Saturday, May 3, 2008

Tazkirah IBU JADI HAMBA ANAK Oleh: Mokhtar Petah Kejadian ibu menjadi hamba anak dan anak menjadi tuan kepada ibu telah menjadi isu ‘jenayah’ dan ‘dosa’ dalam masyakat Islam di Bandar-bandar dan di kampung-kampung yang berkemajuan pada masa ini. Kejadian itu berlaku di kalangan anak-anak yang berkelulusan tinggi atau tamat universiti dan bekerja dalam jabatan-jabatan kerajaan dan syarikat-syarikat swasta dengan pendapatan yang besar. Pada masa bayi, anak-anak itu dijaga dan dibelai oleh ibu dengan penuh kasih sayang, pendeknya mereka tahan berlapar asalkan anak-anak mereka kenyang dan dapat tidur. Tetapi, apabila anak-anak itu telah berkahwin dan mendapat anak, mereka menyuruh ibu mereka itu menjaga atau mengasuh anak-anak mereka dari pagi hingga kepetang kerana mereka sayangkan wang untuk mengambil pengasuh. Kebanyakan ibu menjadi ‘orang suruhan’ anak-anak mereka dan tidak dibayar upah setimpal dengan kerja menjaga cucu -cucu mereka, hanya diberi makan dan minum seperti biasa. Seorang ibu tunggal yang tinggal di pinggir Bandaraya Kuala Lumpur, Teh Saerah (bukan nama sebenar), telah memberitahu, dia terpaksa menjaga tiga orang cucu dari pagi sampai ke petang. “Wan kena jaga cucu dari pagi sampai petang,kadang-kadang sampai tengah malam kerana anak menantu wan bekerja,”katanya. “Entah, badan dad tua, umur 50 tahun lebih, hari-hari tak kering kain di badan dok jaga cucu, nak buat amal ibadat pun tak sempat,”katanya. “Kadang-kadang wan rasa anak menantu wan jadi tuan wan, yang wang ni pula jadi orang suruhan deme tu …,” katanya lagi. Perbuatan anak-anak terhadap ibu-ibu mereka, adalah perbuatan jenayah dalam Islam. mereka itu telah melakukan dosa kerana memperhambakan ibu mereka walaupun ibu mereka itu rela dilakukan begitu. Untuk menungan orang-orang yang berakal, eloklah dihayati firman-firman Tuhan di bawah ini: Dan (ingatlah) pada ketika Luqman berkata kepada anaknya, pada waktu dia memberi pelajaran kepada anaknya: “Hani anakku, jangan kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) benar-benar kezaliman yang besar” Dan Kami memperingatkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua ibu bapa; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusunya dalam dua tahun (selambat-lambat waktu menyusu setelah anak berusia 2 tahun). Bersyukurlah kepada Aku dan kepada dua ibu bapa kamu, hanya kepada akulah (tempat) kembali kamu.(Quran - Lukman: 13,14). Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada dua ibu bapanya, ibunya mengandungnya dengan susah payah,menyusu sampai tiga puluh bulan, sehingga apabila dia telah dewasa dan umurnya sampai empat puluh tahun dia berdoa: “Yang Tuhanku, tunjukkan aku untuk mensyukuri nikmat Kamu yang Kamu telah kurniakan kepada aku dan dapat berbuat amal yang salih yang Kamu redai; berilah kebaikan kepada aku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucu aku, Sesungguhnya, aku bertaubat kepada Kamu dan sesungguhnya aku termasuk (dalam golongan) orang-orang yang berserah diri ( Quran - Al Ahqaaf:15). Anak-anak yang menjadikan ibu mereka sebagai orang gaji, pesuruh dan mengasuh anak, selain dari mereka itu telah melakukan jenayah dan dosa besar, mereka juga dipandang oleh umat Islam sebagai anak-anak yang tak mengenang budi dan hina sifatnya. Pada tahun 1960-an, telah berlaku satu kejadian di sebuah kampung dalam daerah Kuala Kangsar, iaitu seorang menantu yang telah mendera ibu mertuanya sebagai orang gaji dan mengasuh anak-anaknya, apabila dia hendak melahirkan bayinya, dia telah mengalami seksa. Kira-kira dua hari dua malam dia terseksa kerana tidak dapat melahirkan bayinya. Puas bidang berikhtiar, tetapi tidak berhasil. Akhirnya, dengan nasihat seorang mualim, suami perempuan itu memohon ibunya melangkah tiga kali atas tubuh isterinya, maka setelah ibu itu menunaikan permintaan anak lelakinya, beberapa saat kemudian, si perempuan yang durhaka kepada ibu mertuanya itu selamat bersalin. Allah telah membalas dosa perempuan itu secara tunai di dunia ini; setelah anaknya selamat dilahirkan, dia telah diserang sakit meroyan dan enam bulan kemudian dia telah meninggal dunia.

No comments: