Ulama perlu konsisten, tekun mengkaji
PUTRAJAYA 5 Feb. - Para ulama mesti konsisten mempersiapkan diri dengan mengikuti perkembangan semasa dan dapat mengeluarkan fatwa atau pandangan selaras dengan zaman dan syariah Islam tanpa menimbulkan kontroversi dalam masyarakat.
Menaruh keyakinan tinggi terhadap peranan ulama, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, mereka harus tekun mengkaji dan memahami betul-betul sesuatu perkara yang baru timbul agar dapat menanganinya dengan baik.
Sejajar dengan itu, Perdana Menteri menarik perhatian bagaimana para ulama perlu tuntas mentransformasi dan memahami secara mendalam pengertian terminologi yang berkaitan politik antarabangsa, serantau dan peringkat nasional.
''Antaranya seperti globalisasi, neo-kolonialisme atau imperialisme dan skala pengaruh gerakan tersebut terhadap akidah, budaya, pendidikan, politik dan ekonomi umat.
''Tanpa kefahaman yang mendalam menyebabkan segala usaha kita menghadapi cabaran ini akan gagal atau kurang berkesan.
''Untuk itu, warga ulama wajar menjadi warga dunia yang serba interconnected, paling hampir dengan sumber maklumat terkini dan menguasai kaedah berkomunikasi secara bestari dan mutakhir," kata beliau.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis Perdana Menteri bersama ulama dan umara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom.
Menarik perhatian mengenai isu masa kini, Perdana Menteri memberi contoh bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah dan berada di tahap kemiskinan, institusi zakat boleh ditransformasi formulanya dengan memperkasakan sistem kutipan zakat secara lebih aktif, efisien dan holistik di setiap negeri.
''Jika hasil kutipan lebih meningkat tinggi, ia akan membantu meningkatkan kuantiti bantuan terhadap pelajar miskin, warga tua yang tiada pendapatan tetap dan orang kurang upaya yang tidak berkemampuan, mendapat kehidupan yang lebih sempurna dan selesa sama ada di bandar atau luar bandar," katanya.
Seterusnya, kata Najib, dalam konteks menangani krisis ekonomi global, para ulama wajar duduk semeja memberi pandangan dan merumuskan dasar-dasar ekonomi yang lebih adil, Islamik dan melindungi nilai-nilai moral dan kemanusiaan.
''Para ulama juga hendaklah bersikap proaktif untuk mengukuhkan budaya murni dan harmoni dalam lapangan politik, ekonomi, teknologi, informasi dan lain-lain demi menegakkan keadilan dan menyemai kesejahteraan hidup di dalam dan luar negara," katanya.
Bagi pihak masyarakat pula, kata Perdana Menteri, mereka hendaklah sentiasa berdamping dengan ulama dengan mempelajari dan menimba ilmu daripada mereka.
Kata beliau, sekiranya timbul sesuatu isu atau tuduhan berkaitan isu agama, masyarakat hendaklah terus bertemu atau menghadiri penerangan dan penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku dari sumber yang tepat dan sahih.
''Maknanya, bukan pergi mencari sumber maklumat yang tidak diketahui asas dan kebenarannya.
''Pada masa sama, para umara pula mestilah mempunyai ilmu dan daya pemikiran yang tinggi dan terkehadapan," katanya.
Kata Perdana Menteri: ''Di sini, para umara perlu sentiasa bersikap tegas dan amanah dalam menjalankan dasar-dasar yang telah dipersetujui, adil dan bertimbang rasa terhadap seluruh rakyat yang dipimpinnya."
(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia online, 6 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment