Thursday, June 2, 2011

GETAH ASLI (Ulangan)

CARA BRITISH LEMAHKAN MELAYU

Oleh: Mokhtar Petah

Biji benih getah asli – Brazilian seed - telah dibawa oleh seorang Inggeris dari Brazil ke Bandar London. Benih itu dicambah dan dibiakkan dalam satu kawasan, dalam bandar tersebut.

Sekitar tahun 1930-an, anak-anak pokok getah itu telah dibawa ke Siam, iaitu ke Grik, Hulu Perak (pada masa itu Hulu Perak di bawah jajahan Siam). Menurut cerita orang tua, Toh Purba Lahamat, anak-anak pokok getah itu telah ditanam dalam kawasan balai polis, Grik sekarang.

Selain di hulu Perak, anak-anak getah itu telah ditanam di Bukit Residen dan dalam kawasan berhampiran dengan masjid Bandar Kuala Kangsar, iaitu dalam kawasan Pejabat Daerah sekarang. Pokok getah yang telah tua itu masih ada lagi di sana.

Pokok getah

Dengan adanya benih getah itu, penjajah Inggeris telah melaksanakan rancangan serampang dua matanya, iaitu:

1) Mengembangkan hasil bumi selain dari bijih timah.

2) Memberi peluang kepada saudagar-saudagar Inggeris membuka lading getah.

3) Melamah dan menjadikan orang Melayu manja dan sentiasa bergantung kepada petolongan orang lain.

Pada masa itu, semua pegawai daerah dan penolong pegawai daerah di tiap daerah di seluruh negeri di tanah Melayu, terdiri daripada orang Inggeris dan Inggeris Yahudi. Mereka telah memainkan peranan memujuk orang Melayu supaya sayang kepada orang Inggeris.

Daerah Koh Dahulu atau Grik – dua daerah kecil dibawah daerah itu, ialah Lenggong bersempadankan dengan daerah Kuala Kangsar dan Keruh (kini terkenal dengan Pengkalan Hulu) Hulu Perak, bersempadan dengan kawasan Selatan Thailand dan Negeri Kedah.

Pegawai daerah Grik, Habert Barkley , lelaki Inggeris berkelana. Isterinya tinggal di India. Dia pandai mengambil hati orang Melayu di kampung-kampung. Dalam seminggu, tiga hari dia berpakaian kain pelekat (kain sarung), baju carea Melayu dan semunta dan tidak berkasut telah menjalankan tugas dengan menjelajah ke kampung-kampung untuk menemui penduduk-pemduduk.

Habert Barkley telah masuk ke sawah- sawah padi dan menemui petani-petani yang sedang bekerja. Dia bercakap mesra dengan mereka. Bertanya akan keadaan hidup mereka dan sebagainya.

Kepada petani-petani itu ditawarkan tanah kerajaan antara dua hingga lima ekar untuk ditanam getah. Kebun-kebun getah yang diberi kepada orang Melayu itu dinamakan kebun kecil dan pemiliknya pekebun kecil.

Setiap pemilik kebun getah diberi kupon yang harganya dinilai mengikut kadar getah keping yang mereka perolehi pada tiap-tiap bulan. Jika pekebun kecil itu memiliki tanah kebun getah yang luasnya satu ekar, maka dikira dia mendapat sekadar sepikul (100 kati) sebulan, jika dua ekar, maka hasil getahnya dua pikul dan seterusnya.

Kupon-kupon itu ditukarkan dikedai membeli dan menjual getah atau di pejabat daerah pada tiap -tiap akhir bulan.

Pemilik-pemilik kebun getah itu tetap mendapat kupon pada tiap-tiap bulan, walaupun mereka tidak menanam pokok getah di atas tanah mereka. Ada pula yang menanam pokok- pokok getah, tetapi tidak dijaga dengan baik, seperti membersihkan semak samun dan sebagainya.

Perbuatan memanjakan orang Melayu itu telah dilakukan oleh semua pegawai daerah di seluruh Tanah Melayu. Dengan demikian, orang Melayu memuja penjajah Inggeris kerana membantu wang kepada mereka pada tiap bulan walaupun mereka tidak bekerja.

Sementara itu pegawai-pegawai daerah di seluruh Tanah Melayu telah meluluskan beribu-ribu ekar tanah kerajaan (rimba) kepada saudagar-saudagar Inggeris untuk dijadikan ladang getah. Setiap satu ekar tanah dikenakan membayar premium sekadar 25 sen.

Akhirnya, hingga hari ini Inggeris telah menguasai pasaran getah Tanah Melayu di bawah urus dagang stock file. Walau banyak mana negara kita mengeluarkan getah, tidak boleh menjual ke Negara-negra lain. Terpaksa menjual kepada pihak Inggeris.

Getah asli Brazilian seed telah menjadi penyebab orang Melayu dalam keadaan bergantung kepada pertolongan orang lain atau subsidi dari kerajaan. Hingga pada hari ini masih terdapat pada sebilangan generasi orang Melayu yang bersikap seperti orang Melayu pada zaman silam, iaitu bergantung kepada orang lain dan sukar berdiri atas kaki sendiri. Yang demikianlah yang dikatakan oleh Dipertuan Parti Kebangsaan Melayu Malaya – PKMM - (1945), Allahyarham Dr. Burhanuddin Helmi “ …kita tidak mahu negara medeka tetapi jiwa rakyat tidak merdeka.”

No comments: