Duda, Sahidan – isterinya yang mandul telah meninggal dunia lebih lima tahun yang lalu. Dia tinggal di sebuah kampung tradisional. Hasil kerja kuat dan rajin, dia ada memiliki sedikit harta – tanah tapak rumah,kebun getah lebih sepuluh ekar, sawah padi, beberapa ekor lembu dan wang simpanan.
Dengan sedikit pelajaran agama Islam dan teguh imannya, Sahidan menjadi seorang lelaki soleh - kuat beribadat, tidak pernah mengumpat dan khianat orang.
Kerana tidak mahu mensia-siakan hidupnya, Sahidan telah berkahwin dengan seorang janda berusia 10 tahun dari usianya, namanya, Jainab dan tinggal di sebuah kampung kira-kira l5 kilometer jauhnya dari kampungnya.
Perempuan itu telah setahun menjanda. Suaminya telah meninggal dunia kerana demam kuning. Mereka tidak mendapat anak.
Kira-kira dua bulan Jainab tinggal bersama suaminya, dia telah menerima panggilan dari rakannya sekampungnya, Bedah, melalui telefon. Bedah telah menasihati Jainab supaya memberi suaminya makan ‘nasi tangas’ atau ‘nasi kangkang’.
“Laki kamu tu Jainab, banyak harta, kalau kamu tak bagi dia makan nasi tangas, kamu melepas nanti …,” kata Bedah.
Bedah memberi petua membuat nasi tangas kepada Jainab; serbuk kayu kepala tangga, sedikit hati kura-kura yang telah kering dan tumbuk dengan lesung batu. Daun duri semalu, tumbuk dengan lesung batu juga.
Serbuk kayu kepala tangga dan daun semalu yang telah lumat, campur dengan sebuk hati kura-kura. Masak dengan sup daging, ayam atau daging lembu kemudian beri makan kepada suami.
Apabila hendak hidang nasi kepada suami, nasi dalam pinggan untuk suami itu masukkan celah kangkang dalam kain, iaitu tangas.
Tujuan berbuat demikian agar suami menjadi macam kura-kura, mengikut telunjuk isteri atau seperti kata orang, ‘berbenderakan kain batik’.
Sahidan ada amalan pendinding diri, iaitu mengguna dan ayat-ayat Quran. Dengan pertolongan Tuhan, dia akan dapat terasa atau tergerak dalam hati jika sesuatu keburukan akan berlaku atas dirinya.
Jainab telah tiga kali menghidangkan sup dan nasi tangas kepada suaminya, tetapi Sahidan tidak memakannya. Alasannya, dia telah makan di kedai.
Pada satu pagi Jumaat, Sahidan memberitahu isterinya, pada waktu lepas sembahyang Jumaat, dia akan memanggil empat lima orang rakannya termasuk tok imam makan di rumahnya.
Jainab menyiapkan makanan seperti kehendak suaminya. Sebaik-baik selesai sembahyang Jumaat, orang-orang yang di undang datang ke rumah Sahidan.
Sebaik – baik selesai tok iman berdoa lepas makan, Sahidan mengambil lesung batu di dapur dan dibawa ke hadapan para tetamunya.
Setelah dia menceritakan; isterinya telah menggunakan lesung batu itu untuk menumbuk hati kura-kura, serbuk kayu kepala tangan dan daun duri semalu, dia berkata: Dengan nama Allah, di hadapan saksi-saksi, saya lafazkan cerai talak satu atas isteri saya, Jainab binti Bidin.”.
No comments:
Post a Comment