Tuesday, July 16, 2013


RENUNGAN


HARI - HARI PERTAMA PERDANA MENTERI KEENAM

April 7th, 2009 by Najib Razak

HARI-HARI pertama tugas Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri mendapat perhatian dalam kalangan penulis blog termasuk para penulis blog pemimpin dan mereka yang propembangkang.
Antaranya ialah Mokhtar Petah (mokhtarpetah.blogspot.com) yang menilai langkah Perdana Menteri membuat lawatan mengejut ke tiga kawasan tumpuan rakyat kecil mengingatkan beliau kepada bekas Presiden Indonesia, Soekarno.
Penulis juga membandingkan Najib dengan bapanya, Tun Abdul Razak.
“Najib macam bapanya. Bukan tidak percaya kepada para menteri dan pegawainya, tetapi mahu melihat sendiri apakah di bawah permaidani ada sampah yang baru disapu orang ke bawahnya,” tulis beliau.
Katanya, beliau yakin jika Najib terus mengadakan lawatan mengejut di manamana dari semasa ke semasa, ia akan dapat menghapuskan kepura-puraan wakil rakyat dan pegawai kerajaan yang menyapu sampah di bawah permaidani.
Tambah beliau, apabila Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke satu-satu kawasan, rakyat biasa tidak berpeluang menemui pemimpin mereka untuk menyampaikan masalah kerana dikelilingi oleh para menteri dan pegawai tinggi kerajaan.
“Apabila Perdana Menteri mengajukan pertanyaan kepada mereka tentang masalah rakyat di tempat tersebut, jawapan mereka, “OK, baik, bagus…, tak ada masalah YAB.”
“Setelah Perdana Menteri meninggalkan kawasan itu, sampah bawah permaidani bersepah semula dan masalah orang ramai masih kusut atau tidak selesai juga,” tulisnya.
Hambali Abd. Latiff (hambali1.blogspot.com) pula menulis agar kerajaan pimpinan Najib meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan elit dan pihakpihak yang selama ini mampu mempengaruhi mereka yang berkuasa.
“Persoalannya sejauh mana kumpulan ini ‘disisihkan’ dan membuka jalan kepada rakyat untuk dijadikan keutamaan pada pentadbiran ini?” tulisnya.
Penulis berharap Najib dapat menyampaikan apa yang dijanjikan kerana rakyat akan mengadilinya dan mereka juga menentukan bentuk kerajaan yang akan mentadbir dan menguruskan negara.
“Kegagalan untuk memenuhi janji -walau sebaik manapun janji berkenaan- akan menyebabkan kerajaan akan ditolak. Apabila kerajaan ditolak, Najib juga akan ditolak dan akhirnya UMNO akan ditolak,” tulisnya.
Sementara itu, Ustaz Said Beauford melalui blognya ustazsaid.blogspot.com telah menyampaikan warkah kepada Perdana Menteri yang antara lain mengharapkan agar Najib dapat memimpin negara dengan amanah, bijaksana dan penuh tawaduk.
“Harapan kami Datuk Seri akan terus memacu kemakmuran negara, demi kesejahteraan rakyat jelata.
“Jangan ada hendaknya rakyat terpinggir dan tersisih di tengah arus kemajuan. Si kaya dan si miskin terus dekat dengan perhatian Datuk Seri, tanpa mengira kaum, agama dan warna kulit,” tulis beliau.
Katanya, dalam kesibukan membangunkan negara, Najib diminta tidak melupakan pembangunan luar bandar kerana mereka masih dahagakan kemudahan asas yang belum sempurna.
Abd. Naddin Shaiddin (abdnaddin.blogspot.com) pula menyentuh mengenai langkah awal Najib ketika mengambil alih teraju UMNO dengan mengajak dua negarawan iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad duduk semeja demi penyatuan Melayu.
“Saya gembira kerana beliau membebaskan 13 tahanan ISA dan kalau boleh semua tahanan ISA itu dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah.
“Apabila beliau menarik balik larangan menggantung permit Suara Keadilan dan Harakah, saya berpendapat ia dapat melonjakkan imej Najib.
“Kita berharap beliau akan terus melakukan pembaharuan-pembaharuan untuk memenangi hati rakyat,” tulis beliau.
Seorang lagi, Shamsuddin El-Askarey (shamsuddinmoner.blogspot.com) pula menulis mengenai 40 hari Najib sebagai Perdana Menteri dengan mengulas kerja-kerja yang dilakukan beliau sepanjang dua hari selepas mengangkat sumpah.
Ulas penulis, tugas pertama Najib iaitu mengadakan lawatan mengejut ke tiga kawasan di ibu negara itu adalah bertepatan dengan slogan “Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” seperti yang dinyatakan dalam ucapan sulungnya.
Manakala perkara kedua yang dilakukan pula ia menerima kemasukan Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Datuk Mokhzani Mahathir ke dalam UMNO.
“Ini semua akan memberi harapan baru kepada landskap politik dan juga kestabilan ekonomi negara dengan adanya sokongan semula bekas Perdana Menteri yang juga negarawan yang dihormati di peringkat antarabangsa,” tulisnya.
Kelolaan LUKMAN ISMAIL
Sumber :Utusan Online




No comments: