Thursday, September 3, 2009

BERITA

BAWAH POKOK KE HOTEL
Oleh Ridzuan Yop, Shamsul Kamal Amarudin, Mohd Feroz Abu Bakar, Nurhayati Abllah dan Rosdalilah Zahari
bhnews@bharian.com.my
V SIVAKUMAR bersama 23 Adun Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di Ballroom Hotel Heritage selepas mereka dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh, semalam.
Adun Pakatan Rakyat Perak terus adakan sidang DUNIPOH: Selepas mengadakan 'sidang Dewan Undangan Negeri' (DUN) di bawah pokok pada Mac lalu, Pakatan Rakyat (PR) Perak semalam meneruskan pula mesyuarat sama di sebuah hotel di sini. Persidangan itu diadakan di Ballroom, Hotel Heritage, Jalan Raja DiHilir Perak, kira-kira jam 11.30 pagi selepas 27 Adun pembangkang dilarang memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.
Ini berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh kelmarin menolak permohonan bekas Speaker Perak, S Sivakumar, supaya Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim tidak menghalang Pakatan Rakyat mengadakan sidang DUN di bangunan berkenaan. Pada 3 Mac lalu, Adun Pakatan Rakyat juga cuba memasuki bangunan itu tetapi tidak berjaya menyebabkan mereka mengadakan sidang DUN di bawah pokok kira-kira 100 meter dari Bangunan Perak Darul Ridzuan. Bagaimanapun, kali ini Pakatan Rakyat lebih bersedia dengan menempah hotel bagi mengadakan sidang DUN itu.
Malah, mesyuarat di hotel itu dipercayai sudah diatur lebih awal kerana ballroom berkenaan menyediakan susunan tempat duduk Adun DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Barisan Nasional (BN) yang lengkap dengan tanda nama kawasan DUN masing-masing, kecuali untuk tujuh Adun BN termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang digantung dan tiga Adun Bebas yang didakwa sudah meletak jawatan. Sivakumar yang mempengerusikan sidang itu duduk di pentas utama, tempat paling tinggi seperti susun letak dalam Sidang DUN sebenar, manakala Adun pakatan pembangkang duduk di sebelah kanan bekas speaker itu yang biasanya dikhaskan untuk wakil rakyat kerajaan. 'Setiausaha DUN', Misbahul Masduki Munir pula duduk di depan Sivakumar, manakala Adun Pasir Panjang (Pas), Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin duduk di kerusi paling dekat dengan 'speaker', tempat yang secara tradisinya dikhaskan untuk Menteri Besar. Hanya 23 Adun Pakatan Rakyat menghadiri sidang berkenaan selepas tiga lagi Adun pembangkang ditahan polis, manakala Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim mengerjakan umrah.
Sebelum ditangguhkan pada jam 1.37 petang, Sivakumar yang juga Adun Tronoh-DAP, mengumumkan sidang meluluskan sebulat suara cadangan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN yang antara lain menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM500,000 ke atas Speaker, Datuk R Ganesan dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong yang juga Timbalan Speaker. Sidang selama dua jam itu juga meluluskan pelantikan anggota tiga jawatankuasa bagi penggal yang baru, iaitu Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam dan Jawatankuasa Perintah-perintah Tetap serta dan usul tergempar mengutuk tindakan polis menghalang Adun PR memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan. Terdahulu, kira-kira jam 10 pagi, suasana di hadapan Bangunan Darul Ridzuan tegang apabila Adun pakatan pembangkang tidak menghiraukan amaran polis supaya beredar dari kawasan berkenaan, sebaliknya cuba merempuh barisan Unit Simpanan Persekutuan (FRU). Pertikaman lidah turut berlaku antara Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dengan polis sehingga menyebabkan keadaan menjadi kecoh dan tidak terkawal. Berikutan itu, polis terpaksa mengambil tindakan tegas dengan menahan Ngeh serta Adun Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Adun Malim Nawar, Keshvinder Sigh kerana berkelakuan agresif. Ngeh ditahan pada jam 10.04 pagi, diikuti Chan tiga minit kemudian serta Keshvinder. Jurugambar Nanyang Siang Pau, Stanley Tan See Yee turut ditahan kerana cuba melanggar arahan polis yang meminta orang ramai bersurai. Lebih 100 anggota polis dan FRU mengadakan sekatan laluan ke Bangunan Perak Darul Ridzuan seawal jam 7 pagi bagi mengawal keadaan. Dua trak FRU dilengkapi meriam air, enam trak polis dan lebih lima unit peronda serta motosikal berkuasa tinggi turut ditempatkan di beberapa lokasi utama sekitar bangunan berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga. Sementara itu, kira-kira jam 11 pagi Mohammad Nizar dan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming serta beberapa Adun pembangkang kelihatan tiba di bangunan FRU, Kampung Simee dipercayai bagi membebaskan tiga Adun yang ditahan polis. Keadaan sekitar Bangunan Perak Darul Ridzuan pula kembali tenang sekitar jam 11.30 pagi, namun polis masih meneruskan kawalan bagi menjamin keselamatan awam.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 3/9/2009)
***** ******

PAS Pahang serah deklarasi perkasa bahasa kepada Muhyidin
Hazayani Zakaria Thu Sep 03, 09 2:25:48 pm MYT
PUTRAJAYA, 3 Sept: Setelah menyerahkan deklarasi seminar mereka, PAS Pahang menunggu tindakan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berhubung tuntutan mereka agar Bahasa Malaysia di martabatkan sebagai bahasa rasmi dan pembudayaan bangsa.
Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan berkata demikian selepas mengetuai serahan satu deklarasi seminar kepada Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Putrajaya pagi tadi.
Deklarasi berkenaan diterima Setiausaha Sulit Kanan Menteri, Khairul Anwar Bachok dan akan dipanjangkan kepada Muhyiddin.
Hadir sama dalam serahan tersebut Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Dr. Hamzah Jaafar dan Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Roslan Zainal.
"Dalam masa terdekat kita akan pastikan perkara ini dapat dilaksanakan dan sekiranya ianya tidak nampak hasil tindakan daripada pihak kementerian insyaAllah tindakan susulan kita akan adakan,"katanya.
Deklarasi yang diperoleh hasil Konvensyen Memartabatkan Bahasa Malaysia Sebagai Bahasa Rasmi Dan Pembudayaan Bangsa yang diadakan pada 16 Ogos lalu di Kompleks Imam As Syafie, Jerantut Pahang mengandungi lima tuntutan.
Pertama, peserta konvensyen tersebut menggesa kerajaan bersungguh-sungguh dalam mendaulatkan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan pembudayaan bangsa dalam amalan pemerintah seperti yang terkandung dalam 152 Perlembagaan Malaysia.
Sebarang bentuk ancaman terhadap kedaulatan, pengukuhan dan pembudayaan bahasa seperti yang berlaku sekarang mesti diberhentikan dan dibantah sekeras-kerasnya.
Kedua, mereka mendesak kerajaan menghentikan serta merta dasar pembelajaran dan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana jelas menjejaskan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan pembudayaan dalam sistem pendidikan negara.
Dasar itu juga menjadi ancaman terhadap masa depan anak bangsa terutamanya pelajar-pelajar di kawasan luar bandar.
Tuntutan ketiga merupakan desakan kepada kerajaan agar mengembalikan semula tulisan jawi dalam sistem pendidikan bagi meningkatkan penghayatan Al Quran dalam kehidupan bermasyarakat.
Konvensyen berkenaan juga menuntut kerajaan mewajibkan mata pelajaran agama Islam sebagai mata pelajaran wajib lulus peperiksaan kepada pelajar beragama Islam di semua peringkat peperiksaan awam.
Tuntutan terakhir mereka adalah supaya kerajaan memberi ruang kepada semua bangsa lain mengamalkan bahasa ibunda masing-masing kerana ia merupakan perkara asas yang perlu dilindungi.
Dua kertas kerja dibentangkan pada konvensyen anjuran BAdan Perhubungan PAS Negeri Pahang, masing-masing dari Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said dan bekas Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan, Abas Awang.
Sementara itu, Setiausaha Perhubungan PAS Pahang, Roslan Zainal berkata, PAS Pahang mahu PPSMI segera dimansuhkan kerana melihat kepada pencapaian pelajar-pelajar di negeri itu agak tercorotterutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.
"Pahang amat prihatin dalam isu PPSMI kerana dari segi ranking pencapaian akademik samaada UPSR, PMR atau SPM pelajar-pelajar negeri ini tidak berada di antara yang teratas. Sebab itu kalau boleh kita memang mahu ditamatkan serta merta PPSMI kerana mangsanya ialah antaranya pelajar-pelajar negeri Pahang.
"Mereka yang tingggal di kawasan pedalaman, felda dan sebagainya tidak berkesempatan untuk memperoleh pendidikan yang setara berbanding mereka di kawasan bandar," kata Roslan. _

No comments: