QURAN MAS KAHWIN
“In house, which Allah
Hath permitted to be raised
To honour; for the celebration,
In then, of His name:
In then is He glorified
In the morning and
In the evening.
Suara mu’allim sedang menterjemahkan ayat-ayat Quran – dalam surah an Nur:36. Suara berkumandang sayu dalam dingin malam, di sekitar kawasan Masjid Rengent. Suara itu tertelan dalam bunyi deru injin kenderaan yang berlari hilir mudik, atas dada jalan raya, di hadapan masjid tersebut.
Pengantin baru, Tengku Intan dan ‘Alimin berjalan keluar dari halaman masjid itu. Mereka berdiri atas bahu jalan raya depan pintu masuk ke masjid tersebut. Syamila, Ramlah Shakir, Lukman dan Mahmud sedang menunggu mereka di situ.
Baru sebentar tadi ‘Alimin dan Tengku Intan telah di’aqad nikah oleh seorang mu’allim masjid itu. Sepasang suami isteri itu telah berhasil menunaikan janji mereka. Janji yang telah mereka materaikan dalam bengkel labu tanah, di Kampung Sayung, hampir lima tahun lalu.
“Kita pulang ke apartment, makanan telah tersedia,”kata Syamila sambil mencium pipi kanan Tengku Intan.
“Ia,kakak,”sahut ‘Alimin.
Tengku Intan senyum. Hatinya kembang. Gembira.
“Allah berkat kamu berdua, adikku,”kata Syamila dalam bahasa Inggeris.
“Terima kasih,”suara Tengku Intan dalam bahasa Inggeris juga.
“…terima kasih, kakak,” ucapan ‘Alimin dalam bahasa Arab.
Kereta yang tadi telah menunggu di tepi simpang ke Masjid Regent, bergerak dan berlari atas dada jalan raya membawa mereka ke aparment Tengku Intan.
Ramlah Syakir menyerahkan sebuah Quran berbalut kain baldu warna hijau kepada Tengku Intan. Quran itu ialah mas kahwin ‘Alimin kepadanya.
“Terima kasih,”ucap Tengku Intan.
“…Allah berkatkan kamu berdua,”sahut Ramlah Syakir.
“…tidak ramai gadis yang sedia menerima Quran sebagai mas kahin,”kata Mahmud.
“Ia,sungguh,” sambut Luqman.
“Saya sanggup,”sambut Ramlah Syakir.
Mereka menahan tawa.
CINTA
Tengku Intan memicit - micit jari jemari tangan kanan suaminya. Gelombang cinta berahi dalam dadanya seperti ratu Balqis, Saba, cinta dan asyik kepada Nabi Sulaiman alaihis salam.
Pada malam itu, Syamila telah mengadakan khenduri kecil meraikan ‘Alimin dan Tengku Intan. Khenduri itu diadakan di apartment Tengku Intan. Nasi Bryani, dua ekor kambing masak carak orang Iraq, sayur-sayuran mentah dari restoran orang Arab, di Adgware Road dihidangkan dalam kenduri tersebut. Rakan-rakan ‘Alimin dari Iraq, dua orang rakan Tengku Intan, Jamilah dan Maznah serta tiga orang Iran dan Maghribi, jiran Tentu Intan telah menikmati jamuan walimatul urusy itu.
Atas permintaan teman-teman, ‘Alimin telah memberi ucapan dalam majlis itu. Setiap koma dan noktah pada ucapannya, dua biji mata ‘Alimin bergolek pada wajah isterinya. Pada saat-saat cinta dan asyik yang bergelora itu, dia laksana seekor arnab sedang berhadapan dengan ubi lobak merah. Ucapannya:
“Pada usia saya masih remaja, saya menyangka cinta antara seorang lelaki dan perempuan satu lakonan yang mudah. Apabila saya telah meningkat remaja barulah saya mengetahui, sesungguhnya cinta itu bukan lakonan. Cinta mesti sanggup berjanji, menunaikan janji,berkorban apa saja, merindu dan kerana rindu, air diminum bercampur air mata dan tidur malam basah bantal bawah kepala.
Isteri saya,Tengku Intan dan saya ada dua individu dari Asia yang memulakan cinta di tanah air kami sendiri. Kami telah berjanji akan sehidup semati. Biar kering selat Melaka, namun cinta kami tidak akan kering. Kemudian Allah mentakdirkan kami berpisah.Saya memikul cinta yang agung ke Iraq dan isteri saya ini dengan cintanya yang agung juga, telah berhijrah ke Bandaraya London ini kerana menuntut pengetahuan.
Kami terpisah jauh. Masing-masing memendam derita kerana tidak bertemu, kerana rindu dan kerana kami hilang keyakinan yang kami akan menjadi sepasang suami isteri seperti pada malam ini.
Selama saya tinggal di Baghdad, Bandar bertuah, tidak ada siapa yang mengetahui, bahawa dalam gua dada saya ini ada seketul hati menderita.Terseksa. Hampir merana kerana saya terpisah dari kekasih saya dan tidak pula mengetahui di mana rantaunya. Tetapi saya bersyukur kepada Allah, saya telah dijadikan seorang lelaki jenis kuat memegang cinta dan isteri saya, my lover ini jenis wanita yang jujur dengan cinta dan kukuh dengan janjinya, maka, pada malam ini kami telah berjaya melakukan jihad kecil untuk kami berdua.
Alhamdulillah, kekasih saya,dan saya dapat bersama saudari-sedari dan saudara-saudara dalam majlis perkahwinan kami ini.
Saya mengucapkan terima kasih kepada kakak saya, Syamila yang telah bermurah hati mengadakan khenduri ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada yang hadir dalam majlis ini.
Demi Allah saya memaklumkan, isteri saya,Tengku Intan dan saya adalah sebahagian dari harakah Muslimin dan Muslimah di dunia ini. Wabillahit taufiq wal hidayah.Terima kasih dan Allah yang akan membalas budi baik para hadirin dan hadirat.”
Ramlah Syakir mengangkat tangan kanannya sambil senyum. Direnungnya wajah ‘Alimin dengan perasaan hampa. Renungannya berpindah kepada wajah Tengku Intan. Hatinya memuji gadis itu kerana telah berjaya memiliki ‘Alimin. Wajahnya berbunga senyuman. Hatinya menjerit kerana pemnuda yang diidam-idamkan telah menjadi milik orang lain. Dengan suara yang sedih dia meminta Tengku Intan memberi ucapan.
GAGAK
Tengku Intan mencubit paha kanan suaminya. Dengan wajah yang berbunga senyuman, dia bangun memberi hormat kepada mereka yang hadir dan berucap dalam bahasa Inggeris.
“…kerana cinta saya kepada ‘Alimin, kerana rindu saya kepada kekasih saya ini, saya telah menjadi seekor gagak hitam, yang dulunya pernah mengajar putera Nabi Adam; gagak berhati keras,…biar patah dua sayapnya, namun bertongkakkan paruh saya menunggu dan mencari dia jua.
Saya bagaikan penyu di pantai Miami merindukan anaknya di Rantau Abang, Terengganu, di Malaysia. Kini dia telah menjadi suami saya, atas pertolongan saudari – saudari dan saudara-saudara dari Iraq. Ia, kekasih yang saya rindukan selama hampir lima tahun ini, telah menjadi milik saya. Telah menjadi suami saya. Saya akan hidup bersamanya hingga ke akhir hayat bersamanya.
Kami telah membina cinta kami bagaikan membina sebuah gunung batu dan kami telah pegang janji kamu sekukuh gunung batu jua. Alhamdulillah, suami saya dan saya telah menjadi sepasang suami isteri. Saya berterima kasih kepada kakak Syamila kerana mengadakan kenduri ini dan saudara-saudara dan saudari-saudari kerana meraikan kami. Allahu Akbar.Wabillahit taufiq wal hidayah. Amin.”
Pada malam itu, Luqman dan Mahmud pulang membujang ke apartment tempat mereka tinggal. Syamila dan Ramlah Syakir tidur dalam sebuah bilik, di bahagian hujung aparment itu. Jamilah dan Maznah tidur dalam bilik mereka. Sepasang pengantin baru hanyut dalam kemesraan dan nikmat dalam bilik pengantin baru . Pada hari-hari sebelum tubuh masing-masing berpadu, bilik itu telah menjadi gua derita Tengku Intan. Tempat dia mengeluh. Mendayu. Sayu. Menangis hiba kerana merindukan ‘Alimin.
MAKRIFAT
‘Alimin mengusap-usap dua biji labu tanah, hitam berkilat, atas meja kecil dekat katil.Lantas fikirannya melayang ke kampung halamannya – Kampung Sayung, Malaysia.
“Susah tempa labu tanah ni,Intan,”kata ‘Alimin.
“Ia, dulu, sayang, kita sama sama-sama menempa labu tanah,” sahut Tengku Intan.
Fikiran ‘Alimin tersambar kepada yang tersirat di sebalik kata-kata isterinya. Direnung wajah isterinya seraya senyum. Senyum makrifat. Senyum hakikat. Senyum isyarat. Tengku Intan menjelirkan lidah kepadanya. Dua telaga mata Tengku Intan bercahaya teduh.
“…la ni, tanah liat tak ada, … kampung Sayung jauh…,kita nak tempa labu apa…?” Tenya Tengku Intan. Ketawa. Manja.
“…aaa, labu apa, ya…,”jawab Alimin.
Tengku Intan diam. Suaranya menggigil. Nalurinya berkocak.
“Ia, labu…,Allah cipta Nabi Adam dari tanah liat,…kita takkan nak cari tanah liat macam tempa labu tanah kot,sayang,”jawab ‘Alimin.
“…dulu di kampung Sayung, labu kita tak ada mata, tak ada telinga, tak ada hidung…”sahut Tengku Intan lalu memeluk tubuh suaminya.
“…jadi sayang nak labu ada mata, ada hidung, ada telingale…,”sambut ‘Alimin.
Tengku Intan mencubit isi punggung suaminya. Mereka ketawa mesra. Manja.
Tengku Intan melintuk-longlaikan tubuhnya atas riba suaminya. Tangan kanannya laksana umbut muda mengusap-usap dagu, sepasang pipi, leher dan dada lelaki itu. ‘Alimin memeluknya dengan penuh kasih sayang.
KECANTIKAN
Jari jemari tangan kanan ‘Alimin menari pada leher, tengkuk, sepasang pipi dan berlari ke bawa lalu terhenti pada dada isterinya. Senyumannya menjadikan degup jantung Tengku Intan laksana puntung-puntung balak jatuh ke dalam gaung. Pada detik-detik waktu ghairah begitu ‘Alimin teringat akan kisah kecantikan Tuan Puteri Renik Jintan suri Kemala Keinderaan Seri Desa Tanjung Bunga Kembang Sekaki Mestika Kelimpahan Benua Tua. Sambil tunduk mencium pipi kanan isterinya. ‘Alimin memuji isterinya:
Minum air terbayang-bayang,
Santap sirih – berkaca-kaca
Cukup lengkap sifat yang tujuh laksana,
Tubuh kecil rendah rembunai,
Dahi sehari bulan,
Kening bentuk taji,
Hidung kuntum seroja,
Telinga telipuk layu,
Pipi pauh dilayang,
Bibir pati dicarik, ah, bagai delima merkah,
Gigi delima merkah, bukan, bagai mutiara,
Leher gumba dilarik,
Dada bidang awak,
Rambut ikal mayang seludang,
Panjang lebat sampai tumit,
Itam berkilat bagai dakwat,
Lengannya baur panah,
Jarinya tombak serai,
Pinggangnya secekak jari manis,
Paha seperti paha belalang,
Betisnya bunting padi,
Tumitnya telur burung.”[1]
Tengku Intan menjerit manja sebaik-baik sahaja mendengar pujian begitu. Tubuhnya yang longlai atas riba suaminya bingkas bangun. Tubuh suaminya yang berisi pejal itu dipeluk erat. Nafasnya bagaikan orang lemas dalam tasik. Tangan dara yang lembut meraba punat lampu di kepala katil. Lampu padam. Bilik suram menagih cahaya lampu di luar apartmen itu.
Malam berkesut ke hujung. Kota London dalam pelukan dingin. Tubuh Tengku Intan yang selama ini didera kasih dan rindu kepada kekasihnya, lemah longlai dalam pelukan suaminya.
[1] Pawang Ana Raja Haji Yahya, HIKAYAT RAJA MUD , Kuala Lumpur, Penerbitan Fajar Sakti
(Sedutan dari manuskrip novel, Cinta dan Jihad, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment