Tuesday, December 21, 2010

MENGENANG MASA SILAM

MELAYU MENGHIRUP KUAH CUMA

Pada masa Tan Sri Haji Ghazali Jawi memegang jawatan Menteri Besar Negeri Perak kali yang kedua(1974-77), satu pembangunan raksasa bagi negeri itu telah berjaya dilaksanakan oleh Lembaga Letrik Negara, iaitu pembinaan Ampangan Temenggor. Ampangan itu yang merentangi Sungai Perak, di Temengor, Grik telah dimulakan pada zaman Menteri Besar, Ahmad bin Said (1969 -1970).
Sebuah kampung Melayu yang tua, iaitu Kampung Temengor yang terletak dalam rimba raya telah tenggelam bersama sebuah masjid, sekolah rendah kebangsaan, sawah dan ladang serta tanah perkuburan.
Aku telah mengikuti oprasi menggali semua perkuburan di sana. Pekerja-pekerja telah menggali semua kubur itu pada waktu siang. Manakala kerja memungut semua tengkorak dan tulang temulang tanah bercahaya kala maya pada waktu malam. Semua tengkorak, tulang temulang dan tanah dari tiap-tiap kuburan itu dimasukkan dalam karung-karung plastik.
Semua mayat yang telah reput dalam kuburan-kuburan baru dan semua tengkorak, tulang-tulang dan tanah bercahaya kelamayar itu telah dipindah dan dikebumkan semula dalam beratus-ratus buah kuburan baru, dekat perkampungan baru, Kampung Belum Baru, Air Ganda, dekat Bandar Grik.
MAYAT TIDAK REPUT
Satu pengalamanku sebagai penulis tidak dapatku lupakan, iaitu aku telah mengambil gambar dan menulis kisah dua mayat tidak reput yang terdapat dari dua buah kuburan Kampung Temengor. Dua mayat itu tidak reput, berambut panjang, berkuku panjang, kain kapan masih melekat pada tubuh masing-masing dan tubuh mereka tidak ada yang rosak.
Kedua-dua perempuan itu telah meninggal dunia kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Mereka berkhidmat sebagai bidan dan guru membaca Quran kepada kanak-kanak, di kampung tersebut.
Aku telah merujuk perkara dua mayat itu kepada beberapa orang ulama di negeri Perak. Menurut mereka, bahawa ada terjadi, dengan kuasa Allah, orang-orang yang membaca dan menghafal ayat-ayat Quran dan berbuat baik sesama manusia pada masa hayat mereka, maka mayat mereka tidak reput walaupun telah lama meninggal dunia.
Aku telah menerima banyak sungutan daripada orang-orang Melayu yang menjalankan perusahaan kayu balak, dalam kawasan Hulu Perak mengenai nasib mereka seperti telah dianak-tirikan oleh kerajaan negeri Perak dalam pengagihan kawasan balak. Pada satu hari aku telah menemui Ghazali Jawi dipejabatnya untuk bertanyakan isu tersebut.
SYARIKAT ORANG MELAYU
Ghazali Jawi berkata, bahawa pemberian kawasan kayu balak, di negeri Perak tidaklah boleh diagihkan kepada semua syarikat pembalak kerana pihaknya terpaksa menimbangkan banyak masalah.
Beliau memberitahu, pemberian kawasan kayu balak kepada syarikat-syarikat orang Melayu hanyalah seperti ’durian runtuh’, bukanlah satu perniagaan dan perusahaan, kerana banyak syarikat orang Melayu yang telah mendapat kawasan-kawasan kayu balak, tetapi mereka tidak menjalankan perusahaan itu, sebaliknya mereka menjualkannya kepada syarikat-syarikat China.
”Tujuan kerajaan memberi kawasan kayu balak kepada syarikat orang Melayu dengan tujuan supaya deme berusaha, tetapi deme tak buah kerja, ...jualkan kepada syarikat-syarikat orang lain,” katanya.
”I kira, cara macam tu bukan berniaga, ...hanya nak dapatkan ’durian runtuh’, nak duit segera, ...sudahnya deme tak pandai berniaga balak,” tambahnya.
Kerajaan Negeri Perak telah mewajibkan semua syarikat perusahaan kayu balak bertaraf ’sendirian berhad’ dan ’berhad’. Setiap syarikat membayar lesen pembalakan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Perak sebanyak RM300 setahun. Tetapi tidak semua syarikat itu yang mendapat kawasan kayu balak. Walaupun bagitu banyak pula syarikat yang telah mendapat satu kawasan balak telah mendapat kawasan lagi. Ada syarikat kayu balak yang telah mendapat lebih dari tiga kawasan membalak.
’Kalau diteliti secara mendalam, iaitu mengikut sains politik dan sains kemasyarakatan, bahawa kedua-dua sistem itu (pembalakan dan pemberian tanah komersial) tidak menolong membangunkan ekonomi orang Melayu, sebaliknya meninggikan ekonomi orang-orang bukan Melayu, menguntungkan kerajaan Perak dan pihak-pihak lain.
Pengagihan tanah dan kayu balak, pada hakikatnya seperti ’mee segera’ untuk menghabiskan tanah kerajaan dan kayu balak. Akibatnya orang Melayu anak cucu para pejuang tanah air sebelum negara mencapai kemerdekaan tinggal dalam keadaan, ’menghirup kuah’ sedangkan isi yang lazat orang bukan Melayu yang ratah.
Kedua-dua sistem pengagihan itu kalau tidak diubah atau tidak dilakukan pembaharuan oleh Menteri Besar sekarang, maka dalam tempoh sepuluh tahun akan datang orang-orang Melayu di negeri Perak yang melibatkan diri dalam perusahaan tanah dan perusahaan balak akan menerima nasib ’Pak Pandir’ dalam Dasar Ekonomi Baru atau seperi kata orang Perak, ’lebih labun dari lonjak’.
Yang paling teruk lagi dalam Wawasan 2020 yang dilaung-laungkan oleh orang-orang Melayu di Perak akan menyimpan dalam file keramat masing-masing, ialah resit bayaran permohonan tanah dari Pejabat Tanah, resit bayaran lesen tukul besi dan resit bayaran lesen kayu balak kepada pejabat Perhutanan Negeri dan surat membuktikan diri mereka telah muflis dari mahkamah tinggi.’
SULTAN IDRIS SHAH
Sungutan-sungutan rakyat dari perkara yang paling kecil hingga ke perkara besar seperti kawasan kayu balak dan sebagainya telah tiba ke pengetahuan Sultan Idris Shah. Aku telah dipanggil oleh Sultan Idris Shah ke Istana Firuz, dalam bandar Ipoh.
Dalam pertemuan aku dengan Sultan Idris Shah dan disertai oleh Toh Muda Orang Kaya Besar, Dato’ Sayed Ahmad Jamalullail (bekas Duta Malaysia ke Arab Saudi) dan beberapa orang Orang Besar-Besar Negeri lagi, Baginda telah bertanya kepadaku mengenai sungutan- sungutan rakyat itu.
Aku telah memberitahu Sultan Idris Shah, ” ...kira o.klah tu, ...dia (Ghazali Jawi) akan selesaikan, ...mana ada pemimpin yang dapat memuaskan hati semua rakyat.”
”Ngapa” Sultan Idris Shah bertanya.
”...ialah, karenah rakyat, Tuanku,” aku menjawab.
Sultan Idris Shah merenungku, kemudian merenung Syed Ahmad Jamalullail.
”...ampun Tuanku, ...Tuanku kena bertindak, ...jangan dibiorkan...,”kata Syed Ahmad Jamalullail.
”Ini yang susahnya, ....aku tak boleh campur politik....,” titah Sultan Idris Shah.
Aku senyum.
”...ngapa senyum, tentu ada ape-ape ni?” Sultan Idris Shah bertanya.
”....begini, Tuanku tak boleh campur politik, tapi Tuanku tak boleh biarkan orang politik menggunakan politik untuk membelakangi Tuanku dan kepentingan rakyat Tuanku,...rakyat tangungjawab Sultan...” aku berkata.
”Itu benor, ...aku tak boleh biorkan, ...deme nak maghah, maghah le, ...lantak...,” titah Sultan Idris Shah.
JAWATAN MENTERI BESAR
Perkara sungutan rakyat itu telah menjadikan Baginda bertambah tidak puas hati terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri Perak, di bawah Ghazali Jawi. Baginda telah mengungkit; pada hari-hari sebelum Ghazali Jawi dilantik memegang jawatan Menteri Besar Perak kali yang kedua, Baginda telah keberatan melantiknya memegang jawatan Menteri Besar, disebabkan ’isu’ pada masa beliau memegang jawatan Menteri Besar Perak kali pertama.
Sultan Perak menganggap ’isu’ yang lalu, sebagai belum selesai kerana tidak dihadapkan ke mahkamah. Tetapi oleh kerana dengan nasihat Perdana Menteri, maka mahu tidak mahu Baginda terpaksa menandatangani watikah perlantikan ke atas Ghazali Jawi untuk memegang jawatan Menteri Besar itu.
Baginda telah memberi syarat, bahawa Baginda boleh menandatangani watikah perlantikan itu, tetapi jawatan yang dipegang oleh Ghazalai Jawi itu sementara beberapa bulan sahaja. Pucuk pimpinan UMNO telah bersetuju.
Syed Ahmad Jamalullail yang pernah memegang jawatan Pegawai Penerangan UMNO di Ibu pejabat parti itu, adalah seorang yang paling rapat dengan Sultan Idris. Kadang-kadang nasihatnya kepada Baginda, seperti Penasihat British kepada Raja-Raja Melayu pada zaman penjajah Inggeris dulu. Ada kalanya pula dia seperti tukang lawak raja atau badut (clown) dengan Sultan.
Kira-kira seminggu kemudian, Sultan Idris Shah telah meminta aku membantu Baginda, iaitu menjadi Penasihat Hal Ehwal politik kepada peribadi Baginda. Aku telah telah bersetuju dengan permintaan Baginda itu. Di antara tugas-tugasku, ialah menulis titah ucapan baginda (kecuali ucapan rasmi), dan memberi pandangan kepada Baginda mengenai hal ehwal politik (kekadang isu- isu mengenai agama Islam) dan mendapatkan mungkin sungutan-sungutan rakyat mengenai perkara-perkara yang bersangkutan dengan kerajaan dan wakil-wakil rakyat.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: