Monday, May 19, 2008

Pemimpin Kita

MOHD. ASRI HAJI MUDA

MENYERET PAS KE DALAM PERIKATAN

Oleh: Mokhtar Petah

Pada tahun 1991, Tan Sri Dato Mohd. Asri bin Haji Muda dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah, bagi tahun 1412 Hijrah. Namanya terjulang ke langit zaman, tetapi sebilangan besar dari ahli-ahli PAS menganggapnya ‘pengkhianat’ kepada perjuangan parti Islam itu.

Mohd. Asri dilahirkan di Kampung Majid, Kota Bharu Kelantan, pada 10 Oktober 1923. Pada masa kanak-kanak dia belajar di Sekolah Melayu Padang Garong, Kota Bharu dan pada sebelah petang belajar di seolah agama di kampungnya.

Setelah tamat Sekolah Melayu, dia telah bekerja sebagai guru pelatih di Sekolah Melayu Banggol, Kota Bharu. Pada sebelah petang dia telah belajar di sekolah agama – Madrasah Muhammadi. Sebagai penuntut sekolah agama, dia telah berpengetahuan bahasa Arab dan Inggeris.

Semenjak di bangku sekolah lagi, Mohd. Asri cenderungkan politik Islam seperti yang diperjuangkan oleh tokoh-tokoh dalam parti politik Masir, Ikhwanul Muslimin; di antara mereka itu, Muhammad Abduh, Hassan Al Bana, Syad Qutb dan Jamaluddin Al Afghani.

Mohd. Asri juga cenderung mengarang artikel-artikel berunsur ilmu pengetahuan, agama Islam dan politik.

Pada tahun 1945, dia telah menerbitkan majalah bulanan Penyedar, tetap tidak lama usianya. Sebuah bukunya, kamus politik, ‘Duantara’ ditulis pada tahun 1946.

Pada masa itu juga Mohd.Asri telah menjawat jawatan Penolong Setiausaha badan kebajikan, Persatuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK).

Mohd. Asri telah melanjutkan pelajarannya, di Sekolah agama Islam – Madrasah Ad Diniah, Kampung Lalang, Padang Rengas, Perak. Pada masa itu seorang ulama dari Mandahiling, Indonesia, Sheikh Haji Junid Tala menjadi Guru Besar sekolah tersebut.

Selain dari mengajar ilmu pengetahuan agama Islam, Haji Junid Tala telah mengajar murid-murid ilmu politik dan perniagaan. Di antara murid-muridnya, Haji Mohamad Nur Lubir, pengilang dan peniaga serbuk kopi di Ipoh.

Bekas wartawan dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Aishah Ghani telah menuntut di sekolah yang sama dengan Mohd. Asri, iaitu sebelum dia melanjutkan pelajarannya ke Sumatera Utara.

Pada masa menuntut di sekolah itu, Mohd. Asri telah jatuh kasih kepada anak perempuan gurunya, iaitu Sakinah bin Sheikh Haji Junid Tala dan mereka telah berkahwin pada tahun 1947.

Pada sekitar tahun 1945 -1950 Padang Rengas telah menjadi pusat perjuangan orang Melayu menentang Inggeris, Mohd. Asri telah menceburkan dirinya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan. Langkah awal, dia telah menyertai parti politik Hizbul Muslimin yang diketuai oleh Ustaz Abu Bakar Al Baqir.

Parti Islam itu diharamkan oleh penjajah Inggeris dan Ustaz Abu Bakar Al Baqir dan beberapa orang ahli parti tersebut ditangkap dan ditahan dalam khemah tahanan.

Apabila Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada bulan Oktober 1945, Mohd. Asri telah menjadi ahli parti tersebut dalam sayap pemuda, iaitu Angkatan Pemuda Insaf (API) yang diketuai oleh Ahmad Boestamam.

Dia tinggal di Kampung Lalang, Padang Rengas. Di bawah anjuran Ahmad Boestamam, Mohd. Asri bersama rakan-rakan seperjuangannya, Abdul Rashid Ali, Abdul Rashis Mat Yet dan Abdul Latif Hussein telah menyertai sekumpulan orang Melayu di Negeri Perak telah pergi ke Selatan Thailand untuk membantu umat Islam yang menuntut kemerdekaan di sana.

Mereka telah tidak berjaya masuk ke kawasan Selatan Thailand kerana mereka diserang oleh askar Siam. Mereka terpaksa kembali semula ke Perak.

Pada tahun 1953, Mohd. Asri telah menyertai Parti Islam Se Malaya (PAS). Semenjak itulah Mohd. Asri menjadi tokoh terkenal dalam parti tersebut dan namanya telah menjadi saingan .

Setelah menang pada Pilihan Raya Umum 1964 dalam kawasan Dewan Undangan Negeri, di Kelantan, dia telah dilantik oleh Sultan untuk memegang jawatan Menteri Besar negeri tersebut.

Sebagai tokoh penting, Mohd. Asri telah memegang jawatan ketua PAS dan timbalannya, Profesor Dato Zulkifli Muhammad.

Pada tahun 1969, Mohd. Asri dan beberapa rakan rapatnya telah menemui Tunku Abdul Rahman untuk menawarkan ‘kerjasama PAS dengan UMNO’ dengan tujuan untuk menyatu padukan orang Melayu yang pada masa itu kelihatan berpecah.

Tunku Abdul Rahman telah menasihatkan Mohd. Asri supaya berbincang dengan Timbalannya, Tun Abdul Razak, kerana Tunku tertarik hati dengan rancangan mereka.

Dalam pertemuan dengan Abdul Razak kemudiannya, Mohd. Asri telah termasuk perangkap; rancangan untuk PAS bekerjasama dengan UMNO sahaja telah tidak tercapai, sebaliknya PAS telah menyertai Perikatan.

Akibat dari kejadian itulah Mohd. Asri dianggap pengkhianat oleh ahli-ahli PAS yang mempunyai cita-cita untuk menegakkan Negara Islam. Ramai ahli PAS telah meninggalkan parti tersebut.(Lihat buku: PAS Gagal Membentuk Negara Islam, oleh: Mokhtar Petah)

Pada tahun 1973, Mohd. Asri telah memegang jawatan Menteri Kabinet Persekutuan. Turut serta Panglima Jihad, Hassan Adli bin Haji Arshad dan Ustaz Abu Bakar bin Hamzah.

Kerana tekanan kuat dari kalangan ahli PAS, Mohd.Asri telah meletak jawatan dalam PAS dan keluar dari parti tersebut pada Oktober 1982.

Mohd. Asri telah menubuhkan parti politik baru, iaitu HAMIM, pada tahun 1983, tetapi dia gagal menyatukan orang Melayu melalui parti tersebut. Kewibawaannya dalam arena politik memperjuangkan Islam sebagai asas negara telah lemah.

Pada masa UMNO di bawah pimpinan Dr. Mahathiur Mohamad, iaitu pada tahun 1988, Mohd. Asri telah menjadi ahli UMNO.Semenjak itu beliau disifatkan oleh rakan-rakannya dalam PAS, sebagai ‘ayam laga kepatahan sayap dan paruh’.

1 comment:

infogue said...

Artikel di Blog ini bagus dan berguna bagi para pembaca.Anda bisa lebih mempromosikan artikel anda di Infogue.com dan jadikan artikel anda topik yang terbaik bagi para pembaca di seluruh Indonesia.Telah tersedia plugin/widget.Kirim artikel dan vote yang terintegrasi dengan instalasi mudah dan singkat.Salam Blogger!!!
HTTP://www.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/
http://berita-politik-dunia.infogue.com/pemimpin_kita