah tiada.
Wajahnya duka di kampung itu direnung oleh Azmi. Kering. Bergayut duka. Pagar gigi masing-masing jarang – jarang. Renggang. Ada yang memiliki gigi sebatang dua. Biji mata lebih putih dari hitamnya. Mereka lebih tua dari usia.
Azmi menumpang sedih. Hatinya berbisik kepada dirinya sendiri “ …orang mengundi awak mengundi, orang menang awak kulum jari, macam bangau, badan kurus leher panjang, menunggu ikan tak timbul,” bisik Azmi lagi.

”Bangau oh bangau,
mengapa engkau kurus,
mengapa aku tak kurus,
ikan tak timbul.”

Sambil merelaikan tandan dukanya, Azmi menyanyikan puisi rakyat yang menjadi khazanah bangsa Melayu itu.
(Dipetik dari manuskrip novel, Madu Dan Hidayat, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: