PM umum lancar TP 1Malaysia
Oleh Mohd Anwar Patho
Rohmanwananwar@bharian.com.my
Tabung Penyelenggaraan tingkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak malam tadi, mengumumkan pelancaran Tabung Penyelenggaraan Satu Malaysia (TP 1Malaysia) bagi meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah di ibu kota, terutama mereka yang mendiami rumah kos rendah milik swasta.
Perdana Menteri berkata, ia bertujuan memastikan keselesaan warga kota yang menghuni kawasan perumahan bertingkat dalam keadaan bersih, sempurna, selamat dan ceria.
Katanya, buat permulaan TP 1Malaysia akan mendapat sumber kewangan daripada agensi kerajaan dan swasta berjumlah RM37.6 juta.
"Tabung berkenaan adalah usaha murni kerajaan yang prihatin untuk mewujudkan satu tabung khas bagi membaik pulih dan menyelenggara rumah kos rendah khususnya di ibu kota" katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan dan Festival Hari Wilayah Persekutuan 2010 di Dataran Merdeka, di sini. Pada majlis itu Perdana Menteri turut melancarkan penubuhan TP 1Malaysia.
Hadir sama, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Noorainee Abd Rahman serta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Tema sambutan tahun ini ialah 1Wilayah Persekutuan Maju dan Sejahtera.
Najib berkata, skop tabung itu adalah khusus untuk kerja penyelenggaraan lif, tangga, bumbung, mengecat bangunan dan kerosakan umum.
Beliau berkata, peruntukan wang akan disalurkan selepas tempoh kecacatan pembangunan tamat dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) atau Perbadanan Pengurusan Bersama (JMC) ditubuhkan.
Penggunaan TP 1Malaysia adalah tertakluk kepada kemampuan JMB atau JMC masing-masing.
"Wang akan digunakan berkonsep satu sama satu atau pemadanan geran yang mana separuh kos penyelenggaraan dibiayai TP 1Malaysia dan selebihnya oleh Tabung JMB atau JMC," katanya.
Perdana Menteri berharap, selepas kediaman mereka diselenggara, penghuni dapat bersama-sama memelihara dan menjaga kediaman mereka sebaik mungkin.
-----------------
Lebih ramai penulis blog hina Raja akan ditahan
JOHOR BAHRU: Lebih ramai penulis blog yang didapati menghina institusi beraja dan menyentuh sensitiviti agama dan kaum di negara ini, akan ditahan jika pihak berkuasa mempunyai cukup bukti untuk berbuat demikian, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Sehubungan itu, katanya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus memantau beberapa blog dan laman web terbabit.
Selain itu, katanya, pihak KDN akan terus bekerjasama dengan Pejabat Peguam Negara bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang melanggar undang-undang hasutan serta menghina Raja.
"Hal yang berkaitan institusi Raja, perkara yang agak sensitif menyentuh agama dan kaum, saya sudah buktikan dalam konteks gereja dibakar di Kuala Lumpur, surau dibaling batu dan cubaan bakar surau di Muar.
Beliau diminta mengulas sama ada lebih ramai penulis blog akan ditahan kerana menghina institusi beraja, agama dan kaum di Malaysia. Juruteknik komputer, Khairulnizam Abdul Ghani, 29, melalui adukataruna.blogspot.com.my. menghadapi tuduhan menghina Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail.
Hishammuddin berkata, selepas Khairulnizam ada lagi yang bakal dikenakan tindakan sama oleh pihak berkuasa.
"Saya percaya tindakan kita menunjukkan kita serius, kita bawa sesiapa saja... anak polis dan ahli politik, jika didapati bersalah dan cukup bukti kita akan ambil tindakan di mahkamah.
"Bagaimanapun, saya tidak tahu berapa berapa ramai dan siapa orangnya. Jangan sampai kita menjejaskan siasatan yang dikendalikan Pengarah Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Koh Hong Sun ketika ini.
"Sebarang maklumat yang keluar tidak tepat dan boleh menjejaskan penyiasatan, tapi kita cukup sensitif terhadap apa yang berlaku, " katanya.
Sementara itu, Hishammuddin yang juga Naib Presiden Umno berkata, desakan supaya Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, meletak jawatan adalah tidak tepat.
(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 1 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment