Ada rumah tempat tetamu,
Awak tidur di luar pintu,
Tetamu lena dalam kelambu.
Dagang lalu ditanakkan,
Anak mati kelaparan,
Ada tanah disewakan,
Diri tersangkut di olak jamban.
Di sekitar kawasan Bumbung Lima dan Matang Bendahari, saya dijamu dengan nira nipah. Di Pajang Song dan Ara Kuda saya merasa makan pengat pisang dan ubi kemili rebus sama dengan kelapa berparut. Di sungai dua saya dihidangkan dengan tapai dan mi rebus campur udang sungai (udang galah). Di Pinang Tunggal makan saya telah makan gulai itik serati.
Saya juga bersama rakan-rakan sekolah telah menonton sebuah filem Melayu, ‘Pulau Mutiara’ dalam sebuah panggung wayang kampung, di Matang Bendahari. Panggung itu milik seorang peniaga Melayu, berdindingkan papan-papan lama dan atapnya dari zink-zink lama.Tempat duduknya adalah bangku kayu keras dan panjang seperti bangku kayu di warung-warung kopi kampung.
WARUNG KAMPUNG
Kami telah menonton wayang gambar itu, pada jam 2.30 petang dengan bayaran 50 sen seorang. Sebaik-baik selesai dari menonton kira-kira jam 4.15 petang, kami telah singgan di sebuah warung di kampung itu untuk minum air kopi dan makan pisang goreng. Pada masa di warung itu saya dapat mendengar percakapan dua tiga orang Melayu di warung itu, mengenai masalah orang-orang Melayu menyewakan tanah mereka kepada rakan mereka, orang-orang Cina dan India.
Orang Melayu Pulau Pinang, Seberang Perai dan Kepala Batas baik hati; tanah mereka, luas setapak rumah atau seluas rumah kedai, disewakan kepada orang-orang Cina atau India untuk menumpang duduk atau berniaga. Sewanya sebulan sekadar dua ringgit dan dimeterai dengan surat perjanjian; lama sewanya selagi ada bulan dan matahari
Seorang pemilik tanah dalam kawasan Kepala Batas, telah menyewakan kira-kira 100 x 60 kaki persegi dari tanahnya kira-kira tiga ekar di tepi jalan raya kepada seorang Cina, rakan baiknya untuk mendirikan kedai runcit, pada tahun 1945. Sewa tanah itu sebanyak dua ringgit sebulan. Dalam surat perjanjian itu tidak tercatat temponya, tetapi tercatat, sewaan itu berjalan selagi ada matahari dan bulan.
BAPA RANDUK
Orang Cina itu membawa keluarganya tinggal di kedai runcit itu. Dua tiga bulan kemudian dia membawa balik seekor babi betina dan babi itu dikurung dalam kandang di belakang kedai runcitnya. Seperti kebiasaan bagi penternak-penternak babi, pekedai itu menyewa bapa randuk, iaitu babi jantan untuk mengawan dengan babinya. Kemudian babi betina itu bunting dan sampai temponya ia beranak empat hingga enak ekor atau lebih.
Anak-anak babi itu dilepaskan berkeliaran atas tanah orang Melayu itu hingga sampai ke halaman rumahnya yang terletak kira-kira satu rantai dari kedai runcit itu. Si tuan tanah meminta orang Cina itu supaya tidak melepaskan anak-anak babinya, kerana anak-anak babi itu berkeliaran di halaman rumahnya, tetapi orang Cina itu tidak mempedulikan permintaannya.
Beberapa bulan kemudian, setelah anak-anak babi itu membesar, ibu babi itu beranak lagi. Air dari kandang babi itu mengalir ke seluruh tanah orang Melayu itu. Baunya sampai ke seluruh kawasan rumah tuan tanah tersebut. Akhirnya tuan tanah itu terpaksa menjualkan semua tanahnya kepada orang Cina itu.
LEMBUT HATI
Ada satu lagi kejadian orang Melyu tuan tanah terpaksa melepaskan tanah miliknya kepada orang Cina, iaitu kerana orang Cina itu lembut hati memberi hutang wang kepadanya. Orang Melayu yang memerlukan wang tidak memikirkan akibat yang akan menimpa dirinya dan keluarganya pada masa depan.
Si orang Melayu tuan tanah itu telah menyewakan tanahnya kira-kira dua relung kepada rakannya itu untuk mendirikan rumah tempat tinggal. Sewanya selagi ada matahari dan bulan juga. Si orang Melayu tuan tanah itu berniaga kecil-kecilan. Dia sering meminjam wang dari rakannya, iaitu orang Cina yang menduduki tanahnya itu. Akhirnya dia tidak dapat melangsaikan hutangnya. Dia terpaksa melepaskan tanahnya kepada tangan orang Cina yang telah tidak lagi menjadi rakannya itu.
‘Kaum pendatang telah mengambil kesempatan dari sikap tidak peduli orang Melayu, dengan memperkenalkan sistem jual beli secara berhutang. Mereka telah memulakan penindasan ekonomi ke atas orang Melayu dengan terang-terangan di hadapan kuasa pelindung Inggeris. Tanah Melayu telah menjadi negeri Cina ke 19 dalam semua hal kecuali pemerintahan; sebab orang Cina masih lagi belum mengalih mata mereka kepada pemerintahan.’ [1]
MENUNTUT KEMERDEKAAN
Dari mana hendak ke mana,
Tinggi rumput dari padi,
Sini Cina Sana Cina,
Malaya jadi pajak judi.
------------------------
[1] L . J. Barnes, Report of the committi on Malay Education Fed. Of Malaya, Kuala Lumpur, Government Printers,
1951m hlm.8.
[2] Maahathir bin Mohamad, Dilema Melayu, 1982, Kuala Lumpur, Singapura, Timess
Editions Ote.Ltd., hlm. 29.
[3] Diceritakan oleh Allahyarham Tan Sri Abdul Kadir Yusof dan Tun Mohammad Sufian Haji Hashim kepada
penulis.
[4] Pemimpin parti politik Melayu yang awal, iaitu Kesatuan Melayu Muda (KMM).
No comments:
Post a Comment