BANTERAS AIDS, TUNAIKAN JANJI
(04 DISEMBER 2009 / 17 ZULHIJJAH 1430H)
Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita tingkatkan takwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taqwa dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahanNya, Mudah-mudahan kita berbahagia di dunia dan di akhirat.Sempena dengan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember setiap tahun, maka mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk: Banteras Aids, Tunaikan Janji.
Menurut sumber Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga Jun 2009, terdapat seramai 86,127 orang yang dijangkiti HIV dan seramai 14,955 orang pula telah dijangkiti AIDS. Dari jumlah pembawa AIDS ini didapati seramai 11,549 orang telah meninggal dunia. Purata sehari pembawa baru HIV yang dikesan ialah sebanyak 10 kes, AIDS pula 3 kes baru sehari dan berlaku 5 kes kematian sehari.
Menurut Kementerian Kesihatan, punca utama penyebaran HIV/AIDS ialah melalui pertukaran suntikan jarum iaitu melibatkan 53.2%, dan diikuti melalui perhubungan seks sebanyak 26.9% dan selebihnya melalui pemindahan darah dan jangkitan ibu mengandung kepada bayi. Dilaporkan kini bahawa yang paling membimbangkan kita ialah penyebaran HIV/AIDS melalui perhubungan seks semakin meningkat naik samada perhubungan seks melibatkan lelaki dengan wanita atau lelaki sesama lelaki atau homosexual. Berdasarkan perkembangan ini, maka terdapat tanda-tanda aktiviti seks ini di jangka menjadi punca utama penyebaran HIV/AIDS di negara ini.
Satu lagi perkara yang membimbangkan kita ialah walaupun majoriti lelaki iaitu 70% pembawa utama penyakit HIV/AIDS, tetapi pembawa wanita dan kanak-kanak juga sedang meningkat naik. Pada tahun 2004 wanita terlibat dengan HIV/AIDS adalah 10.8% tetapi pada tahun 2008 meningkat naik mencapai 19.1%. Manakala jumlah kanak-kanak bawah umur 12 tahun terlibat dengan HIV/AIDS pula seramai 1, 018 orang
Persoalan besar timbul ialah apakah peranan para jemaah dan umat Islam dalam menangani punca penyakit dan menyekat penyebaran kepada orang yang tidak berdosa seperti isteri-isteri dan kanak-kanak daripada terkena HIV/AIDS yang belum ada penawar rawatan?.
Hayatilah firman Allah, dalam surah A-li Imran ayat 110:
Bermaksud: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.
Pencegahan dan kawalan penyakit HIV/AIDS serta isu-isu gejala sosial lain perlu dibuat secara menyeluruh. Segala punca yang menyuburkan perkembangan HIV/AIDS hendaklah ditutup dan dihapuskan. Berdasarkan pemerhatian mimbar, terdapat pihak yang mengeluarkan lesen-lesen perjudian dan pusat-pusat hiburan atas alasan memenuhi hak asasi manusia sedangkan kegiatan seperti inilah menjadi penyubur gejala sosial. Kemudian, satu pihak lain pula mengedarkan kondom untuk mencegah jangkitan kuman HIV/AIDS. Manakala terdapat satu pihak lain pula menjalankan dakwah amar makruf nahi-munkar memberi kesedaran kepada orang ramai menjauhi gejala sosial. Jelasnya wujud pertentangan nilai dan amalan di antara pihak-pihak tertentu dalam masyarakat.
Walaupun kelihatan terdapat penurunan kadar pembawa HIV/AIDS tetapi tidak ada jalan penamat dan tiada penghujungnya untuk menyekat virus HIV/AIDS ini. Keadaan ini berlaku kerana satu pihak terus menerus menggali lubang manakala pihak yang lain pula menutup lubang yang tidak habis-habis.
Dalam usaha membanteras HIV/AIDS, mimbar amat menghargai sumbangan Majlis AIDS Malaysia yang bertungkus lumus menerajui bersama dengan badan sukarelawan lain menangani HIV/AIDS ini.
Justeru itu, mimbar menyeru semua pihak di negara ini agar bersama-sama banteras AIDS dan tunaikan janji membantu memberi kebajikan, pemulihan dan rawatan kepada orang yang hidup dengan HIV/AIDS. Adalah berdosa jika kita hanya melihat, mendengar dan membiarkan pelbagai kemungkaran berleluasa dikeliling kita.
Insaflah dan sedarlah bahawa kita pada asalnya manusia yang bersih, cenderung mengamalkan gaya hidup sihat dan bersifat mulia. Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kita dalam sabdanya :
Mafhumnya: Setiap anak yang dilahirkan berkeadaan fitrah atau suci, maka ibubapalah yang menyebabkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Justeru bagi diri kita dan masyarakat kita kembali kepada hidup yang diredhai Allah dan menghayati nilai murni dan gaya hidup sihat, maka mimbar ini berpendapat langkah-langkah berikut wajar dilaksanakan;
Pertama, Bagi mereka yang terlanjur dengan virus HIV/AIDS, wajarlah menginsafi kesilapan masa lalu dengan memperbanyakkan doa dan bertaubat, memperbanyakan amalan soleh dan bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat membantu mengawal penyebaran gejala HIV/AIDS,
Kedua, Menjadi kewajipan kepada anggota keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keliling agar bersimpati kepada mereka yang mengidap HIV/AIDS dengan memberikan perlindungan dan sokongan moral demi kelangsungan hidup mereka. Jauhlah daripada sikap prejudis, meminggir dan memulau, kerana ia amat bertentangan dengan ajaran Islam.
Ketiga: Menjadi kewajipan kepada ibubapa melipatgandakan pendidikan agama yang sempurna kepada anak-anak sejak anak memasuki zon mumaiyyiz dan akil baligh agar mereka menjadi remaja yang mempunyai jati diri mukmin yang kuat. Adalah tidak memadai sekadar menghantar anak-anak ke sekolah atau ke kelas fardhu Ain, namun kehidupan harian mereka di rumah dibiarkan tanpa dibimbing dengan didikan agama.
Keempat: Menjadi kewajipan kepada orang-orang yang beriman dan mempunyai bidang kuasa di agensi kerajaan dan swasta mempastikan peranan mereka tidak terlibat dalam menyuburkan perkara-perkara yang bercanggah dengan hukum Allah, menggadai integriti muslim dan bersyubhat melakukan maksiat.
Mengakhiri khutbah,sekali lagi mimbar ini menyeru, marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing dengan penuh ikhlas dan bertanggungjawab demi memelihara negara daripada ancaman wabak HIV/AIDS. Ø£َعُÙˆْØ°ُ بِالله ِ Ù…ِÙ†َ الشَّÙŠْØ·َانِ الرَّجِÙŠْÙ…ِ
Bermaksud: Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya.
No comments:
Post a Comment