Monday, May 19, 2008

ANAK BAPA

Oleh: Mokhtar Petah

[Cerita ini saya telah padankan dari cerita mulut orang tua-tua Arab di Madinah dan Mekah. Cerita orang alim dan anaknya, juga alim, telah mengabdikan diri masing-masing kepada Allah dan berbakti kepada manusia dengan jalan memperdaya manusia.]

Pada zaman silam, di suatu tempat sekitar Yaman, San’a dan Hadharamaut ada sebuah masjid besar di tengah kawasan pesantren – pondok-pondok tempat tinggal para penuntut ilmu tasawuf dan tarekat.

Masjid dan pesantren itu dibina oleh seorang mualim yang warak, Sheikh Bulbul Yamani, dengan wang yang diderma atau ‘sumbangan amal jariah’ oleh para pedagang dan pengembara yang berulang alik melalui jalan darat, dari Adan dan sekitar kawasan tepi muara Laut Merah, ke kawasan Hudhayl, Madinah, Mekah hingga Jerusalem, Damsyik, Iraq dan Farsi (Iran).

Penuntut-penuntut mualim itu terdiri dari pemuda dan orang dewasa yang berusia dari 30 hingga 70 tahun. Ada juga penuntut-penuntut yang mengembara dan singgah belajar secara sambilan kepada mualim di masjid tersebut.

Peta kawasan dari Yaman ke Iran

Pada zaman itu ramai orang Islam cenderung belajar ilmu tasawuf dan tarekat, kerana ilmu-ilmu itu menjadi tiket bagi mereka yang hendak menjadi ahli sufi.

Sheikh Bulbul Yamani mula tinggal di sana bersama isterinya, Syedah Naimah dan anak lelakinya berusia tiga tahun. Si isteri sangat setia atau taat kepada suaminya. Apa sahaja di lakukan oleh suaminya, sama ada ke atas dirinya mahupun kepada orang lain tidak dibantahnya.

Dari hari ke hari dan bulan ke bulan, Sheikh Bulbul Yamani mempunyai wang yang banyak. Pendeknya dia seorang mualim yang kaya dari hasil sumbangan orang ramai yang meminati atau cenderung kepada ilmu tasawuf dan amalan tarekat.

Dia telah mengambil kesempatan dari orang-orang yang mengabdikan diri kepada Tuhan. Masjid digunakan sebagai lukah yang ditahan di pergentingan.

Anak lelaki mualim itu, Qais, sejak kecil lagi memerhati akan usaha kebajikan yang dilakukan oleh bapanya. Tetapi dia tidak mengetahui usaha awal bapanya sebelum masjid itu dibina, kerana pada masa itu dia masih kecil. Dia telah mengetahui kisah bapanya dari ibunya.

Ibu Qais telah meninggal dunia pada masa usianya sembilan tahun. Biasanya, kanak-kanak berusia sembilan tahun telah memahami segala masalah, di sekeliling ibu dan bapanya.

Si anak telah belajar pengetahuan agama Islam dari bapanya. Pendeknya pada usianya 20 tahun, dia telah menjadi seorang alim dan mampu membantu bapanya mengajar di masjid itu.

Pada satu malam, si anak memhon kepada bapanya untuk melanjutkan pelajaran ke Kufah, Iraq. Dia telah mendapat tahu, di sana ramai orang alim yang bertaraf wali Allah.

“Ngapa tak cukup dengan ilmu yang ayah ajar kepada kamu, Qais?” Tanya sang bapa.

“Cukup ayah, lebih dari cukup … ,tetapi saya ingin menambah ilmu lagi, biar jadi alim besar, jadi wali Allah,”jawab si anak.

Sheikh Bulbul Yamani telah memberi keizinan kepada anaknya mengembara untuk melanjutkan pengetahuannya ke Kufah. Dia telah menghadiah seekor kuda padi kepada anak.

Qais meninggalkan bapanya dan menunggang kuda padi mengikuti jalan tepi laut arah ke madinah. Dalam perjalanan itu dia berhasrat untuk menjadi orang alim seperti bapanya. Bapanya banyak pengetahuan, ramai penuntut dan kaya.

Qais tidak pergi ke Kufah. Dia yakin dirinya telah banyak pengetahuan. Cukup menjadi seorang alim, ramai penuntut dan kaya. Dia tidak meneruskan perjalanannya ke Kufah. Dan dia tiak mahu melanjutkan pelajarannya lagi.

Di suatu tempat, di tepi jalan tempat lalu lalang para pedagang dan pengembara, dalam kawasan Bali dan Tabok, iaitu di hujung teluk Laut Merah. Qais telah mendirikan sebuah khemah untuk tempat tinggalnya.

Pada hari yang kedua Qais tinggal di situ, dia telah menambak pasir di tepi jalan untuk dijadikan sebuah pusara. Setelah pusara itu siap, dengan pakaian yang biasa dipakai oleh orang-orang Arab di kampung-kampung, dia duduk di sisi pusara itu dan menangis sambil menadah tangan dan berwirid nama Tuhan.

Setiap pedagang dan pengembara yang lalu lalang di jalan yang panjang itu, apabila tiba di tempat Qais. Mereka berhenti dan dengan peraaan sedih mereka telah bertanya kepadanya tentang mengapa dia menangisi di sisi pusara yang baru itu.

“Inna lillahi wa inna ilahi rajiun, bapa saya telah mati …, ini pusara dia …, saya sangat sedih Tuan,” jawab Qais kepada mereka.

Sesuai dengan sikap atau amalan orang mukmin yang suka menolong orang dalam kesusahan dan kesedihan, maka mereka telah menyedekah wang kepadanya.

Wang yang disedekahkan kepada Qais kian banyak. Dengan itu dia boleh membina sebuah masjid. Di masjid itu Qais telah mengajar ilmu tasawuf dan tarekat kepada orang-orang yang singgah di masjid itu.

Setiap orang yang singgah sembahyang dan belajar kepada Qais telah menghulurkan wang sebagai hadiah atau khairat kepada Qais.

Beberapa lama kemudian, di sekitar masjid itu didirikan oleh Qais pondok atau pensantren untuk tempat tinggal penunut-penuntutnya.

Qais menjadi seorang yang alim, kaya dan namanya masyhur ke sekitar Hijaz, Jerusalem. Kerana tujuan tertentu, Qais tidak menggunakan nama asalnya lagi. Dia menggunakan namanya sebagai Sheikh Abu Jazirah.

Kisah mualim Sheikh Abu Jazirah yang masyhur itu disampaikan oleh para pedagang dan pengembara kepada Sheikh Bulbul Yamani. Ada yang memberitahu kepadanya, bahawa Sheikh Abu Jazirah lebih masyhur daripadanya.

Sheikh Bulbul Yamani amat ingin bertemu dengan mualim yang masyhur itu. Pada satu malam dia telah tiba di masjid Abu Jazirah. Sebaik-baik sahaja dia masuk ke dalam masjid itu, dia melihat ramai orang sedang berhimpun dan menghadapi guru mereka yang sedang mengajar.

Dari sebalik pintu masjid itu, Sheikh Bulbul Yamani melihat kepada mualim yang sedang mengajar itu. Dia terpegun sejenak. Degup jantungnya kencang, kerana mualim yang sedang mengajar itu adalah anaknya, Qais.

Sebaik-baik sahaja Sheikh Abu Jazirah selesai mengjar dan penuntut-penuntut telah meninggalkan masjid itu, maka Sheikh Bulbul Yamani masuk menemui anaknya.

Dua beranak itu berpelukan. Masing-masaing mengalir air mata kerana telah lama tidak berjumpa.

“Macam mana Qais boleh jadi macam ni, ramai orang yang belajar, masjid besar pula…?” Sheikh Bulmul Yamani bertanya kepada anaknya.

“Alhamdulillah, rezeki Allah, ayah,” jawab Qais’

“Ialah, tapi …, ayah hairan juga,” sambut bapanya.

“Anak bapa …,” sambut Qais pula.

“Mengapa Qais kata begitu?’ Tanya Sheikh bulbul Yamani.

“Qais anak bapa, Qaid tiru macam bapa…,” jawab Qais.

“Macam mana tu?”Tanya Sheikh Bulbul lagi.

“Qais tiru bapa …, emak ada beritahu, dulu …, sebelum ayah bina masjid, ayah jadi kaya …, ayah bina kubur tepi jalan, ayah menangis sambil wirid nama Allah tepi kubur itu,” jawab Qais .

Sheikh Bulbul Yamani diam. Perasaan malu kepada anaknya menyelubungi dirinya.

“Orang-orang yang datang tanya kepada bapa, kubur siapa, ayah jawab kubur atuk …,” kata Qais sembil memeluk bapanya.

“Orang Arab tanya, ayah jawab, kubur atuk,”kata Qais.

“Orang Arab Mekah, Madinah, Palestin tanya, ayah jawab, kubur atuk,”kata Qais lagi.

“Masya Allah …,” suara Sheikh Bulbul Yamani.

“Qais menangis pun buat begitu juga …, Qais menangis …, Qais beritahu orang-orang yang datang, dalam kubur tu mayat ayah Qais …,” Qais memberitahu kepada bapanya.

“Anak bapa …,” kata Sheikh Bulbul Yamani dalam pelukan anaknya.

No comments: