Monday, May 31, 2010

MELURUT KEMUCUT (Ulangan)



DOSA DALAM KEMAKMURAN


Dari awal tahun 1950 hingga akhir tahun 1952, harga getah keping telah naik tinggi hingga mencapai $2.00 dan $3.00 ringgit sekati. Harga padi dan kelapa kering juga mahal. Penoreh-penoreh getah dan petani-petani di seluruh negeri Perak khasnya dan di Tanah Melayu amnya berkeadaan seperti mendapat durian runtuh.
Ramai pemuda-pemuda di kampung-kampung di sepanjang tebing Sungai Perak dalam daerah Hilir Perak, Pasir Salak dan daerah kecil Parit bekerja sebagai penoreh getah. Pemuda-pemuda di Sungai Manik, Tukang Sidin dan beberapa kawasan lagi bekerja sawah padi. Manakala pemuda-pemuda di Bagan Datok, Hutan Melintang, Perak dan Sabak Bernam, Selangor, bekerja sebagai kebun kelapa dan kebanyakannya milik ibu bapa mereka sendiri.
Pemuda-pemuda tersebut yang pertama kali menerima nikmat sebagitu rupa, telah menjadi orang kaya baru dan kebanyakannya telah lupa daratan. Pada tiap-tiap petang dan malam mereka telah berfoya-foya dalam Bandar Teluk Anson. Keadaan mereka seperti anak-anak para hartawan atau jutawan minyak dan emas.
FILEM ALOHA
Mereka memakai pakaian seperti bintang filem, P.Ramlee, Osman Gumanti dan beberap bintang filem lagi yang telah berlakon dalam filem Aloha. Ramai pula yang memakai pakaian seperti orang Barat, iaitu topi, over coat, tali leher, bow atau muffler, kemeja dan seluar serta kasut buatan Enngland.
Pada masa itu ada sebuah toko pakaian milik orang Melayu, ’Toko Haji Ali’ yang menjual berbagai jenis pakaian jenama terbaik buatan England dan negara-negara di Eropah.
Pada tiap-tiap petang dan malam pemuda-pemuda penoreh getah, pesawah padi menjadi tetamu atau pengunjung Bandar Teluk Intan. Mereka berpeleseran dalam taman hiburan ’park’ yang mengadakan joget moden, tempat tari menari (cabaret), judi dan stall-stall minuman menghidangkan minuman keras dan panggung-panggung wayang gambar.
PETI SEJUK
Selain dari taman hiburan dan panggung-panggung wayang, mereka juga juga menjadi pelanggan kedai minuman keras dan warung-warung minuman yang terkenal dengan nama ’kopi korek’ dan rumah-rumah urut dan pelacur.
Pada masa itu semua kampung-kampung di pendalaman tidak mempunyai bekalan kuasa elektrik, tetapi ramai dari pemuda-pemuda itu yang telah membeli alat kelengkapan elektrik seperti peti sejuk, radio, seterika dan sebagainya yang yang menggunakan kuasa elektrik. Setelah barang-barang elektrik itu di bawa pulang ke rumah masing-masing, mereka menggunakan semua barang-barang itu dan akhirnya barang-barang itu tinggal terbiar dan peti sejuk mereka telah jadikan almari tempat menyimpan pakaian.
Ramai pula pemuda-pemuda yang menggunakan motosikal buatan British, seperti jenama-jenama BSA dan Norton yang menggunakan kuasa kuda 250cc, 300cc dan 500 cc. Akibat bermotor ramai pemuda kampung itu yang telah cedera atau cedera dalam kemalangan jalan raya.
PENOREH GETAH
Beberapa orang pemuda penoreh getah dari Kampung-kampung yang mempunyai motosikal telah menginap dihotel-hotel dalam Bandar Teluk Anson dan Ipoh. Pada tiap-tiap pagi mereka telah pulang menoreh getah di kampung masing-masing. Pada sebelah petang datang semula ke hotel-hotel tempat mereka menginap.
Beberapa orang pemuda dari hulu, iaitu dari Tanjung Bidara, Bandar (nama tempat), Kampung Gajah dan kampung-kampung dalam daerah Pasir Salak, setiap petang Sabtu mereka telah datang ke Bandar Teluk Anson, mereka telah menumpang beramai-ramai dalam bilik besar dalam surau – madrasah Ihsaniyah, dekat bilikku. Mereka telah membawa banyak wang untuk berhibur.
Pada sebelah petang hari Ahad mereka pulang ke kampung masaing-masing. Mereka telah meninggalkan wang masing-masing yang berbaki kepadaku. Mereka tidak mahu membawa pulang wang itu ke kampung mereka, kerana wang senang mereka cari asalkan mereka sanggup menoreh getah. Wang mereka itu aku telah menyimpannya dalam sebuah peti kayu, iaitu peti susu tempat aku menyimpan majalah-majalah.
MENINGGALKAN PUSARA
Apabila pemuda-pemuda itu datang pada petang Sabtu minggu hadapan, aku telah menyerahkan kembali wang itu kepada mereka. Ada yang mengambil semula wang itu dengan memberi sebahagian dari wang itu kepadaku sebagai hadiah dan ada yang tidak mahu mengambilnya kerana mereka telah membawa banyak wang dari kampung.
Sepanjang masa harga getah, padi dan kelapa melambung tinggi, pemuda-pemuda-pemuda kampung telah lupa daratan. Mereka itu boros dan banyak melakukan perbuatan maksiat.
Apabila harga semua hasil mahsul dari bumi bertuah ini telah jatuh merudum, mereka telah tidak menjenguk ke Teluk Anson lagi. Ada di antara mereka hidup susah dan ada yang cacat anggota akibat kemalangan jalan raya.
Ada yang meninggalkan pusara kepada keluarga masing-masing sebagai kenang-kenangan tentang kemewahan dari nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada mereka, tetapi mereka tidak menggunakannya dengan betul dan tidak bersyukur. - (mokhtar petah)

No comments: