Tuesday, July 2, 2013
terkenang
TERKENANG
’Kena
tangkap’
PARA
PEJUANG KEMERDEKAAN
Pada
1952.
Ibu dan
bapaku telah mendengar cerita-cerita dari orang-orang Minangkabau dari keluarga
Malim Deman – kedai songkok-, di Jalan Datok, dalam bandar Kuala Kangsar,
bahawa orang-orang Minangkabau pandai memikat pemuda-pemuda Melayu untuk
menjadikan menantu mereka.
Kebetulan pula pada masa itu, ada seorang peniaga
dari Minangkabau, Fakeh Hassan sering datang ke rumah kami. Dia telah
memberitahu hasratnya kepada ibu dan bapaku, dia bercadang hendak mengambil aku
menjadi menantunya, iaitu menjodohkan aku dengan anak gadisnya yang sedang
menuntut di sekolah agama, di Bukit Tinggi, Indonesia.
Ibu dan bapaku telah mencapai keputusan, bahawa aku
mesti menuntut di mana-mana sekolah agama Islam di tanah air. Kalau mereka
membenarkan aku menuntut di Bukit Tinggi, sama seperti mencampakkan seketul
batu ke dalam tasik. Mereka mengusulkan supaya aku melanjutkan pelajaran ke
sekolah agama, Madrasah al Yahyawiayah,
Padang Rengas. Pengetua sekolah itu, ialah Allahyarham Ustaz Haji Abdul Samad
Noh,[1]
seorang ulama muda lepasan sekolah Darul
Ulum, Mekah.
SEBUAH SURAU LAMA
Sebelum
aku datang ke Madrasah Al Yahyawiyah,
telah terbayang dalam mindaku yang sekolah itu beratap genting, dinding simen
atau papan, lantainya marmar, banyak bilik darjahnya serta ramai muridnya.
Tetapi apabila aku tiba di sekolah itu, apa yang telah terbayang dalam mindaku
sebelumnya, langsung tidak wujud.
Madrasah itu hanya sebuah surau lama bertiang
kayu-kayu empat segi, berdinding papan, lantai papan dan beratap zink. Surau
itu terletak dekat sebuah telaga tempat penduduk-penduduk kampung Bawah
Gunung mandi manda dan berhampiran
dengan sebuah paya.
Bahagian atas surau itu tempat sembahyang dan kami
belajar di bahagian bawahnya. Tidak ada bilik darjah. Kira-kira dua puluh orang
penuntut sahaja yang belajar dalam tingkatan tiga (qismuth thalith. Semua penuntut terpaksa belajar dalam surau itu
dengan bersila seperti penuntut-penuntut institusi pondok.
ANGKATAN PEMUDA INSAF
Di
antara penuntut-peniuntut sekolah itu, ialah Ahmad bin Sheikh Juni Tala (adik
ipar kepada Mohamad Asri bin Muda Menteri Besar Kelantan, kemudian dia menjadi
Ahli Dewan Undangan Negeri Perak– PAS -
, kawasan Lubuk Merbau.
Kerana madrasah itu tiada asrama atau rumah
tumpangan bagi penuntut-penuntutnya yang datang dari luar Padang Rengas, maka
aku bersama penuntut-penuntut lain terpaksa menumpang di sebuah rumah milik
seorang anggota Angkatan Pemuda Insaf (API), Ustaz Abdul Kadir. Dia telah
ditahan dalam khemah tahanan politik, di bawah perintah Menteri Dalam Negeri,
Dato’ Onn Jaafar[2]
pada tahun 1948.
Ustaz Abdul Kadir bersama berpuluh-puluh orang anggota-anggota Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM)
Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan
Wanita Sedar (Awas) di Padang Rengas dan beberapa tempat di Negeri Perak telah
ditangkap dan ditahan dalam beberapa khemah tahanan politik di Malaya.
PASUKAN POLIS HUTAN
Rumah
itu terletak di tepi sawah, di Kampung
Lalang, sebuah kampung dipendalaman, kira-kira dua kilometer jaraknya dari
sekolah tempat aku belajar. Aku telah
tinggal besama tiga orang penuntut dari kampung Luat, Lenggong. Mereka itu,
ialah Idris (kemudian menjadi guru agama pasukan Polis Hutan, di Ipoh), Abdul
Muluk, Mohd. Azam dan Mohd. Adnan (kemudian bekerja kampung).
Aku dan rakan-rakanku terpaksa berulang alik ke
sekolah dengan berjalan kaki mengikuti jalan tanah dan aspal – bila hari panas
berdebu dan bila hari hujan berlumpur. Kami terpaksa memasak makanan sendiri
kerana hendak berjimat.
Oleh kerana aku banyak menumpukan kepada pelajaran
dan menulis rencana dan sebagainya, maka aku jarang mengambil bahagian memasak.
Kawan-kawan serumah dengannku menganggapkan aku ’orang yang paling malas
memasak’.
PANDAI MEMBUAT SENJATA
Pada
masa itu jalan dari pekan Padang Rengas ke Kampung Lalang dan Kampung Laneh
masih tanah merah dan pasir. Di kawasan bawah Gunung Pondok dan dekat stesen
keretapi terdapat lebih lima belas rumah kedai setingkat.
Kira-kira dua bulan aku belajar di Madrasah al Yahyawiyah, aku telah bergaul dengan
beberapa orang pemuda Melayu ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan
Angkatan Pemuda Insaf (API) di Padang Rengas. Mereka itu terdiri dari orang-orang
yang belum ditangkap oleh pihak Kerajaan Inggeris. Di antara mereka itu, ialah
Rashid Karim, Rashid Ali, Ismail Punjab dan Zainuddin Andika (seorang tukang
kayu yang pandai membuat senjata api).
Mereka itu sering membaca artikel-artikel yang aku tulis
dalam akhbar dan majalah-majalah. Kerana artikel-artikel yang aku tulis itu ada
unsur-unsur politik, mereka menganggap
aku mempunyai semangat dan jiwa perjuangan yang sama dengan mereka juga.
PARTI KEBANGSAAN MELAYU
Mereka
tidak mahu aku tinggal jauh dari sekolahku, maka mereka telah mengajak aku
tinggal di sebuah rumah atau bangsal setingkat, beratap rumbia, dinding papan,
tidak berlantai, hanya tanah berdebu. Bangsal itu milik seorang ahli Angkatan
Pemuda Insaf (API) yang terletak dalam kebun ubi kayu, dekat landasan keretapi
dan kira-kira suku kelometer jaraknya dari sekolahku.
Kira-kira sepuluh hari aku telah tinggal di bangsal
itu, pada satu malam satu gerakan besaran-bersaran menangkap saki baki
ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya
(PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) telah dilancarkan oleh
anggota-anggota pasukan Polis Hutan (jungle scout) di seluruh kawasan Kuala
Kangsar, terutama di sekitar Padang Rengas[3].
(Semenjak tahun 1945, Gunung Semanggul,
Bagan Serai dan Padang Rengas, Kuala Kangsar telah menjadi kawasan tempat
pejuang-pejuang kemerdekaan bergiat dan bersedia untuk menghadapi kemerdekaan
tanah air menurut yang mereka tuntut, iaitu
satu negara
(Malaya), satu bangsa (Melayu) dan satu agama (Islam).
Dalam gerakan pada malam pertama itu, beruluh-puluh
orang Melayu ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin, Angkatan Pemuda
Insaf(API) dan Angkatan wanita
Sedar(AWAS) telah ditangkap dan dibawa dan ke Ibu pejabat Balai Polis, di Kuala
Kangsar. Di antara rakan-rakanku di Padang Rengas yang telah ditangkap pada
malam pertama, ialah Zainuddin Andika dan Ismail Punjap.
ANGGOTA POLIS HUTAN
Pada
malam yang kedua gerakan itu, aku sedang membaca buku dalam cahaya pelita
minyak tanah, dalam bangsal itu, tiba-tiba aku terdengar beberapa orang
berjalan di luar bangsal, kemudian pintu bangsal itu telah diketuk beberapa
kali dari luar. Aku telah membuka pintu itu. Lebih sepuluh orang
anggota-anggota Polis Hutan berpakaian seragam sedang berdiri di muka pintu
bangsal itu.
Ketua mereka, seorang Melayu telah memberi salam
kepaku. Kemudian dia telah masuk ke dalam bangsal dengan diikuti oleh
anggota-anggotanya. Mereka telah menggelidah rak buku, almari dan apa sahaja
dalam bangsal itu.
Aku telah memberitahu mereka yang aku masih belajar
dan baru tinggal menumpang dalam bangsal itu.
MENUTUP LUBANG GAUNG
Seorang
pegawai polis – mungkin pegawai Polis Cawangan Khas, boleh berbahasa Arab dan
lepasan sekolah agama – Madrasah Al Junid,
Singapura, telah menggeledah di bawah pangkin dan telah mengetuk-mengetuk atas
tanah di situ dengan bat senapangnya. Tempat itu bergaung. Setelah dibuka
penutup lubang gaung itu, mereka telah menemui lebih dua ratus laras senapang -rifle - , yang siap dibuat dan semua rifle belum dipasang picu (trigger)nya. Mereka telah mengangkat
keluar semua senapang itu dan kemudian membawa keluar dari bangsal itu.
Mungkin pada waktu anggota-angota polis hutan itu
menggeledah bangsal aku itu, pegawai yang pandai berbahasa Arab itu telah
membaca tulisan(Jawi)ku yang telah siap ku tulis dan buku-buku karangan Syed
Qutb, Hassan Al Banna (anggota-anggota parti Ikhwanul Muslimin Mesir) serta buku-buku karangan Ir Soekarno, Dr
Mohd.Hatta, Hamka dan Dr Burhanuddin Helmi yang terletak atas pankin dalam
bangsal itu. Pada pagi esoknya, kira-kira jam 7.00 satu pasukan polis hutan
telah datang menangkapku dan mereka telah membawaku ke Balai Polis Padang
Rengas. Kira-kira dua jam kemudian mereka telah membawa aku ke Ibu Pejabat
Balai Polis daerah Kuala Kangsar.
Aku adalah di antara berpuluh-puluh orang Melayu
pejuang kemerdekaan yang telah ditahan di Ibu Pejabat Balai Polis itu. Aku
ditahan sebagai tahanan politik hingga jam 4.30 petang.
SETELAH AKU DITANGKAP
Aku
telah dibebaskan adalah dengan pertolongan seorang pegawai rendah mata-mata
gelap, Sarjan Buang yang datang melihatku dan tahanan-tahanan lain dalam perut
balai itu. Sarjan Buang sahabat bapakku. Beberapa bulan yang lalu, dia telah
sering datang ke rumahku. Dia pernah menasihati aku supaya rajin belajar.
Setelah Sarjan Buang berunding dengan pegawai-pegawai polis di balai itu, maka
aku telah dibebaskan. Kemudian aku telah dihantar dengan sebuah lori polis ke
pekan Padang Rengas.
Kerana aku masih muda – berdarah muda - , walaupun
aku bukan pejuang kemerdekaan, tetapi setelah aku ditangkap oleh
anggota-anggota Polis Hutan, aku berasa bangga, kerana aku telah ditangkap
sebagai seorang pejuang atau patriotik
kemerdekaan tanah air.
Aku telah merahsiakan kejadian aku telah ditangkap
dan ditahan di Balai Polis Kuala Kangsar. Aku tidak mahu diketahui oleh
guru-guru dan kawan-kawanku, lebih-lebih lagi oleh ibu dan bapaku. Kalau mereka
telah mengetahui, tentulah mereka terpaksa mengeluarkan wang untuk datang ke
Padang Rengas kerana melihatku. Pada masa itu wang sukar didapati oleh
orang-orang yang berada dalam rahang kemiskinan. *
* Dari
manuskrip buku, Memoir Penulis, Patah Sayap bertongkatkan
Paruh, : Mokhtar Petah.
[1] Noor Iskandar, Haji Abdul
Samad Noh, Kuala Lumpur, Tempo, 2 Mei 1993.
[2] Dato’ Onn, Yang Dipertua
UMNO. Dia pegawai tinggi (eksekutif) kerajaan Inggeris dan
mempunyai
taraf dan kuasa Menteri Dalam Negeri.
[3] Semenjak tahun 1945, Gunung Semanggul, Bagan
Serai dan Padang Rengas, Kuala
Kangsar telah
menjadi kawasan tempat pejuang-pejuang kemerdekaan bergiat dan
bersedia untuk
menghadapi kemerdekaan tanah air menurut yang mereka tuntut, iaitu
satu negara
(Malaya), satu bangsa (Melayu) dan satu agama (Islam).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment