Tuesday, December 14, 2010

MENGENANG MASA LALU

RAGAM ORANG MUDA

Pada tahun 1955

Kakak saudaraku, Cek Nik binti Haji Said, Guru Besar Sekolah Perempuan Sauk telah ditukarkan ke Sekolah Perempuan Lenggong, Hulu Perak dan memegang jawatan yang sama di sekolah tersebut. Dia seorang perempuan yang tidak pernah datang haid dan tidak mendapat anak. Suaminya, Othman bin Said, seorang petani yang rajin. Mereka mempunyai banyak tanah kebun getah dan dusun buah-buahan.
Seperti yang aku telah ceritakan mengenai dirinya, dia mempunyai dua orang anak angkat, Fatimah binti Hamzah dan Zuriah binti Othman. Seorang lagi anak angkat mereka, Faridah binti Othman, masih kecil.
Sebelum Cek Nik bertukar ke Lenggong, dia dan suaminya telah menerima nasihatku, iaitu anak angkat mereka, Zuriah melanjutkan pelajaran ke sekolah agama Nurul Kamaliyah, Kati. Pengetua sekolah itu, Ustaz Haji Mat Saman Kati.
Aku sering datang menziarahi mereka. Pada satu malam Fatimah dan Zuriah telah mengikut aku ke pekan Leggong. Di sana kami telah makan-makan di sebuah warong makanan. Di warong itu ada beberapa orang pemuda yang memerhatikan kami. Mungkin mereka telah menyangka yang aku menjadi kekasih kepada salah seorang dari dua gadis itu.
ANGGOTA POLIS HUTAN
Kira-kira dua jam setelah kami pulang ke rumah kakak saudaraku, di rumah guru dekat Sekolah Perempuan Lenggong, tiba-tiba daun pintu rumah diketuk bertalu-talu oleh tetamu yang tidak diundang. Othman bangun dari kerusi dan pergi membuka pintu. Di muka pintu sedang berdiri pemuda anggota polis hutan (Sudin- bukan nama sebenar). Dia sedang memegang sepucuk senapang – rifle. Muncung senapang itu dihalakan ke dalam rumah.
Othman telah menjemput Sudin masuk ke dalam rumah. Dia telah melangkah masuk dan pintu rumah ditutup oleh Othman. Cik Nik keluar menyapa Sudin. Aku bangun berjabat tangan dengannya. Wajah Sudin keroh. Senyumannya kelat. Aku telah duduk atas kerusi menghadap meja. Sudin telah duduk di seberang meja dan muncung senapangnya dihalakan kepadaku. Othman duduk di kepala meja. Aku telah menduga, ada sesuatu yang yang tak kena dan akan berlaku nanti.
Aku telah bangun dengan alasan hendak ke bilik air. Pada ketika aku masuk ke ruang dapur, Cek Nik telah mengikutiku. Dia telah memberitahu kepadaku akan perasaan tidak sedap hatinya dengan kedatangan Sudin. Aku meminta dia bersabar.
Kepada Allah aku meminta dengan tulus. Aku telah membaca al Fatihah 40 kali . Kemudian aku masuk semula ke ruang tamu lalu duduk atas kerusi di hujung senapang Sudin. Aku telah sukar berbual dengan Sudian kerana dia tidak mempunyai pengetahuan yang luas. Hanya tamat darjah enam sekolah Melayu. Aku telah berbual dengannya mengenai tugasnya dan aku memuji akan keberanianya memburu pengganas komunis.
MUNCUNG SENAPANG
Allah telah menolongku. Aku melihat wajah Sudin telah cerah. Dia senyum dan muncung senapangnya yang menghalakan kepadaku telah dialihkan. Kira-kira jam 2.30 pagi barulah Sudin pulang. Kami seisi rumah berhati lega.
Kira-kira dua bulan kemudian, Cek Nik dan suaminya telah datang menemui aku di Kuala Kangsar. Dalam pertemuan kami dalam sebuah restoran dalam Bandar Diraja Kuala Kangsar itu, mereka telah bertanya kepadaku, kiranya aku sudi berkahwin dengan anak angkat mereka, Zuriah. Aku telah memberitahu mereka yang aku telah memandang Zuriah seperti adik-adik kandungku sendiri.
Sebaik-baik sahaja mereka mendengar jawapankua itu, sambil mengeluh, mereka telah memberitahu kepadaku, iaitu ada tiga orang pemuda telah masuk melamar anak angkat mereka, Zuriah. Mereka itu, anggota polis hutan, Sudin, Meor Aris bin Meor Abu Bakar guru sekolah kerajaan dan Meor Muin, guru sekolah kerajaan juga.
Cek Nik dan suaminya telah meminta aku memilih antara tiga pemuda itu. Siapa yang aku pilih, maka oranglah yang akan mereka terima menjadi menantu mereka. Aku telah memberi markah kepada mereka: Sudin 20%, Meor Muin 30% dan Meor Aris 50%. Mereka telah menerima Meor Aris menjadi menantu mereka. Sebelum meninggal dunia, Meor Aris telah dipilih menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Perak (Lubuk Merbau) dan anggotas Exco – Pengerusi Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak. Kira-kira dua tahun setelah Meor Aris meninggal dunia, Zuriah telah menyusulnya di Taman Mero, Ipoh.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: