Mokhtar Petah
Seorang pekerja – attendant - , hospital daerah Telok Anson, Pak Tamat, rakan Pak Ali yang menjadi rakanku. Walaupun usia Pak Tamat sama dengan usia bapaku, tetapi dia telah menjadi rakan baikku. Tiap-tiap malam dia datang sembahyang berjemaah di Madrasah Ihsaniyah. Kadang-kadang dia mengajak aku dan Pak Ali makan roti canai di kedai mamak tidak jauh dari madrasah itu.
Melalui Pak Tamat aku telah berkenalan dengan dua orang mu’allim di sana. Mereka itu, Haji Sulaiman Pagar dan Kiyai Haji Arshad, di Batu 20, Jalan Bagan Datok, Haji Sulaiman pagar mengajar agama di masjid-masjid di seluruh kawasan Teluk Anson dan Kiyai Haji Arshad, Pengetua Sekolah agama ’ al Ulum’, di Batu 20, Bagan Datok.
Haji Arshad ialah bapa kepada Ustaz Hassan Adli yang bergelar ’Panglima Jihad’ PAS setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
BUNYI LETUPAN
Pada satu malam minggu, aku bersama kawan-kawan termasuk dua orang gadis sekolah menengah Inggeris yang berjiran denganku, telah pergi menonton filem Aloha, di sebuah pangung, dekat Immigrant Road dan tidak jauh dri pangkalan bot di sungai Perak. Pada waktu filem iklan ditayangkan, tiba-tiba kami terdengar bunyi letupan kuat di luar panggung itu. Berikutan dengan bunyi letupan itu, seorang lelaki India pekerja panggung tersebut menjerit ke dalam panggung, ”bom, ...bom, ...,lari.”
Seluruh perut panggung itu terang benderang kerana lelaki India itu telah membuka lampu. Aku dan rakan-rakanku keluar dari panggung itu. Masing-masing dalam ketakutan.
Dalam keadaan kelam kabut itu, dua orang gadis yang bersama kami, seorang memegang tangan kananku dan seorang lagi memegang tangan kiriku dan kami telah lari menyelamatkan diri. Kami telah terpisah dari rakan-rakan kami yang lain. Mereka telah hilang dalam kumpulan orang-orang yang lari bertempiaran itu.
MASIH MENGGIGIL
Pada ketika kami tiba di luar panggung itu, beberapa orang lelaki kelihatan terbaring di atas bumi akibat terkena serpihan bom tangan yang telah dicampakkan oleh pengganas –pengganas komunis di halaman panggung wayang itu.
Aku bersama dua orang gadis itu telah lari ke arah jalan belakang dengan tujuan hendak pulang ke tempat tinggalku, di Market Street, tetapi kami tersesat jalan dan lalu tiba di sebuah rumah kecil dalam kawasan belakang sebuah bangunan.
Sebaik-baik sahaja kami tiba di hadapan rumah itu, seorang perempuan Melayu kira-kira tiga puluh tahun umurnya, nama Mek Som, telah memangil kami masuk ke rumahnya. Dia baru sahaja melarikan dirinya ke rumahnya. Keadaannya masih menggigil kerana terlalu takut akan bunyi letupan bom itu.
KOPI PANAS
Aku bersama dua orang gadis, Anis dan Mimi telah masuk ke dalam rumah perempuan itu dengan perasaan lega. Tetapi kami dalam kedaan termengah-mengah kerana keletihan.
”...tok sah pegi, ...kak nampak oghan jahat banyak di sana tu...,”kata Mek Som dengan loghat orang Kelantan.
Mek Som telah menjamu kami minum air kopi panas dengan biskut kering. Dia telah meminta kami menunggu di rumahnya sehingga keadaan tenang semula.
Lewat tengah malam barulah kami keluar dari rumah Mek Som. Dua orang gadis itu telah mengikut meninggalkan rumah Mek Som dan pulang ke rumah masing-masing. Aku telah pulang ke bilikku dalam keadaan penat.
RACUN NYAMUK
Dua hari kemudiannya, aku telah pergi ke sebuah kedai dekat Market Street dan ke arah Immigrant Road kerana hendak membeli racun nyamuk. Di kedai itu aku telah terserempak dengan Mek Som. Dia telah mengajak aku minum di sebuah restoran Cina dekat sebuah hotel di Market Street.
Pada waktu minum kopi di restoran itu, beberapa orang lelaki dalam restoran tersebut merenung kepada kami. Setelah kami bercakap mengenai bom pada dua malam yang lalu, Mek Som telah bertanya akan hal diriku. Dia telah menasihatiku supaya meneruskan pelajaranku.
Kata Mek Som, ”...kita ni hidup macam peghau, ilmu macam dayung, tak dak ilmu pengau hanyut...”
Sebaik-baik sahaja kami selesai minum, aku meminta diri kepada Mek Som. Dia berpesan kepadaku lagi supaya aku rajin belajar. Pada waktu aku hendak meninggalkan restoran itu, Mek Som telah berjalan ke arah hotel dan memanjat tangga di belakang hotel itu. Sepanjang perjalanan pulang, hatiku telah menyimpan perasaan ’buruk sangka’ kepadanya.
Allah dengan kehendak-Nya. Aku dianugerah bakat dan watak seorang wartawan dan penulis, maka dalam diriku ada suatu tindakan ruhani, iaitu aku ingin mengetahui setiap suatu dalam alam ini. Dua hari kemudian aku telah pergi menemui Mek Som di rumahnya. Sangkaan buruku terhadapnya telah menjdi nyata. Dia seorang pelacur berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Semenjak usianya 22 tahun dia telah meniti lorong dan denai kehidupannya sebagai seorang peremuan yang yang memperdagangkan tubuhnya kepada manusia-manusia lelaki yang buas hawa nafsu.
KAPAK BUNGKUS
Suami Mek Som, Nik Din (Samsudin) bekas guru sekolah Melayu. Pandai bersilat dan kemudian dia telah bekerja sambilan mengambil upah tukang bunuh orang. Dia telah menyertai geng ’kapak bungkus’ dalam Bandar Kota Bharu. Mereka mempunyai dua orang anak, yang sulung, lelaki dan anak yang kedua perempuan. Semenjak anak lelaki mereka berusia sepuluh tahun, suami Mek Som telah menghilangkan diri. Entah dia masih hidup ataupun telah mati.
Anak lelaki Mek Som sedang belajar, di sebuah kolej, di Negeri Selangor dan anak perempuannya sedang menuntut di sekolah menengah, di Kota Bharu, Kelantan. Gadis sunti itu menumpang di rumah jirannya.
Dengan hasil kerjayanya sebagai pelacur, Mek Som telah menanggung anak-anaknya belajar. Tetapi anak-anaknya tidak mengetahui pekerjaannya. Dia telah memberitahu mereka yang dia bekerja sebagai orang gaji, di rumah Orang Besar, di Perak.
MARUAH ISLAM
Pada zaman Tanah Melayu belum merdeka, iaitu sekitar tahun 1950-an hingga tahun 1960-an beratus-ratus perempuan Melayu dari Negeri Kelantan yang bekerja sebagai pelayan kedai minuman atau bar dan pelacur, di Kota Bharu dan bandar-bandar besar seluruh Tanah Melayu dan Singapura.
Pada tahun-tahun itu, Kota Bandar Baharu terkenal dengan bandar pelacuran. Tetapi setelah Kerajaan pimpinan Parti Islam Se Malaya (PAS) memerintah negeri itu, atau semenjak Allahyarham Menteri Besar, Asri bin Haji Muda, bandar itu telah beransur bersih dari pelacuran, kelab-kelab malam di tutup dan bandar tersebut telah menjadi sebuah bandar yang bermaruah Islam hingga kini.
Pada satu hari, secara kebetulan, aku telah berkenalan dengan seorang guru agama, di sebuah gerai makanan dekat jam condong dalam Bandar Teluk Anson. Dia bertugas sebagai guru sebuah sekolah agama di Kuala Kangsar. Aku terpaksa meminta maaf di sini, kerana tidak dapat memaparkan namanya.
BOMOH PEREMPUAN
Guru agama itu telah mempunyai isteri dan beberapa orang anak. Tiga bulan yang lalu dia telah berkahwin dengan seorang gadis di Parit Buntar. Perkenalan aku dengan dia telah menjadikan kami terikat dalam persahabatan yang akrab.
Guru agama itu sedang menderita. Tenaga batinnya seperti lembu tua yang tidak berupaya menarih bajak dalam sawah.Dia telah meminta tolong kepada aku; kalau-kalau aku mengetahui ada bomoh di Teluk Anson yang boleh mengubat atau memulihkan tenaga batinnya
Seorang kawan sekolahku, Hassan, telah memberitahu kepadaku, bahawa di Kampung Batak Rabit, dekat Teluk Anson, ada seorang bomoh perempuan yang telah tua boleh mengubat penyakit lelaki lemah tenaga batin. Pada satu petang aku dan guru agama itu telah pergi ke rumah bomoh perempuan tua itu.
TENAGA BATIN
Guru agama itu telah naik ke atas rumah bomoh itu untuk diurut dan seterusnya dirawat oleh bomoh tersebut. Aku telah duduk di atas bangku panjang depan rumah bomoh itu bersama anak perempuannya yang aku agakkan telah menjanda. Namanya, Sanihah.
Sanihah telah memberitahu aku, ”...berubat kepada emak, kena sepoh..., kalau tak..., tak menjadi... .”
Aku tahu erti sepoh. Tetapi aku tidak faham apa tujuannya dia menyebut kata ’sepoh’ itu. Mungkin juga Sanihah memang jadi tukang promosi atau juru iklan kebolehan ibunya mengubat lelaki yang lemah tenaga batin. Dia telah menerangkan kepadaku akan maksud perkataan ’sepoh’ itu.
Kira-kira satu jam kemudian, guru agama itu turun mendapatkan aku. Setelah berpamit dengan Sanihah, kami pun pulang ke bilik tumpanganku. Sebaik-baik tiba sahaja dibilikku, guru agama itu telah mengucap istighfar beberapa kali. Menurutnya, bomoh perempuan itu menghendaki dia ’menyepoh’ dirinya sebagai syarat untuk memulihkan tenaga batinnya. Maksudnya guru agama itu mesti bersetubuh dengan bomoh perempuan yang telah berusia lebih enam puluh tahun itu.
MAIN MAHJONG
Dua minggu kemudian, guru agama itu telah datang menemui aku lagi. Dia telah memberithau aku, tenaga batinnya masih lemah. Dia akan pergi kepada bomoh tua itu untuk mengurutnya lagi dan dia akan melakukan ’sepoh’ dengan bomoh tua itu.
Aku telah tidak mengikutnya ke rumah bomoh perempuan itu kerana aku tidak mahu menyertai orang yang akan melakukan zina. Semenjak hari itu aku sentiasa mengelakkan diriku dari bertemu dengan guru agama itu. Aku tidak fanatik, tetapi aku menganggap guru agama itu tidak kuat imannya.
Aku telah bersahabat baik dengan seorang gadis China bernama Helen atau Ah Bee yang tinggal bersama keluarganya, di sebuah rumah kedai, di tepi Sungai Perak, dalam Bandar Teluk Anson, iaitu dekat dengan bilik tempat aku tinggal.
BERNIAGA ROTAN
Helen baru pulang dari menuntut dalam bidang ekonomi dari sebuah universiti, di Australia. Usia Helen lebih lima tahun dari usiaku. Tetapi dia kelihatan seperti baru berusia tujuh belas tahun. Bapanya berniaga rotan dan buluh. Ibunya tidak bekerja. Perempuan itu mahir bermain mahjong. Mereka baik denganku.
Hampir setiap petang aku dan Helen telah bertemu dan berjalan-jalan dekat tebing Sungai Perak atau duduk-duduk atas tembok batu di hadapan rumahnya. Kami telah bercakap-cakap tentang masyarakat, politik dan masa depan orang-orang Melayu dan Cina di Tanah Melayu. Kadang-kadang kami bercakap tentang orang-orang komunis atau oraang kapitalis, penjajah dan sebagainya.
Helen berpendapat, bahawa bangsa Melayu mempunyai hak ketuanan atas Tanah Melayu, manakala orang Cina dan India serta kaum lain adalah golongan keturunan pendatang. Tetai mereka telah kehilangan bumi peninggalan datuk nenek mereka.
ORANG ISLAM
Pada satu petang Helen dan ibunya menjemput aku ke rumah mereka. Pada waktu kami minum tea, ibu Helan telah bertanya kepadaku mengenai agama Islam mengharamkan orang Islam memakan daging babi. Aku telah memberitahunya, bahawa Allah telah mengharamkan orang Islam memakan daging babi seperti terkandung dalam Quran, surah -surah al Baqarah: 173, al Maidah:3, surah al An’aam:145.
Helen telah mengakui akan tegahan memakan babi dalam Quran, kerana dia telah membaca Quran terjemahan bahasa Inggeris dan bahasa China. Tetapi dia tidak nampak akan sebab-sebab Allah melarang manusia memakan daging babi. Dia telah meminta aku menjelaskan kepadanya dan ibunya mengenai perkara itu. Jika keteranganku itu logik dan dapat diterimanya, maka dia mengaku akan memeluk agama Islam.
Aku telah menerangkan kepada mereka, iaitu:
* Di segi rupa; babi adalah sejenis haiwan yang buruk. Di segi moral atau akhlak orang Islam tidak elok memakan haiwan yang bersifat buruk. Di segi selera manusia pula, kecuali manusia yang tidak tahu membedakan buruk dan baik, sanggup memakan daging haiwan yang buruk. Allah telah menegaskan dalam Quran, ’ makan yang halal dan baik’
* Di segi ilmu kedoktoran; babi sejenis haiwan yang pengotor dan memakan makanan yang kotor. Maka, manusia yang suka kepada kebersihan tentulah tidak suka memakan daging haiwan yang pengotor.
* Di segi kuman; daging babi ada mengandungi kuman (virus) yang mengikut pendapat ulama (sains) Islam, kuman babi tidak mudah mati walaupun direbus dalam air yang paling panas. Kuman babi terlalu halus dan sukar dilihat. Kumannya bersifat seperti angin atau wap.
* Di segi ilmu jiwa (psychology); orang yang memakan daging babi mempunyai peribadi yang ditegah oleh Islam, iaitu tidak menghormati orang lain, tamak, mementingkan diri sendiri, tidak jujur kepada orang lain, sentiasa mahu menipu, cepat marah, lebih mementingkan nafsu syahwat, tidak ada perasaan malu, buta mata hati dari mengenal Allah dan tidak mengenal segala yang baik.
Setelah mendengar penjelasanku itu, Helan senyum. Ibunya kelihatan gelisah.Dia merenung kepada Helan dan kemudian merenung kepdaku. Helen bercakap kepadanya dengan mengunakan bahasa Melayu, ” ...kalau wa masuk Islam, wa nak kahwin dengan siapa, mami?”
”...dengan orang Islam, ...takkan dengan orang lain,”jawab ibunya.
” Wa nak masuk Islam...,”kata Helen.
Hari-hari berikutnya, aku dengan Helen berkeadaan seperti sepasang kekasih. Tetapi tidak ada niat dalam hatiku untuk berkahwin dengannya. Helen juga tidak pernah bersuara yang dia telah mencintai diriku atau bertujuan berkahwin denganku. Pada hakikatnya kami bersahabat dan bercinta, seperti air telaga yang jernih tidak terdapat anak berudu di dalamnya.
Halen seperti kebanyakan orang-orang yang berpelajaran tinggi, iaitu menganut fahaman tidak bertuhan, mungkin dia menganut atheisme (kepercayaan tidak wujud Tuhan) atau tidak menganut sebarang agama di dunia ini. Dia hanya mewarisi amalan tradisi atau adat datuk neneknya sahaja, menyembah tok pekong.
No comments:
Post a Comment