Friday, February 5, 2010

KHUTBAH JUMAAT


INTEGRITI ULAMA’-UMARA’

PENENTU KEKUATAN UMMAH

(5 FEBRUARI 2010 / 20 SAFAR 1431H)

Saya menyeru dan berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melakukan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Semoga kita berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan tajuk: ‘Integriti Ulama’-Umara’ Penentu Kekuatan Ummah.

Salah satu perkara utama yang sering menjadi perhatian masyarakat dalam sesebuah negara Islam ialah sejauh mana dua golongan yang amat berpengaruh iaitu ulama’ dan umara’ berperanan memperkasakan ummah. Menurut hadith yang diriwayatkan daripada Abu Naim bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Ada dua kelompok manusia, jika kedua-duanya baik, maka masyarakat akan jadi baik, dan jika kedua-duanya rosak, maka masyarakat akan rosak, mereka itu ialah ulama’ dan umara’.

Secara ringkasnya dalam konteks umat Islam di rantau ini ulama’ adalah merujuk kepada mereka yang mengetahui dan memahami agama secara mendalam. Tanpa ulama’ semua orang akan menjadi jahil dan akan bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata. Kerana itu para ulama’ merupakan anugerah besar buat umat manusia bagi membimbing mereka ke jalan yang benar.

Imam Ahmad meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: Bandingan para ulama’ di bumi ini samalah seperti bintang-bintang di langit yang dijadikan pedoman dalam kegelapan di laut dan di darat. Kalau bintang-bintang itu pudar maka mereka yang berpandukannya nyaris sesat .

Manakala umara’ pula merujuk kepada pemerintah yang memimpin sesebuah masyarakat. Tanpa pemerintah, masyarakat menjadi kacau bilau. Malah ajaran Islam dan syariah tidak akan dapat dilaksanakan. Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: Sesungguhnya penguasa atau pemerintah yang adil itu adalah bayangan Allah di bumi yang menjadi tempat berlindung bagi setiap orang yang dizalimi.

Menjelaskan betapa berat peranan sebagai umara’ ini, Khalifah Umar ibnu al-Khattab pernah memberi nasihat dan peringatan kepada Abu Musa al-Asy’ari, Gabenor Mesir ketika itu bahawa:

Penguasa yang paling berbahagia ialah mereka yang rakyatnya merasa bahagia hidup di bawah pemerintahannya. Sementara penguasa yang paling celaka pula ialah mereka yang rakyatnya merasa celaka hidup dibawah pemerintahannya. Ingat jangan hidup bermewahan kerana para pegawai kamu akan meniru kamu. Bandingkan diri kamu sama seperti binatang ternakan. Apabila binatang itu dibawa ke padang rumput yang menghijau ia akan makan banyak sehingga menjadi gemuk. Kegemukannya itu akan menjadi sebab kepada kebinasaannya kerana ia akan disembelih untuk dimakan.

Imam al-Ghazali ketika mengulas peranan ulama’ dan umara’ pada zamannya pula menyatakan bahawa:

Adalah menjadi kebiasaan bagi ulama’ untuk melakukan kerja amar makruf dan nahi munkar tanpa mengira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka percaya bahawa Allah akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau ditakdirkan begitu oleh Allah. Oleh kerana mereka itu ikhlas, bersikap jujur dan menyumbangkan tenaga semata-mata untuk menegakkan ilmu, maka orang ramai mudah menerima nasihatnya. Tetapi sekarang lidah para ulama’ telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan. Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah dan pemerintah rosak kerana ulama’. Sementara ulama’ pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.

Berdasarkan hadith-hadith dan pandangan tokoh-tokoh ulama’ tersebut ternyata terdapat kebimbangan bahawa kelemahan integriti atau kekurangan sifat amanah, kejujuran, keikhlasan dan jatidiri di kalangan ulama’-umara’ itu akan menjejaskan kekuatan ummah. Oleh kerana itu berdasarkan pemerhatian mimbar isu-isu integriti inilah yang menimbulkan ketegangan hubungan di antara ulama’ dengan umara’ dan ulama’-sesama ulama’. Persoalan besar timbul ialah apakah kaedah untuk mengukuhkan dan mempertingkatkan integriti ulama’ dan umara’.

Firman Allah SWT dalam surah an- Nisaa’ ayat 59:

Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Berdasarkan ayat ini jelas Allah mencabar dan memberi peringatan jika kita beriman, maka rujuklah dan berpeganglah dengan al-Quran dan sunnah untuk mencari jalan penyelesain dalam isu-isu yang berkaitan dengan kepentingan Islam dan ummah.

Islam adalah agama yang mewujudkan sistem cara hidup menyeluruh kepada manusia dari segi akidah, syariah, akhlak, politik, ekonomi, dan sosial yang berkait rapat satu sama lain. Sistem cara hidup ini mempengaruhi pembangunan duniawi dan ukhrawi manusia. Dengan demikian kerjasama dan hubungan harmoni ulama’ dan umara’ akan membantu memperkasakan ummah dan menentukan negara berada di landasan yang selari dengan Siasah Shar’iyah. Mimbar menyedari bahawa bidang kuasa ulama’ di negara ini adalah terbatas berbanding bidang kuasa umara’ yang luas. Oleh itu, walaupun tinggi integriti ulama’, dan hebat kewara’kan ulama’ tetapi keputusan terakhir merancang dan melaksanakan pembangunan umat dan negara terletak di bawah bidang kuasa umara’.

Selari dengan tanggungjawab ulama’, maka menjadi tanggungjawab mimbar mengingatkan bahawa ulama’ tidak boleh berdiam diri dalam memperjuangkan hak-hak kepentingan Islam dan menyelesaikan masalah ummah. Suara ulama’ sentiasa ditunggu dan diperhatikan oleh masyarakat Islam yang cintakan agamanya.

Firman Allah SWT dalam surah Faathir ayat 28:

Sebenarnya yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-Nya hanyalah ulama’ (orang yang berilmu).

Mimbar amat yakin langkah umara’ atau pemerintah menjemput ulama’ dalam membincangkan isu-isu negara dari masa ke masa adalah selari dengan tuntutan Islam.

Mengakhiri khutbah, mimbar menyeru ulama’-umara’ yang berada di

kampung-kampung dan di bandar-bandar serta sidang jemaah sekalian dalam usaha memperkasakan ummah, marilah kita mewujudkan dan mengekalka integriti berdasarkan syor seperti berikut:

Pertama: Bercakap benar dan mengakui kesilapan,

Kedua: Mengamalkan apa yang dicakapkan,

Ketiga: Menunaikan janji dan komitmen yang dibuat,

Keempat: Bersedia menanggung risiko dalam usaha mempertahankan pendapat; dan

Kelima: Tidak mengambil kesempatan untuk kepentingan diri.

Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan). (Sural Huud: 15-16)

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM. – Editor)

No comments: