Friday, June 10, 2011

MENGENANG MASA SILAM (Ulangan)





HATI – HATI CERCA ULAMA

Ustaz Haji Abdul Samad Nor, Mudir Ma’ahad Al Yahyawiyah, Padang Rengas dan Pesuruhjaya PAS Negeri Perak. Dia adalah salah seorang dari alim ulama di Negeri Perak yang tersohor. Seperti yang aku telah catatkan di atas, dia telah dilantik oleh Sultan Idris untuk menduduki kerusi Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.
Perlantikan ke atas Ustaz Haji Abdul Samad oleh Sultan Perak, tidak dipersetujui oleh Wan Mohamed. Dia mahu seorang ulama dari UMNO dilantik menduduki kerusi majlis tersebut.
Sebelum itu aku telah menasihati Sultan Idris supaya melantik Ustaz Haji Abdul Samad Noh menduduki kerusi Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak itu. Aku telah merafakkan nasihat kepada Baginda, bahawa Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak milik umat Islam dan bukannya milik sesebuah parti politik tertentu.
”Majlis akan menjadi jambatan untuk menyatukan semula umat Islam yang sekian lama bercakaran kerana perbedaan fahaman politik, ...sampai bila orang Melayu atau umat Islam akan terus hidup dalam bergeseran..., permusuhan, sedangkan Allah dan Nabi Muhammad melarang permusuhan demikian” aku telah merafakkan kata-kata bersurat itu kepada Sultan Idris.
”Kalau Sir tidak dapat mencari penyelesai atau menyatukan semula umat Islam, Sir akan menerima beban dosa, kerana Sultan atau Raja Melayu ketua agama Islam di negeri masing-masing...,’sembhahku lagi.
”...Sir patut menjadi pelopor Raja-Raja Melayu untuk menyatukan umat Islam, ...ambil Ustaz Haji Abdul Samad Noh duduk dalam Majlis itu, ...itu satu contoh yang baik bagi perpaduan ummah,”tambahku.
”... aku dah lama duk fikir like that..., tapi kuasa kami, ...Raja-Raja Melayu terhad...,”titah Sultan Idartis.
”...hanya terhad dalam hal ehwal politik, ...tapi dalam perkara lain tidak, ...tapi I sendiri kesal...,”aku berkata.
”...ngapa?”Sultan Idris Shah bertanya.
”...apa tidaknya, ...ramai Raja-Raja Melayu macam renggang dengan rakyat deme dari umat Islam, ...mereka menengok rakyat melalui jendela istana saja, tak macam Sir turun padang menemui rakyat...,”aku memberanikan diri berkata demikian.
”...aku dah kena pikul amanah, ...aku tak boleh jauh dari rakyat..., aku kena ambil tahu hal deme..., agama Islam...,”titah Sultan Idris Shah.
MENCAPAI KEJAYAAN
Sultan Idris Shah telah memanggil Ustaz Haji Abhdul Samad Nor ke Istana Iskandariah, Bukit Chandan. Baginda telah menitahkan kepada ulama itu yang Baginda berkenan melantiknya duduk dalam Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak.
Kehendak manusia tidak selalu mencapai kejayaan, tetapi kehendak Allah mengatasi segala-galanya. Pada hari Jumaat dalam bulan Februari 1980, satu perjumpaan Jawatankuasa Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan adat Istidat Melayu Perak dengan alim ulama dari seluruh negeri itu, telah diadakan di dewan Bangunan Pejabat majlis tersebut, di Ipoh.
Perjumpaan itu telah dihadiri oleh Menteri Besar, Wan Mohamed. Aku telah hadir dalam perjumpaan itu. Wan Mohamed telah berucap di luar teks ucapan yang telah disediakan. Dia telah berucap dengan dipengaruhi oleh sentimen politiknya; dia telah menyelar dan menyindir ulama yang disifatkan ’berangan-angan Mat Janin’ hendak menubuhkan negara Islam di Malaysia.
NEGARA ISLAM
Di antara kata-kata Wan Mohamed yang kesat,” ...pergi ke Mekah belajar agama tak sebanyak mana, balik nak tubuh negara Islam, ...ulama, (minta maaf, aku tak dapat terangkan kata-kata itu) orang Melayu tak akan menerima negara Islam, ...karut,...rakyat negara ini tak akan balik ke zaman kuno...,”katanya.
Setelah Wan Mohamed selesai berucap, pada waktu jamuan tea, Haji Mat Saman Kati (guru agama Istana), Ustaz Haji Abdul Samad Noh dan ystaz Ismail Mu’in telah menemui aku. Mereka telah meluahkan perasaan kesal mereka atas ucapan Wan Mohamed itu. Aku telah meminta mereka bersabar, ”....orang jahil, musuh Islam, ...orang kafir sahaja yang menentang negara Islam...,”aku telah berkata kepada mereka.
Aku telah mengingatkan mereka dengan sepotong ayat Quran yang bererti:
Mereka pekak, bisu dan buta, sebab itulah
mereka tidak dapat kembali kepda kebenaran.
Pada pagi esoknya (Sabtu), Persatuan Kadi Negeri Perak telah mengadakan mesyuarat agung dalam dewan dan yang sama dengan tempat perjumpaan anggota-angota Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istidat Melayu Perak semalam. Wan Mohamed telah dijadualkan merasmikan mesyuarat agung tersebut.
DIKEJARKAN KE HOSPITAL
Wan Mohamed telah dijemput untuk memberi ucapan. Belum sempat ucapannya masuk kepada tujuan merasmaikan ucapannya itu, tiba-tiba tubuhnya luruh atas pentas tempat dia berucap. Semua yang hadir terkejut dan bangun lalu menolong mengangkat tubuh Wan Mohamed. Kemudian dia dikejarkan ke Hospital Besar Ipoh. Keadaan sakitnya sukar dipulihkan. Pihak hospital tidak mendapat sebarang kesan yang beliau telah diserang darah tinggi.
Pada satu petang, beberapa bulan kemudian aku telah bertemu dengan Wan Mohamed, di Ipoh Club. Dia berkeadaan kurang sihat. Pada waktu itulah aku terasa hiba. Betapa persahabatanku dengannya dulu telah menjadi renggang disebabkan oleh faktor peranan dan perjuangan yang berbeda.
Pada 1 Mac 1983, dengan persetujuan Presiden UMNO, Dr Mahathir Mohamad, Sultan Idris Shah telah melantik Ramli Ngah Talib (Tan Sri) untuk menduduki kerusi Menteri Besar Perak yang telah dikosongkan oleh Wan Mohamed. Ramli adalah orang yang pertama berkelulusan undang-undang menerajui Kerajaan Negeri Perak. Pada zaman terakhir penjajahan Inggeris, seorang peguam, Dato’ Panglima Bukit Gantang, Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz menduduki kerusi Menteri Besar Negeri Perak.

’Tan Sri Dato’ Seri Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, Ramli Ngah Talib telah dilahirkan di Pasir Salak, di rumah datuknya Penghulu Alang Talib tereletak 30 meter daripada tempat J.W.W.Birch, Residen British Perak yang pertama dibunuh. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Pasir Salak, St. Anthony School Teluk Anson dan seterusnya di Malay College Kuala Kangsar, Queen’s University dan Lincoln’s Inn. London. Kariernya telah membawa beliau dari pensyarah undang-undang ITM ke jawatan Pegawai Undang-undang Lembaga Letrik Negara, firma undang-undang sendiri.
Sesungguhnya tidak sama orang yang berpengatahuan dengan yang tidak berpengetahuan. Gerak kerja orang yang berpelajaran tinggi tidak sama dengan gerak kerja orang yang rendah pelajarannya. Begitulah aku membandingkan Ramli Ngah Talib dengan para Menteri Besar yang sebelumnya.
RAKYAT JELATA
Menteri Besar pilihan Sultan Idris Shah itu mempunyai sikap berhati-hati mengatur dan melaksanakan rancangan-rancangan untuk kerajaan dan rakyat. Sultan Idris sentiasa memerhatikannya dan rakyat jelata sentiasa merenungnya.
’Dato’ Sri Ramli adalah anak kampung yang jauh dari bandar. Pengalaman hidupnya dalam kampung cukup untuk mengajarnya menjadi seorang pemimpin yang mempunyai perasaan ’mementingkan orang ramai atau rakyat lebih dari segala-galanya’ – lalu beliau menguatkan azam; selagi pucuk pimpinan parti menaruh kepercayaan kepadanya mengetuai Kerajaan Negeri Perak dan memimpin rakyatnya, beliau akan terus memperjuangkan nasib rakyat dengan daya tenaga, daya fikiran dan ilmu pengetahuan serta pengalaman yang ada padanya.’
Semenjak Ramli Ngah Talib meminpin kerajaan dan rakyat negeri Perak, maka negeri itu telah masuk ke dalam ’Era Baru’ dan pembangunannya dijalankan Seiringan dengan Kerajaan Negeri Selangor, pimpinan Tan Sri Muhammad Mohd.Taib.
Pada tahun 1992 Ramli Ngah Talib dan Muhammad Mohd.Taib telah menandatangani perjanjian ’Kerjasama Pembangunan’ dalam kawasan sempadan negeri Perak dengan negeri Selangor.
Antara pambangunan sempadan yang berjaya, ialah pembinaan Bandar Proton, di Behrang, Tanjung Malim, menaik taraf Maktab Perguran Sultan Idris Tanjung Malim kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim juga.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,oleh: Mokhtar Petah).

No comments: