Friday, February 12, 2010

BERITA


Lima ahli Parlimen pembangkang dibebaskan dari tuduhan sertai perhimpunan haram

KUALA LUMPUR- Mahkamah Majistret hari ini melepaskan dan membebaskan 27 orang termasuk lima ahli Parlimen pembangkang daripada tuduhan menyertai satu perhimpunan haram di perkarangan Masjid Negara pada tahun 1999.

Majistret Nurhafizza Sauni membuat keputusan tersebut setelah pihak pendakwaan gagal memanggil tujuh lagi saksi seperti mana dimaklumkan kepada mahkamah sebelum ini.

Katanya Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin, yang ketika itu menjadi Ketua Polis Daerah Dang Wangi, gagal hadir di mahkamah untuk memberi keterangan dalam kes itu.

Selain itu, Nurhafizza berkata, pihak pendakwaan juga gagal menyampaikan sepina kepada saksi penting walaupun diberi tempoh masa yang secukupnya untuk berbuat demikian.

Lima Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam perhimpunan haram itu adalah Tian Chua (Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Batu), Dr Mohd Hatta Ramli (PAS-Kuala Krai), Azmin Ali (PKR-Gombak), R. Sivarasa (PKR-Subang) dan N. Gobalakrishnan, iaitu Ahli Parlimen Padang Serai dari PKR.

Selain itu, turut dibebaskan ialah bekas Ketua Pemuda Keadilan Mohamed Ezam Mohd Nor dan bekas aktivis pelajar Hishamuddin Md Rais.(Berita ini diambil dri Sinar Harian -Bernama online, 12 Fabruari 2010)

No comments: